Simpanan adalah sesuatu yang penting. Walau siapapun kita, simpanan sangat berguna apabila kita melalui saat-saat kecemasan atau kesukaran.

Sponsored

Hanya Tuhan yang tahu betapa gelisah dan sukarnya apabila kita melalui saat kecemasan dan kesukaran tanpa simpanan. Sudah duit cash habis, simpanan pula tiada. Terasa dunia ini gelap dan sempit sekali. Tidur malam pun tidak lena memikirkan nasib diri. Semua orang pernah melalui situasi tersebut.

Cemas

Semua orang pernah melalui saat-saat cemas sebagai seorang insan. [Imran]

Baru-baru ini saya ada terbaca ramai sekali individu yang terkena dengan Skim Cepat Kaya berkonsepkan emas, kerugiannya mencecah nilai puluhan jutaan ringgit. Bagaimana agaknya individu yang terpaksa menanggung hutang dengan keluarga, rakan-rakan dan orang terdekat dengan nilai jutaan ringgit menghadapi kehidupan selepas ini?

Hari Akhirat Tanpa Simpanan

Itu barulah hakikat dunia. Bagaimana agaknya nasib kita di akhirat nanti tanpa sebarang simpanan? Di dunia kita masih boleh minta pinjam duit saudara mara atau rakan-rakan terdekat, itupun kadang-kadang tiada siapa sudi menolong. Hakikat di akhirat sana semua orang tidak cukup dengan simpanan mereka.

Di sana nanti, usahkan hendak minta pertolongan saudara mara atau kenalan, silap-silap mereka pula datang menuntut hak mereka yang mungkin kita pernah terambil di dunia ini. Tidak cukup dengan pahala kita yang diambil, berkemungkinan kita juga akan menanggung bebanan dosa mereka.

Sudahkah Kita Menyimpan?

Jika kita ‘log in’ masuk ke dalam akaun bank dan lihat amaun duit yang ada, sedarlah itu bukanlah simpanan kita. Bila kita buka fail jumlah aset kita di sana sini, ia juga bukanlah simpanan yang kita boleh gunakan di sana nanti.

Apabila kita mati, semua amaun di dalam bank dan aset kita akan jadi milik orang lain. Simpanan kita yang sebenar ialah apabila kita membelanjakan apa yang kita ada di jalan Tuhan. Hantarlah sebanyak mungkin simpanan selagi kita diberikan masa oleh Tuhan untuk menyimpan.

Sponsored

Apabila tiba masanya kelak, terputus sudah hubungan kita dengan dunia. Itulah hari di mana semua anak adam rasa sungguh menyesal. Tiada siapa yang kita boleh berharap dan tiada siapa yang kita boleh minta pertolongan.

Selamatkanlah diri kamu dari neraka walaupun hanya ( bersedekah) dengan secebis kurma. Hadith riwayat Imam al-Bukhari

Kongsikan Tazkirah Ini


Adly Bin Mukhtar

Adly
Saya seorang yang minimalis, berani mengambil risiko, suka membaca dan berstatus 56.4% single. Oh! Kini saya merupakan CEO Yosh.my iaitu sebuah syarikat yang membangunkan platform perniagaan berasaskan dropship diantara yang terawal di Malaysia.