Pada tahun 1870M bersamaan 1287H, lahir seorang bayi lelaki di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan yang diberi nama Muhammad Yusuf bin Ahmad.

Beliau dibesarkan dalam kalangan keluarga yang cukup menitikberatkan ilmu agama. Sejak kecil, dirinya sudah menunjukkan tanda-tanda yang luar biasa dalam pelajaran.

Beliau cepat menulis sesuatu yang dipelajarinya dan kecenderungannya terhadap ilmu juga amat tinggi.

Pada usianya 18 tahun, beliau berangkat ke Mekah menaiki kapal laut semata-mata untuk meneruskan pencarian ilmunya di samping menunaikan ibadah haji.

Di sana, hidupnya hanya bergantung kepada Allah s.w.t. Ini kerana, keperluan yang beliau miliki waktu itu cukup terhad.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Beliau tidak memiliki pakaian melebihi sehelai, kekurangan wang bahkan tiada sesiapa pun yang mengetahui beliau makan atau tidak sama ada pada waktu siang mahupun malam. Tiada siapa pun yang mengenali beliau di sana. Hidupnya sebatang kara di sana.

Orang ramai hanya memerhatikan tingkah lakunya di sekitar Masjidil Haram yang mendengar ilmu dari satu halaqah ke halaqah yang lain tanpa membawa satu kitab pun.

Bahkan, lebih aneh lagi dalam setiap halaqah yang didengarinya itu beliau pasti akan memejamkan matanya sehinggakan orang sekeliling menyangka dirinya tidur.

Namun, tanpa diduga ada seorang ulama yang mengajar di Masjidil Haram iaitu Syeikh Ahmad Al-Fatani memiliki ilmu yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t sehingga pandangannya tertembus kepada Muhammad Yusuf.

Beliau tahu, pemuda itu bukan sebarangan orang bahkan martabatnya adalah seorang wali Allah. Walaupun begitu, beliau tidak membuka rahsia tersebut kepada murid-muridnya yang lain.

Suatu ketika, Syeikh Ahmad Al-Fatani menyatakan beberapa persoalan kepada para muridnya.

Namun, tiada seorang pun yang mampu menjawabnya sehinggalah apabila diajukan pertanyaan tersebut kepada Muhammad Yusuf, beliau mampu menjawabnya dengan jelas sekali.

Sejak itu, Muhammad Yusuf menjadi murid yang paling rapat dengan Syeikh Ahmad Al-Fatani bahkan beliau berkhidmat kepada gurunya itu.

Siapa sangka Allah s.w.t akan mempermudahkan perjalanan hidupnya di bumi Mekah itu sehingga dipertemukan dengan gurunya ini.

Setelah pengembaraannya dibumi Mekah, Muhammad Yusuf pulang ke Kelantan untuk berkhidmat kepada masyarakat di situ.

Muhammad Yusuf inilah yang kita kenali dengan panggilan ‘Tok Kenali’, gelaran yang diambil sempena nama kampung kelahirannya.

Semoga segala usahanya dalam memartabatkan Islam diberkati oleh Allah s.w.t. Allahumma amiin. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.