Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas.”

(HR Muslim)

Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan”

(HR Tirmizi)

Meninggalkan kerja makan gaji yang menawarkan gaji bulanan lumayan ke kerja-kerja pertanian sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat sekitar terhadap lelaki ini.

“Ramai yang tidak mengalukannya. Malah ada yang memandang rendah dengan keputusan saya itu.

“Saya tidak peduli apa juga pandangan orang sebaliknya saya bertekad untuk membuktikan bahawa bidang pertanian mampu memberi kehidupan yang lebih baik kepada saya,” kata Mohd Faiz Abdul Rahman, 36, kepada penulis.

Menurut Mohd Faiz, keputusan yang dibuat pada tahun 2009 itu bermula daripada perbualan dan perbincangan dengan rakannya yang memberitahu bagaimana bidang pertanian mampu memberi pendapatan yang lumayan.

“Saya juga terfikir jika kalangan professional yang bergaji besar pun sanggup berhenti kerja untuk menjadi usahawan tani, kenapa saya tak boleh?.

“Tetapi saya tidaklah melangkah masuk ke bidang pertanian secara sembrono. Saya buat kajian terlebih dahulu dan setelah benar-benar yakin baru saya mengorak langkah,” jelas anak jati Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor.

Bertitik tolak dari situ dengan bermodalkan RM5,000, beliau telah menubuhkan JDT Agrofarming Enterprise sebagai pembekal ubi kayu dan keledek.

Mohd Faiz menggunakan tanah 20 ekar yang diperuntukkan oleh Felda dan 20 ekar lagi di luar Felda untuk menanam ubi kayu dan keledek.

Setahun selepas itu, Mohd Faiz berpeluang menyertai Felda Tunas Mekar dan mengikuti bengkel serta kursus yang ditawarkan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam perniagaan. Selain itu, bisnesnya turut menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ditanya mengenai masalah kekurangan bahan mentah, Mohd Faiz memberitahu bahawa masalah berkenaan berjaya diatasi sehingga kini.

“Alhamdulillah, pengeluaran ubi kayu dan keledek tidak terjejas walaupun mempunyai permintaan yang tinggi memandangkan saya mempunyai rakan-rakan yang membekalkan ubi kayu dan keledek,” katanya yang memiiliki Diploma Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

Tidak terkecuali daripada cabaran, Mohd Faiz memberitahu cabaran utamanya adalah cuaca.

“Cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan tanaman.

“Namun, saya tidak pernah menjadikannya sebagai pematah semangat. Seboleh mungkin masalah itu akan diatasi dengan pelan-pelan tindakan yang sememangnya telah disediakan,” ujarnya.

Bagi memastikan kelancaran perniagaanyanya, Mohd Faiz juga sentiasa bersikap teliti dalam soal kewangan kerana baginya itulah kunci kejayaan atau punca kegagalan sesebuah perniagaan.

Untuk berjaya, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip jangan sesekali putus asa dengan setiap perkara yang dilakukan.

“Sekali kaki saya melangkah, saya tidak akan sesekali berundur lagi walaupun pelbagai cabaran mendatang. Saya akan memastikan saya berjaya dalam bidang yang saya pilih ini,”katanya penuh azam.

Ditanya tentang perancangan lima tahun lagi, Mohd Faiz menyatakan bahawa JDT Agrofarming Enterprise menyasarkan bekalan ubi kayu dan keledek sebanyak 20 tan seminggu bagi pasaran seluruh negeri Johor.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutamanya Felda dan FAMA serta berharap bantuan yang diberi dapat dibalas dengan membantu penduduk setempat untuk menjana pendapatan mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan ubi kayu dan keledek, bolehlah menghubunginya di talian 012-7732823.

Tentang Azlan Jsuoh

Azlan Jsuoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Sekarang bertugas di Kelab Kartunis Malaysia (KKM) sebagai Pegawai Komunikasi Korporat dan Penulis Sambilan.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.