Ibadah

Sujud Adalah Nikmat Yang Sangat Besar

Oleh Abdullah Bukhari  •  7 Feb 2018  •  3 min baca

“Ana pernah tanya beberapa orang Doktor Pakar mengenai lutut Ana ini. Rata-rata mengatakan Ana perlu menjalani pembedahan lutut. Masalahnya, jika pembedahan dijalankan tiada jaminan Ana akan dapat sujud dalam solat seperti biasa. Itu antara sebab Ana tangguhkan pembedahan lutut. Ana rela menahan sakit demi untuk terus sujud. Sujud adalah nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita.”

Kagum saya mendengar ayat Tuan Guru Dr. Abdul Basit ketika kami berbual semasa dalam khemah Mina pada hari Tasyriq.

Langkah beliau agak perlahan dan perlu dibantu tongkat. Keadaan lututnya sangat mencabar minda. Itulah ujian Allah untuk beliau.

Sungguh! Mampu bersujud kepada Allah adalah suatu nikmat yang hanya difahami oleh orang beriman yang tidak lepas sujudnya kepada Allah.

Jika kita susuri ayat al-Quran, sujud memang digandingkan dengan pujian kepada orang beriman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang yang beriman, rukuklah serta “sujudlah (mengerjakan solat)”, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat) Surah al-Hajj 22:77

Juga firman Allah:

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآَيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat keterangan Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat itu, “mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh)”, dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur Surah al-Sajdah 32:15

Ketika memuji Ahli Kitab yang beriman, Allah menyebut mereka sangat mudah bersujud kepadaNya:

قُلْ آَمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا (107) وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا (108) وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا (109

Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang yang ingkar itu): “Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera “tunduk sujud” (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Ertinya: Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): “Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. “dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis”, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk Surah al-Isra’ 17:107-109

Sujud dengan erti kata solat turut menjadi penenang jiwa Rasulullah S.A.W yang sedang bersedih:

وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ (97) فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ (98) وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ (99

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu mati) Surah al-Hijr 15:97-99

Sujud juga menjadi tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Allah:

كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya (kehendak Musyrikin Quraysh yang melarangmu bersolat), dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah dirimu kepada Allah (dengan solat, taat dan amal soleh)! Surah al-‘Alaq 96:19

Kenyataan ayat ini disokong oleh sabda Rasulullah S.A.W:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya dalah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud) Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud

Manusia yang malas bersujud ketika di dunia, akan malu besar di akhirat kelak kerana “gagal membengkokkan tubuh mereka” untuk bersujud di akhirat kelak:

يَوْمَ يُكْشَفُ عَنْ سَاقٍ وَيُدْعَوْنَ إِلَى السُّجُودِ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ (42) خَاشِعَةً أَبْصَارُهُمْ تَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ وَقَدْ كَانُوا يُدْعَوْنَ إِلَى السُّجُودِ وَهُمْ سَالِمُونَ (43

(Ingatkanlah orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya; Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat Surah al-Qalam 68:42-43

Syukuri nikmat anggota badan yang mampu bersujud kepada Allah kerana ia sangat dicemburui oleh sesetengah manusa lain.

Jangan sampai nikmat sujud semasa di dunia ditarik Allah dengan sakit di badan. Jangan juga sampai kita dimalukan di akhirat kelak kerana tidak mampu bersujud.

Ayuh! Sujudlah sekarang! Usah bertangguh dan panjangkan sujud kita kerana kasih Allah senantiasa menanti kita dalam sujud.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami