Pada tahun ke-13H bersamaan 634M, Saidina Umar al-Khattab telah dilantik menjadi khalifah umat Islam yang kedua selepas Abu Bakar as-Siddiq meninggal dunia.

Perlantikannya itu telah dicadangkan sendiri oleh Abu Bakar as-Siddiq dan dibaiah oleh para sahabat dan umat Islam.

Selama 10 tahun menjadi khalifah, pelbagai usaha telah dilakukan sehinggakan tempoh masa pemerintahannya dianggap paling gemilang.

Berikut merupakan beberapa pembaharuan oleh Umar al-Khattab dalam mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan yang dinaungnya;

PENTADBIRAN

#1 – Penubuhan Jabatan-Jabatan Penting

Semasa pemerintahan Saidina Abu Bakar dahulu, jabatan-jabatan penting telah ditubuhkan namun Umar al-Khattab menambah beberapa lagi jabatan lain, selain memperkenalkan beberapa cukai baru.

Selain itu Umar al-Khattab mewujudkan matawang sendiri yang dibuat daripada logam, selain menubuhkan sistem pos, pasukan polis dan tentera laut (untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Dalam sistem pembahagian cukai, Umar al-Khattab tidak membahagikan harta ghanimah (rampasan perang) kepada tentera. Ini kerana beliau sangat mementingkan permasalahan umum, bukan sahaja untuk golongan tertentu. Beliau juga mewajibkan zakat ke atas kuda.

Selain itu, Umar al-Khattab memperkenalkan kalendar Islam mengikut tahun Hijrah. Selain meneruskan pengumpulan naskah al-Quran oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq dahulu.

#2 – Perlantikan Pegawai Di Setiap Wilayah

Melantik barisan pegawai yang bertugas di setiap wilayah, iaitu gabenor, setiausaha dan ketua-ketua jabatan.

Selain itu, pegawai yang dilantik diperiksa harta dan keperibadiannya untuk mengelakkan berlaku penyalahgunaan kuasa dan harta selama mereka memerintah.

Begitu tegasnya Umar al-Khattab sehingga setiap tahun, para pegawai akan datang ke Mekah untuk membuat laporan tentang harta mereka. Bahkan Umar al-Khattab sendiri akan membuat lawatan ke rumah para pegawainya untuk memastikan tiada harta yang disalahguna.

#3 – Pentadbiran Tanah

Semasa Umar al-Khattab memerintah, tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam dibahagikan kepada dua jenis. Tanah Sawafi, iaitu tanah tidak bertuan yang ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah yang dilantik daripada golongan peneroka.

Tanah ini tidak boleh dijual beli atau dimiliki oleh sesiapa demi mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Selain itu, tanah dhimmah, iaitu tanah bertuan yang ditadbir oleh pemiliknya.

#4 – Membentuk Majlis Syura

Majlis syura adalah lembaga perundangan negara yang ditubuhkan untuk membincangkan masalah tentang politik, sosial dan keselamatan.

Selain itu majlis ini juga turut menentukan polisi yang berkaitan dengan hubungan luar dan pemerintahan negara.

Ahli Majlis Syura Tertinggi dianggotai oleh Uthman bin Affan, Abdul Rahman Auf, Ali Abi Talib. Majlis ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu majlis syura tertinggi dan majlis syura am.

#5 – Mengasaskan Al-Diwan

Al-Diwan merupakan rekod, daftar atau buku catatan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing.

Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan jasa seseorang terhadap Islam, terutama semasa proses perluasan wilayah.

EKONOMI

#1 -Penubuhan Baitulmal

Baitulmal adalah badan yang menguruskan harta atau kewangan kerajaan. Buku kira-kira turut disediakan untuk mengetahui jumlah kewangan yang dimiliki oleh negara.

Sumber kewangan negara adalah daripada pungutan zakat, jizyah, kharaj, ghanimah. usyur juga disimpan dalam Baitulmal.

