Syeikh al-Allamah al-Arifbillah al-Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah bin Muhammad bin Basyir bin Hasan Abu Ghuddah.

Beliau dilahirkan pada 17 Rejab 1336H bersamaan 9 Mei 1917M di Hay al-Jubailah, Aleppo (Halab), Syria.

Nasab Syeikh Abdul Fattah ini sampai kepada sahabat Rasulullah SAW, Khalid bin al-Walid yang membawa gelaran ‘Abu Ghuddah’. Bapanya, Muhammad bin Basyir bin Hasan merupakan seorang yang soleh dan taat dalam agama.

Beliau juga menjalankan perniagaan kain yang diwarisi dari bapanya, Basyir; seorang peniaga kain terbesar di Aleppo.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, kedua-dua ibu bapa Syeikh Abdul Fattah tidak pernah mengabaikan pendidikannya. Datuknya, Basyir melihat kecerdasan yang ada pada cucunya itu.

Lalu, datuknya mendaftarkan Syeikh Abdul Fattah yang ketika itu berusia 8 tahun ke Madrasah al-Arabiyyah al-Islamiyyah yang hanya menempatkan pelajar-pelajar cemerlang sahaja.

Di situ, ramai yang mengakui kecerdasannya. Lisannya amat mahir dan fasih membaca kitab-kitab Arab, sehinggakan beliau diberi kepercayaan untuk membaca kitab karangan para ulama di khalayak.

Walaupun ketika itu usianya baru 10 tahun, beliau langsung tidak gementar untuk bercakap di hadapan orang ramai.

Kehidupannya yang dikelilingi oleh golongan ilmuan sangat mempengaruhi Syeikh Abdul Fattah menjadi seorang yang mencintai ilmu.

Di samping itu, ibu bapanya juga turut membawanya mengunjungi majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh alim ulama. Ternyata, kedua ibu bapanyalah berperanan penting dalam mendidik dan mendorongnya untuk mencintai para ulama.

Setelah empat tahun menuntut ilmu di madrasah itu, Syeikh Abdul Fattah kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Madrasah Ali al-Khatib di Aleppo untuk memperbaiki penulisannya.

Tidak lama setelah itu, beliau diajar pula ilmu berkait menenun kain. Selain ilmu perniagaan daripada beberapa orang usahawan terkemuka ketika itu.

Selepas menguruskan perniagaan keluarga selama beberapa tahun, iaitu pada tahun 1356H bersamaan 1936M pada usia 19 tahun, beliau dihantar pula ke Madrasah Khusrawiyyah untuk mendalami ilmu agama. Di situ, beliau sering dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.

Seterusnya, beliau menyambung pengajian di al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah dan psikologi, juga pengkhususan dalam asas pengajaran. Selesai pengajian pada tahun 1370H atau 1950M, beliau pulang semula ke Halab.

Katanya dalam kitab al-Kalimat;

“Aku telah ‘mengutip’ ilmu daripada hampir 100 orang guru di Halab, Syam, Mekah, Madinah Munawwarah, Mesir, India, Pakistan, Maghribi dan tempat-tempat yang lain…”

Segala ilmu yang dimiliki oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah sesekali tidak disia-siakan. Pengembaraannya dalam pencarian ilmu dari Syria hingga ke Mesir pula memberikannya peluang untuk mendalami pelbagai ilmu agama dengan lebih luas.

Sejak itu, beliau merantau ke seluruh dunia Islam untuk menyebarkan ilmunya terutama dalam kajian ilmu hadis.

Selain itu, beliau adalah ahli Tahqiq yang amat bersungguh-sungguh dan teliti ketika menyemak sesebuah teks atau kitab karangan ulama terdahulu. Tujuannya, supaya buku itu kelihatan hampir sama dengan karya asal penulis.

Kerja keras dalam pengkajian ilmu sehingga kesihatannya terjejas. Penglihatannya semakin lemah namun, hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerja-kerja ilmiah, seperti menulis, mengajar mahupun bermuzakarah (perbincangan) dengan golongan bijak pandai yang lain.

Pada akhir bulan Ramadan tahun 1417H, beliau dimasukkan ke Hospital Khas al-Malik Faisal di Riyadh kerana mengalami sakit perut yang serius.

Beliau berada di situ sehinggalah akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhir pada 16 Februari 1997, ketika berusia 80 tahun.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Madinah al-Munawwarah dan disolatkan di Masjid Nabawi selepas solat Isyak. Dan, kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Baqi’.

Semoga Allah s.w.t merahmati rohnya dan mengurniakan ganjaran setimpal atas usahanya menyebarkan agama Islam di muka bumi ini. Insya-Allah, amiin.

“Buku itu tidak dapat dicungkil rahsia yang terpendam di dalamnya melainkan setelah dibaca habis kesemuanya.”Kata Mutiara Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.