Inspirasi

Sedarlah Tempoh Usia Kita Kian Berkurangan

Oleh Rizal Alhaj  •  5 Aug 2018  •  3 min baca

Adakah usia anda sekitar 35 tahun – 40 tahun? Ketahuilah usia 35 tahun – 40 tahun ialah usia di mana kebanyakan kita mula diuji.

Ujian boleh datang dari ibubapa (jatuh sakit dan kematian) atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit dan pergaduhan) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.

Memang bermula 35 tahun – 40 tahun, Allah S.W.T akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Allah S.W.T selalunya berbentuk ujian kerana hanya dengan cara itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.

Hamba yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di Syurga kelak.

Manakala hamba yang kurang bijak tetap leka dan langsung tidak membuka deria terhadap panggilan Allah S.W.T malah terus leka dengan keseronokan dunia, berkumpul dengan rakan-rakan dan kurang memberi perhatian kepada suami, isteri dan anak-anak.

Usia 35 tahun – 40 tahun ini menjadi lebih menarik apabila Al-Quran ada menyebut tentang itu. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud ;

“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibubapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat usia empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata, “Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal solih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu).”Surah Al-Ahqaaf : 15

Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun malah 70 tahun, masih memikirkan kereta keluaran terbaru, tanaman-tanaman di dusun, ternakan lembu kambingnya, harta-hartanya, anak-anak dan cucu-cucunya.

Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah Agama, Ibadat di Masjid, Umrah, Haji dan sebagainya.

Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala sedang hakikatnya, kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta di luar sedangkan rumahtangga yang halal dibiar tanpa perhatian.

Ada yang merasa seperti masih sihat dan kuat, walaupun sahabat dan rakan sebaya, saudara-maranya, ramai yang sudah meninggal dunia.

Meninggalkannya yang adakalanya tanpa disangka. Itu semua sedikit pun tidak menyedarkan kita. Bahawasanya nyawa boleh di ambil oleh Allah S.W.T, bila-bila masa sahaja.

Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih berada diawangan dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri. Nafsu memang tidak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.

Andai Allah S.W.T menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang.

Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Allah S.W.T. Kita hidup di dunia, tidak lama. Rasulullah S.A.W telah bersabda;

“Umur-umur umatku antara 60 tahun hingga 70 tahun dan sedikit benar yang boleh melampaui umur tersebut”Riwayat Ibnu Majah : 4236

Jika sekarang kita merasa 35 tahun – 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah Alam Barzakh atau Akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama.

Satu hari bersamaan dengan ribuan tahun. Ingatlah, ketika itu tidak ada yang berguna kecuali amal baik kita.

Oleh kerana itu, lihatlah diri anda, sudahkah kita mempersiapkan amalan yang terbaik untuk dijadikan bekalan?

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud ;

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan lihatlah diri masing-masing apakah yang sudah ia persiapkan untuk kehidupan esoknya”Surah Al-Hasyr : 18


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rizal Alhaj

Rizal Alhaj

Berasal dari Selangor

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami