Wanita

Kaki Kecil Di Pintu Syurga

Oleh Dalin Ali  •  17 Nov 2014  •  5 min baca

Pregnant

Air mata saya bercucuran, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya dikala itu. [F&W]

“Maafkan saya Puan. Kandungan Puan tidak dapat diselamatkan”.

Suasana sepi.

“Allah s.w.t lebih menyayangi dia Puan”.

Dan tembok airmata itu runtuh jua.

Dia Pergi Buat Selamanya

12/6/2008. Tarikh itu akan saya ingati sampai bila-bila. Tidak mungkin saya melupakan hari anak kedua saya, pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Terlalu sebentar dia dipinjamkan kepada saya. Pendarahan sejak 3 hari sebelumnya, memberikan petanda awal bahawa saya akan kehilangannya.

Dia sangat istimewa dalam hidup saya. Dia yang saya nantikan selama 3 tahun, selepas kelahiran Abang Aiman. Berita kehadirannya kami sambut dengan penuh kesyukuran.

Saya yang memang aktif sewaktu mengandung kali pertama dahulu, tidak menyangka bahawa seiring dengan peningkatan usia, saya tidak boleh lagi aktif seperti dahulu.

Kudrat wanita saya tidak lagi mampu mengimbangi tekanan kerja dan tugasan harian, seperti 3 tahun yang lalu.

Kali pertama berlaku pendarahan, saya bergegas ke hospital. Sewaktu diperiksa doktor, saya dimaklumkan bahawa dia berusia 10 minggu. Dari imbasan ultrasound, saya melihat kelibatnya buat kali pertama dan mendengar degupan jantungnya.

Saat Mula Mengenalinya

Doktor berkata, “Lihat, itu dia. Itu bunyi degupan jantungnya!”

Hingga ke hari ini, bunyi degupan itu masih boleh saya dengari.

Meskipun tidak pernah memeluknya, saya sudah mula mengasihinya. Kandungan saya sedikit lemah ketika itu, dan diminta bersedia untuk apa jua kemungkinan.

hamil 10 minggu

Lihat, itu dia. Itu bunyi degupan jantungnya! [Pregmed]

Tetapi takdir Allah s.w.t mengatasi segalanya. Sudah tertulis, saya akan kehilangannya pada 12/6/2008. Bagi orang lain, dia mungkin seketul daging yang tidak sempurna.

Tetapi, bagi saya yang pernah mendengar degupan jantungnya, serta melihatnya di dalam rahim saya. Masakan saya tidak akan mengasihinya? Menangisi pemergiannya?

Duhai Hati, Bersabarlah!

Hari demi hari saya lalui. Di depan semua, saya nampak tabah dan melupakan. Hakikatnya, hati saya merintih pedih. Saya sering menangis sendirian seusai solat dan air mata gugur sewaktu memandu.

Apapun, hidup mesti diteruskan. Ada jiwa lain yang masih mengharapkan ketabahan saya, iaitu suami dan anak sulung saya.

Jika ada sesiapa bertanyakan keadaan saya, saya hanya tersenyum. Mulut berkata redha, tetapi hati masih menangis. Hinggalah pada suatu hari, saya terbaca bahawa anak-anak yang meninggal dunia ini, rupa-rupanya ditempatkan di syurga.

Malahan, dia akan menunggu saya di pintu syurga kelak. Air mata saya tumpah lagi. Begitu indah aturan Allah s.w.t, memberi jawapan kepada kesengsaraan hati, malah mengaturkan yang terbaik untuk saya dan dia.

“Tiap-tiap anak kecil yang mati sebelum baligh, akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah.”

Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

“Ibu bapa yang kematian anak kecilnya (anak yang belum baligh), maka Allah s.w.t benarkan anaknya itu mencari mereka dalam keramaian manusia yang menunggu hisab, dan membawa mereka ke syurga.

Namun, ada dua syarat yang melayakkan ibu bapa mendapat kelebihan itu, yakni sewaktu anak mereka meninggal, mereka
SABAR dan REDHA pada Allah s.w.t.”

Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban

Sesungguhnya, mengetahui anak saya berada di syurga Allah itu mendamaikan.

Mengetahui bahawa Allah s.w.t. mengasihi anak saya, lebih dari kasih sayang saya terhadapnya, adalah penawar kepada kesengsaraan saya. Mengetahui bahawa ada kaki kecil yang menunggu saya di pintu syurga itu, satu anugerah yang tidak ternilai.

Penawar Untuk Diri

Kesengsaraan hati seorang ibu yang kehilangan anak itu, hanya difahami oleh mereka yang melaluinya. Kepada suami dan ahli keluarga, berikanlah sokongan dan penawar kepada hati yang lara itu.

Kadangkala, penawar itu sudah ada di hadapan kita, tetapi kita yang tidak mahu membuka hati kita untuk melihatnya. Saya kehilangannya pada usia 10 minggu, bayangkan perasaan mereka yang kehilangan setelah melahirkannya ke dunia ini?

Sokongan & Harapan

Berilah dorongan kepada kami agar dapat kembali mekar seperti dulu. [Aussiegal]

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:

“Jika seorang hamba Allah s.w.t kematian anak,

Allah s.w.t bertanya kepada Malaikat: Adakah kamu telah mengambil nyawa anak HambaKu?

Malaikat menjawab: Ya.

Allah s.w.t bertanya lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?

Malaikat menjawab: Ya.

Allah s.w.t bertanya kali ketiga: Apakah kata hambaKu?

Malaikat menjawab: Ia bersyukur padaMu serta mengucapkan dari Allah s.w.t kita datang dan kepadanya kita kembali.

Allah s.w.t memerintahkan malaikatNya: Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu, “Rumah Kesyukuran”.

Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban

Kini, 6 tahun telah berlalu, namun tidak pernah satu hari pun berlalu tanpa saya mengingatinya, mendoakannya. Setahun lebih selepas pemergiannya, saya dikurniakan seorang anak perempuan lagi, melengkapi keluarga kami.

Saya redha dengan pemergiannya, malah tahu dia pasti sedang bergembira di sana.

Suatu hari nanti saya pasti akan bertemu dengannya. Masanya semakin hampir. Persoalannya, adakah dia akan mengenali saya nanti, dengan pakaian amal saya di dunia ini?

Lamakah lagi dia perlu menunggu untuk berjumpa saya kelak? Dapatkah saya melepasi titian sirat itu?

Adik, Mama sangat mengasihi dan merindui Adik.

Semoga kita berjumpa di sana ya, di pintu itu!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Dalin Ali

Dalin Ali

Seorang peguam yang jatuh cinta dengan menulis. Minimalis dan gemar belajar dari universiti kehidupan. Mencari bahagia yang pasti dengan mereka yang dikasihi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami