Syeikh Ali Jum’ah al-Syafi’e al-Asy’ari atau nama sebenarnya ialah Abu Ubadah Nuruddin Ali bin Jum’ah bin Muhammad bin Abdul Wahab bin Salim bin Abdullah bin Sulaiman al-Azhari al-Syafi’e al-Asy’ari. Beliau lahir di wilayah atas Mesir kota Bani Suwaif/Suef pada hari Isnin, 7 Jamadilakhir 1371 Hijrah/3 Mac 1952.

Syeikh Ali Jum’ah yang turut dikenali sebagai Syeikh Ali Gomaa, lahir dalam kalangan keluarga yang terhormat. Ibunya bernama Fathiyah Hanim binti Ali bin ‘Id, merupakan seorang wanita solehah yang berakhlak mulia, sentiasa menjaga solat dan berpuasa sejak akil baligh. Di akhir hayatnya, ibunya sempat berdoa kepadanya dengan ilmu juga kebaikan.

Ayahnya pula bernama Syeikh Jum’ah bin Muhammad, seorang ahli fiqh lulusan Fakulti Undang-Undang, Kaherah, Mesir. Membesar dalam didikan kasih sayang kedua orang tuanya, Syeikh Ali Jum’ah diajarkan tentang ilmu, takwa, akhlak serta kemuliaan.

Bahkan, sejak kecil beliau sering didedahkan dengan pelbagai bahan bacaan di perpustakaan milik ayahnya. Hingga kini, buku-buku milik ayahnya itu masih tersimpan rapi dan dijaga dengan baik di perpustakaan peribadinya sendiri.

Syeikh Ali Jum’ah mula menzahirkan minatnya dalam bidang keilmuan sejak berumur lima tahun. Beliau turut menghafaz Al-Quran melalui beberapa orang syeikh. Antara guru-guru Syeikh Ali Jum’ah terdiri daripada Syeikh Abdullah bin Siddiq al-Ghumari, seorang pakar hadis pada zamannya yang telah menghafaz lebih daripada 50,000 ribu hadis lengkap berserta sanadnya.

Gurunya itu telah memberikan ijazah kepada Syeikh Ali Jum’ah untuk berfatwa, bahkan beliau dikenali sebagai salah seorang muridnya yang pintar di Mesir.

Syeikh Muhammad Abunnur Zuhair, seorang pakar Usul Fiqh dari Universiti al-Azhar dan salah seorang anggota lembaga fatwa juga merupakan salah seorang gurunya. Syeikh Ali Jum’ah membacakan kitabnya Usul Fiqh yang memiliki empat jilid di hadapannya. Lalu, gurunya itu memberinya ijazah untuk mengajar dan berfatwa.

Selain itu, gurunya yang lain adalah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, seorang ulama yang terkenal dengan keluasan ilmunya ketika itu. Suatu ketika, beliau mengulang kaji kitab Usul Fiqh karya Syeikh Muhammad Abunnur Zuhair dan beliau menuliskan ijazah yang diperoleh melalui Syeikh Muhammad Abunnur dalam buku itu di hadapan gurunya; Syeikh Abdul Fattah.

Tanpa diduga, gurunya berkata, “Kami terima ijazah buku ini darimu.” Hal tersebut amat mengejutkan Syeikh Ali Jum’ah kerana diberikan penghormatan sedemikian rupa oleh gurunya yang terkenal dengan keluasan ilmunya. Agak janggal dan jarang berlaku apabila seorang guru mengambil riwayat daripada anak muridnya. Namun, hal itulah yang berlaku kepada Syeikh Ali Jum’ah.

Lagi, hal yang menarik mengenai Syeikh Ali Jum’ah adalah apabila gurunya, Syeikh Jadurrabi Ramadan Jum’ah, Dekan Fakulti Syariah wa al-Qanun, Universiti al-Azhar berkata padanya,

“Penamu lebih baik berbanding penaku.”

Syeikh Jadurrabi turut dikenali sebagai ‘Syafie Kecil’ disebabkan keluasan ilmu dan keahliannya dalam bidang fiqh Mazhab Imam Syafie. Dan, ramai lagi para tokoh ulama yang menjadi guru kepada Syeikh Ali Jum’ah.

Pada akhir September 2003, Syeikh Ali Jum’ah telah dilantik menjadi Mufti Besar Mesir oleh Presiden Hosni Mubarak, menggantikan Mufti Mohamed Ahmed El-Tayeb. Beliau antara ulama Islam bermazhab Syafie yang pakar dalam bidang Syariah dan Usul Fiqh hingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Selain itu, beliau turut memiliki penulisannya tersendiri, dan antara karya penulisannya ialah Al-Mustalah al-Usuli wa Tatbiq ala Tarif al-Qias, Al-Hukm as-Syar’ie inda al-Usuliyyah, Al-Madkhal li Dirasah al-Mazahib al-Fiqhiyyah dan banyak lagi. Salah seorang muridnya yang setia, Syeikh Usamah Sayyid al-Azhari berkata,

“Beliau (Syeikh Ali Jum’ah) datang ke Masjid al-Azhar selepas terbit matahari. Kemudian, beliau duduk di sana mengadakan pengajian hingga tiga jam lebih setiap hari. Beliau mengajarkan pelbagai cabang ilmu antaranya hadis, usul fiqh, fiqh, qiraat dan pelbagai lagi.”

“Allah SWT telah menghidupkan kembali ilmu dan majlis ilmu di Al-Azhar melalui beliau. Di Al-Azhar, kembali dibacakan buku-buku hadis, fiqh, usul fiqh dan bahasa Arab. Sekian lama saya memerhatikan, ternyata kecerdasan, pemahaman dan kemampuannya dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan kontemporari amat luar biasa di samping merujuk pandangan para ulama silam yang lain.”

Syeikh Usamah Sayyid al-Azhari turut menulis mengenai biografi perjalanan gurunya itu dalam Kitab Asanid al-Mashariyyin. Semoga Allah SWT memberkati dan meredai segala usaha beliau dalam memartabatkan ilmu Islam. Amiin.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.