Menjelangnya Ramadan, pasti persoalan mengenai kiraan fidyah berlegar-legar dalam kalangan kaum wanita. Tahukah anda, apa itu fidyah? Apa pula kaitannya dengan kaum wanita? Adakah hanya kaum wanita sahaja yang perlu membayar fidyah? Berikut dihuraikan secara ringkas;

#1 – Maksud Fidyah

Fidyah adalah bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan ganti (qada’) puasa tahun sebelumnya, sehingga tibanya Ramadan pada tahun berikutnya.

#2 – Hukum Fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Jika tidak dilaksanakan, ia ibarat kita berhutang dengan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
“Dan, wajib atas orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) agar membayar fidyah, (iaitu): memberi makan kepada fakir miskin.”Surah Al-Baqarah:184

#3 – Waktu Membayar Fidyah

Sebelum tibanya Ramadan pada tahun berikutnya.

#4 – Golongan Yang Wajib Membayar Fidyah

#1. Uzur, sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh atau kedua-duanya sekali. Golongan ini hanya perlu membayar fidyah dan tidak wajib menggantikan puasa.
#2. Ibu hamil kerana bimbang keselamatan ke atas bayi dalam kandungannya. Golongan ini perlu membayar fidyah dan menggantikan puasa.
#3. Ibu yang menyusukan anak kerana bimbang memudaratkan bayi yang disusuinya itu seperti bimbang kurangnya air susu. Golongan ini perlu membayar fidyah dan menggantikan puasa.
#4. Orang yang telah meninggal dunia. Waris hendaklah membantu melaksanakan hal ini sebelum pembahagian pusaka dilaksanakan.
#5. Melambatkan ganti puasa (qada’). Bayaran fidyah akan berganda mengikut tahun-tahun yang ditinggalkan, sekiranya puasa ganti ini dilengah-lengahkan.

#5 – Kadar Fidyah

Kadar fidyah kebiasaannya dikira mengikut kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Dan, harga bagi secupak itu pula berubah mengikut sesuatu tempat.

#6 – Tempat Membayar Fidyah

Anda boleh membayar fidyah tersebut di mana-mana cawangan Lembaga Zakat setiap negeri atau Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri sama ada secara tunai, cek atau kini lebih mudah iaitu secara online (atas talian).

#7 – Kepada Siapa Fidyah Itu Diberi

Bayaran fidyah yang diberi kepada Baitulmal atau Lembaga Zakat itu akan diagih-agihkan kepada asnaf, fakir atau miskin dengan ditukarkan kepada bentuk beras.

#8 – Kiraan Fidyah

(Hari yang ditinggalkan) x (Tahun gandaan) x (1 cupak) = FIDYAH

Contoh; Mariam meninggalkan puasa Ramadhan sebanyak 7 hari dan dia langsung tidak menggantikan puasanya hinggalah 2 kali Ramadhan berlalu. Cara kiraannya;
(7 hari tinggal puasa) x (2 tahun) x (RM1.90 – 1 cupak) = RM 26.60 (BAYARAN FIDYAH yang perlu dibayar)

*Kiraan fidyah bagi Selangor tidak berganda walaupun melangkau tahun. Adapun, puasa ganti tidak perlu digandakan.

Oleh itu, manfaatkanlah bulan Syaban ini untuk melaksanakan bayaran fidyah buat mereka yang masih belum melunaskannya. Moga bermanfaat.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.