Salam Jumaat sekalian. Biar saya cerita tentang 2 orang kawan semasa saya sekolah dahulu. Nama terpaksa saya gunakan nama lain supaya tidak menyentuh sensitiviti mereka.

Dalam kelab bodoh, saya merupakan presiden yang melantik diri sendiri menjadi dominan dalam golongan pelajar-pelajar tercicir yang akan rehat di bawah pokok pelindung tepi padang sekolah. 2 orang dari ahli kelab bodoh yang sentiasa menguasai 5 tempat terbelakang dalam apa-apapun peperiksaan di sekolah bernama Azmi & Sidek (Bukan nama betul).

Budak Nakal

Budak-budak nakal sebenarnya bukan bodoh. [Niloy]

Kelab Bodoh ini ialah gelaran yang orang kampung beri untuk budak-budak yang malas nak belajar dalam kelas. Azmi dan Sidek termasuk saya bila berada dalam kelas tak faham apa pun yang cikgu ajar.

Kesudahannya kami jadi budak nakal tetapi cerdik dan kreatif. Kami juga pernah ditangkap kerana mencipta cermin pantulan yang diikat pada kasut untuk mengintai warna seluar dalam cikgu wanita yang pakai skirt. Ada pernah kami kantoi kerana kami tergelak bertiga kerana cikgu pakai seluar dalam kartun.

Gelak itu menyedarkan cikgu itu tentang kami. Maka kami bertiga jadi asbab disiplin sekolah yang mengharamkan sharpener bercermin.

Kami duduk dalam kelas pun tak faham apa cikgu cakap. Tapi kalau kami tak pergi sekolah, nanti emak ayah marah pula. Maka kami pergi juga sekolah untuk buang masa. Beza kami bertiga ialah saya berusaha habis-habisan kerana tekanan orang kampung dan arwah emak yang selalu menangis bila menyentuh report card saya.

Sungguhpun beliau tidak pandai membaca (buta huruf) namun beliau kenal mana yang merah dan mana yang biru. Sekalipun saya cuba menipu arwah emak mengatakan MERAH itu untuk subjek cemerlang dan biru itu gagal, tetapi serta merta saya kena libasan rotan oleh arwah emak sambil menjerit

“Ko ingat emak ni bodoh ke? Emak juga ada network emak yang tahu merah tu GAGAL”.

Ok…cerita saya sampai situ. Akhirnya saya usaha juga sampai boleh catch-up balik kelas.

Perjalanan Ahli Kelab Bodoh

Sidek dan Azmi ada masalah. Sidek akhirnya diberhentikan sekolah oleh mak ayahnya. Jiran tetangga mencemuh mengatakan Sidek tiada masa depan dan bakal jadi “Dokter Kampung” (Drug addict). Sidek mula masuk bengkel motor dan belajar kemahiran membaiki motor. Akhirnya pada umur 15 tahun Sidek dah buka bengkelnya sendiri. Terbaru lebih kurang 3 tahun lalu saya jumpa Sidek dah jadi supplier barang-barang motosikal di Temerloh.

Azmi pula dipaksa oleh ibu bapanya untuk terus ke sekolah. Akhirnya setelah berusaha, Azmi tak mampu juga ikuti pembelajaran di kelas. Saya pula semakin catch-up dengan pelajaran sehingga saya disingkirkan dari menjadi presiden kelab bodoh yang bersidang setiap kali rehat di bawah pokok tepi padang sekolah. Kerana banyak tak datang meeting, saya tersingkir secara automatik. Lalu Azmi menjadi kepala gangster sekolah.

Walau dipaksa pergi ke sekolah sekalipun, beliau tetap tidak mampu untuk memahami pembelajaran di sekolah. Akhirnya Azmi menggunakan masa yang ada untuk mencipta pelbagai kenakalan. Cerita panjang itu saya pendekkan, Azmi kini seorang penagih dadah yang telah lebih 5 kali masuk keluar Pusat Serenti dengan fail jenayah rompak dan ragut lengkap dalam fail jenayah beliau.

Saya pula seperti yang anda lihat hari ini, seorang yang kacak, sopan dan bergaya. Setidak-tidaknya Sidek yang sekolah tak habis pun sudah ada beberapa buah bengkel dan boleh buat business supply alat ganti lagi.

Kura-kura

Bayangkan seekor kura-kura dipaksa untuk memanjat pokok. [ronwalf]

Pelajaran besar di sini, manusia dicipta untuk melengkapi satu sama lain. Semua orang kejadiannya dan kemampuannya agak unik. Jika kita letakkan kura-kura untuk panjat pokok, akan ada kura-kura yang berusaha keras dan akhirnya mampu panjat pokok (macam saya).

Setiap Makhluk Dicipta Untuk Saling Melengkapi

Ada juga kura-kura yang terus berhenti dari panjat pokok dan pergi berenang (Sidek). Ada juga kura-kura yang masih kena panjat pokok walaupun tidak mampu. Akhirnya pokok tu habis tercalar dan dirinya sendiri asyik jatuh dan rosak (Azmi).

Jika kita seorang ibu bapa melihat anak kita agak teruk di dalam aliran akademik walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh, maka cepat-cepatlah salurkan mereka ke tempat yang sepatutnya kerana alam ini terbentuk dari gabungan pelbagai jenis manusia, haiwan dan tumbuhan.

Cuba bayangkan kalau Allah jadikan semua tumbuhan adalah pokok durian, semua haiwan ialah lembu dan semua manusia adalah sama. Adakah alam akan kelihatan seindah hari ini?

Saya mungkin selamat kerana berusaha akhirnya mampu juga jadi kura-kura yang boleh panjat pokok. Tetapi, tak tentu lagi saya pandai turun pokok dengan selamat. Akhirnya saya juga beralih arah ke tempat yang saya fikir lebih baik walaupun telah buktikan saya boleh panjat pokok.

Peperiksaan di Malaysia hanya 1 jalan untuk menguji semua kelainan potensi manusia. Kura-kura, tenggiling, kuda, harimau, cipan, belalang kunyit dan sebagainya, semua kena ambil ujian yang sama.

Jadi macam ibu bapa Sidek yang berani untuk ubah nasib anaknya sekalipun jiran tetangga memberi pelbagai pandangan sinis. Setiap kali selepas ujian, semua akan tayang keputusan anak-anak di papan kenyataan simpang kampung dan juga kedai-kedai kopi.

Jika anda mempunyai anak seperti karakter di atas, tolong jangan zalimi mereka. Sebaliknya cuba kenali kecenderungan mereka. Jika difikirkan, saya hanya bernasib baik sedikit berbanding Azmi kerana dia juga berusaha tapi masih belum berjaya. Jika tidak, saya juga akan menjadi seperti Azmi.

Kalau tidak saya mungkin seorang Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tentang Saiful Nang

Saiful Nang

Executive Chairman, Pengasas Bersama Rumah Kebajikan, Motivator, Dyslexic, Film Director, Cikgu, Ph.D candidate, Book Writer, Art Director, Sarcastic Facebook Status Poster. Rumah Pengasih Warga Prihatin ialah cinta hati saya. Isteri dan anak saya ialah teman sejati saya. Kerjaya saya ialah hobi saya.

Wakaf Artikel

Kami berharap dapat menerbitkan lebih banyak artikel Islamik yang ringan dan santai kepada para pembaca. Anda boleh menjadi sebahagian penyumbang untuk merealisasikan sasaran dakwah secara digital ini.


Ikuti Instagram Tazkirah.net untuk mendapatkan inspirasi islamik yang ringan & santai setiap hari. Klik Untuk Ikuti