Gaya Hidup

Sahabat Pimpin Tangan Aku Ke Syurga

Oleh Syafiq Salim  •  9 Jun 2018  •  6 min baca

Sahabat merupakan perkara yang sangat dihajati dalam perhubungan sesama manusia.

Perkataan sahabat itu sendiri bukan hanya terjadi dengan tiada apa-apa makna tetapi disisinya itu terdapat bukti mereka berkongsi perasaan ketika senang dan susah, miskin dan kaya, sedih dan gembira.

Lebih daripada itu mereka sangup menjadikan cita-cita kita sebagai cita-cita mereka yang perlu didukung menjadi kenyataan bahkan cita-cita itu dapat dituai hasilnya walaupun kita tiada lagi.

Cita-cita yang dikongsi itu ingin melihat manusia berada di jalan yang lurus. Kita boleh katakan sahabat suatu yang mahal.

Dengannya kita berani menempuh kehidupan yang sukar dan dengannya kita dapat berkongsi kekegembiraan bersama-sama.

Ukhwah yang terbina lebih mahal dari cinta, kerana cinta itu kebanyakan lahir lantaran ingin mengambil sesuatu daripada empunya diri. Tetapi tidak sahabat! Kata Buya Hamka dalam karya Falsafah Hidup;

“Kalau hanya semata-mata cinta, daerahnya terlalu sempit. Tetapi persahabatan mempunyai daerah lapangan yang amat luas, dalam mengharungi lautan hidup yang tiada tentu di mana tepinya ini. Beroleh kemenangan lantaran bertambah seorang sahabat, lebih mahal harganya dari kemenagan mendapat balasan cinta”

Sifat Sahabat

Wahai saudaraku, sesungguhnya sahabat itu susah untuk ditemui. Mungkin boleh bertemu di tepi jalan atau di pasar-pasar. Mungkin! Tetapi hendaklah kamu tahu orang yang baik pasti selalu berada di tempat yang baik.

Tempat untuk dahinya tunduk kepada penciptanya dan di tempat yang menghilangkan kejahilan manusia iaitu majlis ilmu. Pergilah ke sana kerana di situ pasti kamu akan bertemu ramai sahabat.

Sahabat itu ada peragai dan sifatnya. Sifat yang mahal yang mana kita perlu mencarinya bersungguh-sungguh.

Ingat jika engkau menemui sifat ini janganlah engkau melepaskannya kerana itu adalah kerugian yang nyata bukan sahaja dalam perkara dunia bahkan akhirat kita. Sepertimana disebutkan oleh Dr. Zulkifi Mohamad Al-Bakri iaitu;;

“Pilihlah rakan taulan yang baik kerana antara sifat mereka adalah orang yang menghiburmu ketika mana engkau sedih, membantumu ketika engkau susah, mengingatkanmu ketimana engkau lalai dan mendoakanmu setelah engkau tiada kelak”

Sahabat Rasulullah S.A.W

Kisah ini dirakamkan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah wa al-Nihayah, di mana Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Rasulullah S.A.W lalu dibawa untuk dibunuh oleh Abu Sufyan.

Ketika itu beliau belum lagi menerima Islam. Abu Sufyan bertanya kepadanya;

“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya dan engkau berada di samping keluargamu”

Jawab Zaid;

“Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku”

Kata Abu Sufyan;

“Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad”

Subahanallah, bilamana kita membaca kisah sahabat nabi dengan perasaan halus kita akan mengalirkan air mata.

Perjuangan yang mereka lakukan kepada Rasulullah S.A.W sangat besar sehinggakan hari ini kita menikmati Islam. Sehingga para ulama menyatakan pengorbanan yang hebat itu dengan kalam;

“Jika Rasulullah itu tiada mukjizat, maka sahabat-sahabatnya adalah mukjizat”

Kemuliaan Di Dunia Dan Akhirat

Hidup ini bukanlah hidup semata-mata, menungu masa untuk mati tanpa ada nilai dalam pengisian hidup.

Kemulian seseorang adalah bagaimana kehidupannya dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan ini perlu kepada sahabat yang membantunya sebagaimana sahabat Rasulullah S.A.W membantu baginda dalam membaiki umat.