#2 – Memajukan Bidang Pertanian

Dalam bidang pertanian, Umar al-Khattab membina terusan dan tali air bagi meningkatkan hasil pertanian, seperti empangan Abu Musa dan terusan Amir al-Mukminim di Mesir. Beliau juga membina jalan raya serta kemudahan lain .

Umar al-Khattab juga menyusun undang-undang tanah negara selain mengubah sistem pungutan cukai yang dikenakan berdasarkan kesuburan tanah dan jenis tanaman. Mana-mana peraturan yang tidak adil dan membebankan petani dimansuhkan.

SOSIAL

#1 – Mengembangkan Pembelajaran Al-Quran

Umar al-Khattab membuka peluang kepada masyarakat untuk menjadi guru-guru al-Quran selain menyediakan para guru untuk mengajarkan al-Quran.

Para guru dan pengajar dihantar ke merata-rata tempat dengan ganjaran gaji lumayan. Di peringkat wilayah, sekolah-sekolah telah ditubuhkan di semua masjid untuk mengajarkan al-Quran.

Golongan yang menghafaz seluruh al-Quran diberi ganjaran selain umat Islam juga diwajibkan menghafaz surah-surah yang tertentu.

#2 – Memperbaharui Taraf Golongan Hamba

Bagi menjaga kepentingan sosial, taraf dan kedudukan golongan hamba telah digubal. Dalam hal-hal tertentu, taraf golongan hamba akan disamakan dengan tuannya.

Beliau mengenakan syarat dan undang-undang bahawa golongan hamba tidak boleh ditindas, manakala mana-mana hamba yang mempunyai keluarga dilarang daripada dipisahkan.

#3 – Memperluas Wilayah Islam

Islam begitu gemilang dan sangat pesat di bawah pemerintahan Umar al-Khattab. Jajahan takluk Islam juga begitu luas sehingga ke wilayah Eropah dan melebihi separuh dari dunia.

Islam telah mengambilalih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari dinasti Sassanid, selain Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari pemerintahan Rom (Byzantium).

Pada awal penaklukan Islam, banyak pertempuran besar yang berlaku. Antaranya Peperangan Yarmouk pada tahun 636M, 20,000 tentera Islam mengalahkan pasukan Rom seramai 70,000 dan mengakhiri kekuasaan Rom di Asia Kecil.

#4 – Menawan Semula Baitulmaqdis

Pada tahun 637M, setelah pengepungan yang lama terhadap Baitulmaqdis, pasukan Islam akhirnya berjaya mendapatkan kota tersebut. Saidina Umar al-Khattab diberikan kunci untuk memasuki kota itu oleh pendeta Sophronius.

Beliau juga dan dipelawa untuk mendirikan solat dalam gereja (Church of the Holy Sepulchre). Namun, Umar al-Khattab memilih untuk solat di tempat lain atas sebab-sebab tertentu.

Selepas 55 tahun kemudian, Masjid Umar didirikan di tempat beliau solat. Terbuktilah, Umar al-Khattab memiliki kewibawaan, ketrampilan dan gaya tersendiri dalam mentadbir kerajaan.

Selain berpandangan jauh, beliau tidak mudah terpengaruh dengan kuasanya sebagai khalifah, bahkan sangat zuhud, amanah selain sangat berjaga-jaga dengan jawatannya, sehinggakan beliau berjaya memerintah dengan landasan Islam yang sebenar.

Banyak sifat dan ciri kepimpinan Umar al-Khattab yang wajar dipelajari oleh para pimpinan hari ini, agar sesebuah kepimpinan itu benar-benar berkualiti dan menjadikan keredaan Allah swt sebagai keutamaan.

RUJUKAN
1. Institusi Khalifah, dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, 2013, Kementerian Pendidikan Malaysia: Putrajaya
2. Mahayudin Hj. Yahya, 2014, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, Oxford Fajar: Shah Alam.
3. Wiwid Prasetyo, 2013, Lilin Pun Dipadamkannya, Kemilau Publika: Selangor
4. Prof. Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi, 2014, Biografi Umar Bin al-Khattab, Beirut Publishing.

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.