Setiap tahun, umat Islam akan meraikan sambutan Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji seluruh dunia.

Aidiladha merupakan perayaan terbesar di dalam Islam setelah Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Aidiladha ini disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun.

Ghalibnya, ia dimulai dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, seterusnya diikuti dengan solat sunat Aidiladha pada siang harinya.

Kemudian, ibadah korban akan dimulakan sama ada dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah. Keempat-empat hari ini merupakan Hari Tasyrik.

Hari Tasyrik ialah hari yang diharamkan untuk berpuasa bagi umat Islam.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Dalam menjalani ibadah ini, sudah pasti ada di antara kita yang tertanya-tanya, apakah yang berlaku di sebalik kewujudan hari raya besar ini?

Bagaimanakah tercetusnya ibadah korban yang memerlukan umat Islam melaksanakan ibadah sembelihan?

Tahukah kita, ibadah ini dilakukan bagi memperingati peristiwa dan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menjalankan perintah Allah s.w.t juga kesabaran anaknya; Nabi Ismail dalam memenuhi perintah-Nya.

Rentetan kisah ini ada diceritakan dalam firman Allah s.w.t dalam Surah As-Saffat bermula ayat 100 – 107 yang bermaksud;

‘Wahai Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk dalam kalangan orang yang soleh.’ Maka, Kami memberi khabar gembira kepadanya dengan kelahiran seorang anak yang sabar (Ismail).

Maka, ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah bagaimana pendapatmu!’

Dia (Ismail) menjawab, ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, insya-Allah engkau akan mendapatiku termasuk dalam kalangan orang-orang yang sabar.’

Maka, ketika keduanya telah berserah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah). Lalu, Kami panggil dia, ‘Wahai Ibrahim! Sungguh, engkau telah membenarkan mimpi itu.’

Sungguh, demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Dan, Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

Melihatkan kesungguhan Nabi Ibrahim a.s yang ingin menyembelih anaknya sendiri, serta-merta tempat pembaringan Nabi Ismail itu digantikan oleh Allah s.w.t dengan binatang kibas.

Peristiwa inilah yang menjadi dasar bagi pensyariatan korban yang dilakukan setiap tahun di seluruh dunia bagi umat Islam.

Moga kita dapat bersama-sama menghayati erti pengorbanan yang dilakukan oleh Baginda Nabi Ibrahim seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.