Sufyan bin Sa’id bin Masruq bin Habib bin Rafi’ bin Abdillah atau lebih dikenali sebagai Imam Sufyan at-Tsauri adalah seorang ulama Islam yang amat warak.

Beliau yang lahir pada tahun 96H di Kufah ini tergolong dalam kalangan tabi’ at-tabi’in yang faqih dalam bidang hadis. Bahkan, keilmuannya itu turut diakui setanding dengan empat imam mazhab yang lain.

Bapanya, Sa’id bin Masruq bin Habib, juga merupakan seorang yang alim dalam bidang hadis. Mereka berasal dari Kabilah Tsaur dari bani Mudhar.

Ibunya pula merupakan seorang wanita solehah yang tidak jemu mendidik dan mengasuhnya sejak kecil. Menginjak usia belasan tahun, Sufyan at-Tsauri berhasrat untuk menuntut ilmu.

Namun, beliau bimbang kerana tidak mempunyai apa-apa bekalan untuk dibawa bersama-sama. Beliau berdoa;

“Wahai Tuhanku, aku memerlukan keperluan untuk menuntut ilmu. Sementara kulihat ilmu itu pergi dan menghilang. Apakah perlu kubiarkan saja keinginanku ini? Aku memohon kepadaMu agar engkau mencukupiku.”

Sufyan at-Tsauri dalam dilema. Sekiranya ingin menuntut ilmu, dia memerlukan bekalan yang mencukupi. Jika sibuk mencari keperluan tersebut, pasti tidak dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran.

Kegusaran hatinya itu dijawab oleh ibunya. Kata ibunya dengan lemah lembut;

“Wahai anakku Sufyan, belajarlah. Ibu akan memenuhi keperluan belajarmu dengan usaha memintal benang.”

Sufyan at-Tsauri seakan tidak percaya dengan kata-kata ibunya itu. Selain itu, ibunya turut mewasiatkan padanya supaya tetap bersemangat untuk menuntut ilmu. Beliau sangat gembira dengan sokongan ibunya itu.

Kata ibu Sufyan buat putera yang dikasihi;

“Wahai anakku, jika engkau menulis sepuluh huruf, maka perhatikanlah! Apakah ilmu itu membuatkan dirimu bertambah rasa takutmu kepada Allah, juga ketenanganmu? Jika engkau tidak mendapati hal seperti ini, ketahuilah bahawa ilmu yang kau catatkan itu tidak bermanfaat buatmu.”

Kata-kata ibunya itu benar-benar menusuk kalbunya. Sejak itu, beliau bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Guru pertamanya adalah ayahnya sendiri.

Selain itu, beliau turut berguru dengan Abi Ishaq as-Sabi’I, Mansur bin al-Mu’tamir, Habib bin Abi Tsabit, Ashim bin al-Ahwal, Umar bin Dinar dan ramai lagi. Dinyatakan bahawa gurunya seramai 600 orang.

Kehebatan Sufyan at-Tsauri menguasai ilmu hadis dan hafalan tidak disangkal lagi. Para ulama hadis pada zamannya turut mengakuinya.

Antara ulama besar yang berguru dengannya terdiri daripada, Syu’bah, Yahya bin Said al-Qathathan, Imam Malik, Al-Auza’i, Ibnu Mubarak dan Sufyan bin Uyainah.

Diriwayatkan daripada al-Mubarak bin Sa’id, beliau mengatakan;

“Aku berjumpa dengan ‘Ashim bin Abi Najud. Beliau adalah seorang imam, ahli qiraat yang mulia pada zamannya. Lalu, imam ini datang kepada Sufyan at-Tsauri meminta fatwa daripadanya.”

‘Ashim berkata kepada Sufyan;

“Wahai Sufyan, engkau dahulu datang berguru kepada kami ketika masih kecil. Dan sekarang, kamilah yang datang kepadamu dalam keadaan engkau telah menjadi seorang imam besar.”

Yahya bin Sa’id al-Qathan berkata;

“Tiada seorang pun lebih aku kagumi daripada Syu’bah. Bahkan, menurutku tiada siapa yang mampu menandinginya. Namun, apabila hafalan Syu’bah berbeza daripada Sufyan, maka aku lebih yakin dengan hafalan Sufyan.”

Sufyan at-Tsauri sering menghabiskan waktunya dengan menelaah kitab-kitab ilmu. Beliau akan membahagikan waktu malamnya dengan membaca al-Quran, solat selain menghafal hadis. Beliau juga menghafal sebanyak 30,000 hadis.

Ada sumber mengatakan, Sufyan at-Tsauri menuntut ilmu lebih dari 60 tahun. Sungguh, kehidupannya memang diabdikan untuk mencari ilmu. Sehinggakan penghujung hayatnya juga tangannya tidak terlepas daripada menulis ilmu.

Sewaktu beliau terbaring atas pembaringan, datang seseorang menziarahinya lalu menyampaikan kepadanya sebuah hadis.

Lalu, diambilnya alat menulis yang tersimpan di bawah pembaringannya lalu mencatat hadis tersebut. Sungguh luar biasa kecintaannya terhadap ilmu. Salah seorang hadirin yang hadir menziarahinya bertanya padanya;

“Wahai imam, dalam keadaan dirimu seperti ini engkau masih sibuk mencatat?”

Sufyan at-Tsauri menjawab;

“Bukankah ini perkara baik? Jika aku masih diberi umur yang panjang, bererti aku telah mendengar satu kebaikan. Sekiranya aku mati, maka aku telah menulis satu kebaikan pula.”

Beliau wafat pada bulan Syaaban tahun 161H di Basrah, dan meninggalkan warisan ilmu menerusi karyanya berjudul, al-Jami’ul Kabir Fil Fiqhi wal Ikhtilaf, al-Jami’ush Shaghir dan Kitab at-Tafsir.

“Aku menulis ilmu dan hadis lebih daripada 100,000 syeikh. Tidak ada yang lebih afdhal daripada Sufyan at-Tsauri.”Abdullah bin al-Mubarak

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.