Sufyan bin Uyainah bin Abi Imran Al-Kufi atau lebih terkenal dengan panggilan Abu Muhammad ini merupakan salah seorang ulama tabi’ tabi’in.

Beliau dilahirkan pada tahun 107H di pertengahan Syawal dalam lingkungan keluarga yang mentaati ajaran Allah s.w.t.

Bapanya Uyainah merupakan seorang pegawai pada masa pemerintahan Khalid bin Abdillah Al-Qasri.

Ketika Sufyan berusia 15 tahun, ayahnya berpesan kepadanya;

“Wahai anakku Sufyan, masa kanak-kanak sudah pun berlalu, maka raihlah kebaikan supaya engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang mengejarnya. Jangan sesekali tertipu dengan pujian dari khalayak yang mengagumimu, walhal Allah s.w.t lebih mengetahui hal yang berlawanan dengan itu. Ini kerana tiada seorang pun yang berkata baik kepada orang lain tatkala dirinya sedang senang, bahkan sebaliknya dia akan berkata hal keburukan terhadap orang itu jika dirinya dalam keadaan marah.”

Bapanya menyambung lagi;

“Lebih baik bersendirian daripada berteman dengan rakan-rakan yang mengajak ke arah kemaksiatan. Jangan alihkan prasangka baikku kepadamu dengan prasangka yang lain. Seterusnya, tidak akan ada orang yang berbahagia bersama ulama kecuali orang-orang yang mentaati mereka.”

Sufyan mendengar dengan penuh teliti dan khusyuk akan setiap patah nasihat yang keluar dari mulut ayahnya itu. Lalu, Sufyan pun berkata dalam hatinya;

“Aku akan jadikan pesanan ayahku ini sebagai arah panduan dalam hidupku dan mudah-mudahan tidak menyimpang dari jalan yang lain.”

Sejak itu, Sufyan menyibukkan dirinya dengan mendalami ilmu agama. Setiap kali keluar dari masjid, Sufyan akan menghampiri halaqah atau majlis-majlis ilmu yang ada di situ.

Lebih-lebih lagi, apabila adanya ulama yang menyampaikan ilmu. Pasti Sufyan tidak akan melepaskan peluang tersebut.

Antara ulama yang pernah menjadi gurunya adalah Ibnu Syihab, ‘Amr bin Dinas, Sulaiman At-Taimi, Humaid Ath-Thawil, Al-A’masy, Az-Zuhri, Muhammad bin Al-Munkadir dan ramai lagi.

Menginjak usia dewasa, Sufyan bin Uyainah pula menjadi tempat rujukan masyarakat dalam pelbagai permasalahan.

Beliau mempunyai kekuatan daya ingatan yang cukup luar biasa. Hal ini diakui sendiri oleh beliau. Katanya;

“Aku tidak pernah menulis sesuatu kecuali setelah aku menghafalnya.”

Tanggal 1 Rejab 198H, Sufyan menghembuskan nafas terakhirnya. Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan oleh Sufyan bin Uyainah ini memberikan manfaat buat umat terkemudian. Allahumma amiin.

“Tidaklah disebut sebagai ‘alim’ orang yang mengetahui kebenaran dan keburukan. Akan tetapi, orang alim sejati adalah mereka yang mengetahui kebenaran mahupun kebaikan, lalu mengikutinya serta mengetahui hal keburukan lalu menjauhinya.”Mutiara Kata Sufyan bin Uyainah

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.