Bahkan sahabat boleh menjadi pelindung kita yang hebat sebagaimana dinyatakan oleh seorang jeneral yang hebat pada zaman Umayyah, Al-Muhallab ibn Abi Sufrah;

“Sesungguhnya sahabat lebih mulia daripada sebilah pedang yang tajam”

Ya, memang betul pedang yang tajam boleh melindungi kita, tetapi apabila kita sudah kehabisan tenaga. Bagaimana pula?

Sahabat adalah lambang kekayaan kita sebenarnya. Sebab itu cari sahabatmu! Kata Buya Hamka dalam karyanya Tuan Direktur;

“Kekayaan wang tetapi miskin di dalam sahabat handai adalah kemiskinan sejati. Sahabat waktu susah itulah yang perlu. Padahal engkau tidak akan dapat menghindar dari kesusahan, tidak percaya! Selama masih Allah juga Tuhan kita, manusia tiada akan terhindar dari senang dan sengsara!”

Hidup ini pasti melalui saat yang sukar, memeritkan untuk menempuhnya sehingga kita seakan-akan tumbang dan menangis.

Sahabat yang berkasih sayang kerana TuhanNya akan membantu kita kerana kesedihan kita adalah kesedihan mereka. Ujian kita adalah ujian mereka juga.

Sesungguhnya bersahabat kerana Allah S.W.T pasti mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat sebagaimana di dalam hadis Qursi, Allah S.W.T berfirman;

“Di mana orang yang saling mencintai demi kemuliaanKu? Pada hari ini Aku akan menaungi mereka dalam naunganKu, kerana pada hari ini tiada naungan selain naunganKu” Riwayat Muslim

Itulah kemuliaan dan ganjaran yang Maha Agung.

Berjuang Menuju Syurga Bersama

Kata Imam al-Syafi’e yang mana dirakamkan oleh syaikh Abdul Wahab Al-Sya’rani dalam kitabnya Tanbiih Al-Mughtariin;

“Kalau bukan kerana (duduk) berbincang dengan sahabat di dunia ini dan tahajjud pada waktu sahur nescaya aku tidak suka berada lama di dunia ini”

Sahabat menyuntik semangat untuk berjuang. Tidak kira apa yang kita tempuh asalkan kita ada sahabat!

Sahabat memberi nafas untuk hidup menempuh kehidupan yang belum tentu arahnya itu. Kerananya kita berani, kerananya kita tetap berpendirian. Kerananya kita tahu kita tidak berkeseorangan dalam menegakkan keyakinan.

Bahkan sahabat sebenar adalah ingin melihat saudara seIslamnya selamat daripada azab api neraka. Itulah tugas sebenar sahabat! Sepertimana sahabat nabi yang bersungguh-sungguh membetulkan masyarakat pada hari-hari awal dulu.

Mereka berjuang bersungguh-sungguh, moga-moga dengan usaha mereka itu dapat lorongkan kebaikan pada diri mereka sendiri.

Sebagaimana gologan Ansar mendoakan sahabat Muhajirrin yang pernah menolong mereka dalam urusan agama. Allah S.W.T berfirman;

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian, mereka (berdoa dengan) berkata : “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”Surah al-Hasyar: 10

Oleh itu, pilihlah sahabat yang baik kerana boleh jadi ia merupakan pintu untuk kita ke syurga. Sahabat itu ketika kita senang mereka bahagia dan ketika susah mereka berjuang bersama-sama.

Apatah lagi kemanisan itu membawa ke syurga Allah S.W.T. kerana itu Buya Hamka menyatakan;

“Adakala kita tersalah, Allah datangkan sahabat untuk tegur. Adakala kita betul, Allah datangkan sahabat yang patut ditegur. Adakala kita diuji, Allah datangkan sahabat untuk bantu kita. Adakala sahabat kita diuji, Allah beri kekuatan untuk kita bantu dia. Jadi hargailah sahabat, mungkin kerana dia kita ke syurga”

Semoga kita semua dapat berkumpul bersama-sama di syurga kelak wahai sahabatku!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami