Ya Allah Yang Maha Penyayang, aku adukan kesedihan dan kepiluan hati ini kepadamu.

14 September 2017, saya sedang berada di Pekan Pahang sewaktu itu. Berita teramat menyedihkan bila kita kehilangan permata daie, hafiz dan pemegang panji-panji Islam di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung Kuala Lumpur.

Nabi S.A.W teramat sedih dalam Kisah Bir Maoona iaitu zaman Nabi S.A.W 70 sahabat yang ahli Al-Quran mati syahid. Kata salah seorang sahabat R.A;

“Kami tidak pernah lihat Nabi S.A.W sedih lebih dari itu lagi.”

Kita semua sebuah keluarga. Kita menikmati Islam ini kerana air mata tangisan perjuangan Nabi S.A.W, keluarga Nabi S.A.W dan para sahabah. Anak-anak yang terlibat dengan kejadian ini, adalah anak-anak kita semua.

Belum berhenti air mata ini. Ya Allah yang Maha Baik. Betapa ibubapa ini, anak-anak hafiz yang baik ini. Kami semua hanya inginkan Reda-Mu. Reda-Mu lah tujuan hidup kami semua, tiada yang lain-lain.

Ya Allah, berilah syurga Firdaus buat anak-anak ini. Walaupun masih kecil setiap hari mereka mengulang, menghafal kalam-Mu demi menjaga lafaznya, maksudnya dan tujuan untuk membawa kehidupan Islam.

Kami semua belum tahu nasib kami lagi. Selalu tinggal baca Al-Quran. Belum berusaha seperti anak-anak ini. Ya Allah pasti kau sangat sayangkan anak ini semua.

Ya Allah, buat ibubapa yang kehilangan anak dan semua ahli keluarga mereka. Berilah ketabahan dan kekuatan. Pasti teramat besar ganjaran dan kasih sayang kau pada keluarga mereka. Ya Allah sayangilah setiap ahli keluarga anak-anak ini.

Ya Allah, kami semua mengadu rasa sedih teramat dan rasa pilu ini kepada-Mu. Belum berhenti mengalir air mata ini dari siang sampai sekarang. Letakkanlah rasa cinta dan sayang kami dan semua manusia ini kepada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Jadikanlah ini semua asbab hidayah. Kematian mereka adalah syahid disisi-Mu. Ya Allah, jadikan ini semua asbab hidayah dan rahmat-Mu mencurah-curah kepada keluarga anak ini, kepada kami semua dan asbab hidayah seluruh alam. Berilah Islam tersebar di seluruh dunia.

Ya Allah, kami sayang anak-anak ini. Ya Allah diriku teramat sayang pada anak-anak ini semua. Ya Allah diriku terlalu cemburu melihat anak syurga ini semua. Kecil-kecil tapi jiwa mereka seperi anak-anak sahabat di zaman Rasulullah.

Sifat Nabi S.A.W mereka amalkan. Kami dah tua tapi belum bersusah payah dan berjuang seperti anak ini semua.

Ya Allah bantulah orang yang berjuang hidupkan agama. Ya Allah, bantulah anak-anak yang sedang belajar agama dan yang ingin meninggikan kalimahmu.

Ya Allah,bantulah kami semua. Berilah ketenangan dan kekuatan buat keluarganya. Kuatkanlah hati ahli keluarganya.

Ya Allah kami adukan kesedihan dan kesusahan kami kepada-Mu. Cukuplah Engkau buat kami. Kami hanya mengharapkn Reda-Mu.

Tentang Ebit Liew

Ebit Liew

Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew merupakan seorang perunding latihan dan penceramah motivasi melalui syarikat beliau Transform Training & Consultancy. Beliau telah mengendalikan lebih dari 1000 kursus korporat, pelajar, keluarga dan usahawan. Beliau juga merupakan panel jemputan media seperti Ikim.fm, TV Al-Hijrah dan sebagainya.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.