Saba’ ialah satu kaum yang mendiami daerah selatan Yaman. Mereka berketurunan Saba bin Yasyjab. Kaum Saba’ dipimpin oleh seorang ratu yang bernama Ratu Balqis. Nabi Sulaiman as diutuskan oleh Allah SWT kepada kaum ini untuk menyeru mereka mentauhidkan Allah SWT.

“Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya apa-apa yang diperlukan dan dia turut mempunyai singgahsana yang besar.”Cerita burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman as.

Namun, Ratu Balqis dan kaumnya tidak beriman kepada Allah SWT, bahkan sujud menyembah matahari.

Hud-hud memberitahu lagi, “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dan tidak menyembah Allah. Syaitan telah memperelokkan pada pandangan mereka akan perbuatan syirik tersebut, lalu menghalang mereka dari jalan yang benar. Oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk”.

Setelah mendengar perkhabaran hud-hud, Nabi Sulaiman as mula menyiasat lalu memerintahkan tenteranya untuk menghantar surat kepada ratu kerajaan Saba’ itu.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

“Pergilah bawa suratku ini dan campakkan kepada mereka, kemudian berundurlah. Lalu, perhatikan tindak balas mereka”. Perintah Nabi Sulaiman as kepada utusannya.

Setelah Ratu Balqis menerima surat itu, dia terus memanggil para pembesarnya.
“Wahai para pembesarku! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat dari Nabi Sulaiman.”

Antara isi kandungan surat Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis adalah seperti berikut; “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, ‘Janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri; beriman dan mematuhi ajaran Allah’.”

Selesai membaca isi kandungan surat tersebut, Ratu Balqis berkata lagi,
“Wahai para pembesarku, berilah penjelasan kepadaku dengan keadaan yang aku hadapi ini. Sesungguhnya aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu semua memberi pendapat dan mempersetujuinya.”

Lalu, seorang pembesarnya menjawab, “Kita adalah golongan yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan. Walau bagaimanapun, tentang perkara itu terserahlah kepada Tuanku. Fikirkanlah apa-apa yang Tuanku hendak perintahkan.”

Kemudian, Ratu Balqis menetapkan keputusan untuk mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman. Baginya, hadiah mampu mempengaruhi keputusan dan tindakan seseorang.

“Aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka. Kemudian, aku akan menunggu tindak balas yang akan dibawa pulang oleh utusan-utusan kita.” Kata Ratu Balqis.

Apabila utusan Ratu Balqis datang menghadap Nabi Sulaiman as dan menyampaikan hadiah, baginda berkata, “Kamu tidak patut memberiku hadiah berupa kebendaan, kerana apa-apa yang telah diberikan Allah SWT kepadaku lebih baik daripada apa-apa yang telah diberikanNya kepada kamu.”

“Kembalilah kepada mereka. Jika mereka masih tetap tidak beriman, maka kami akan datang dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya. Kami juga akan mengeluarkan mereka dari negeri Ratu Balqis dengan keadaan hina dan menjadi orang-orang tawanan.” Pesan Nabi Sulaiman kepada utusan itu lagi.

Setelah utusannya kembali menghadap Ratu Balqis dan menyampaikan pesanan daripada Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasakan kerajaannya tidak mampu menandingi kerajaan Nabi Sulaiman as yang ternyata sangat kuat itu.

Lalu, Ratu Balqis memerintahkan utusannya untuk kembali semula menghadap Nabi Sulaiman dan menyampaikan pesanan bahawa dia bersama-sama para pembesarnya akan datang ke tempat baginda.

Ketika Ratu Balqis dalam perjalanan, Nabi Sulaiman bertanya kepada para pengikutnya, “Wahai tentera-tenteraku, siapakah antara kalian yang mampu membawa kepadaku singgahsana Ratu Balqis sebelum mereka menghadapku?”

Lalu, berkatalah Ifrit dari golongan jin, “Aku akan membawakannya kepada Tuanku sebelum Tuanku bangun dari tempat duduk itu. Sesungguhnya, aku kuat dan amanah untuk membawanya.”

Kemudian, seorang yang alim dan berpengetahuan tinggi pula mencelah, “Aku akan membawakannya kepada Tuanku dengan sekelip mata!”

Tiba-tiba singgahsana Ratu Balqis benar-benar berada di hadapan baginda.
“Ini adalah limpah kurnia Tuhanku, untuk menguji diriku, sama ada aku bersyukur atau tidak. Sesungguhnya, sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu kembali kepadanya sendiri. Manakala sesiapa yang kufur, itu tidaklah menjadi hal kepada Allah. Ini kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” Kata Nabi Sulaiman as.

Kemudian, baginda berkata lagi kepada tentera-tenteranya, “Ubahkan keadaan singgahsananya itu. Aku ingin mengujinya sama ada dia dapat mengenal pasti singgahsananya sendiri atau tidak.”

Sewaktu Ratu Balqis dan rombongannya tiba, Nabi Sulaiman as bertanya kepadanya, “Adakah ini singgahsanamu, wahai Balqis?”

“Mungkin.” Jawab Ratu itu ringkas.

Ratu Balqis tidak menjawab ‘ya’, ini kerana dia melihat terdapat sedikit perbezaan dalam singgahsana tersebut. Dia juga tidak mengatakan ‘bukan’, kerana ada sebahagian tempat dalam singgahsana itu sama dengan miliknya.

Melalui jawapan Ratu Balqis itu, Nabi Sulaiman as mengetahui Ratu Balqis adalah seorang wanita yang bijaksana.
“Silakan masuk ke istanaku ini.” Pelawa Nabi Sulaiman as kepada Ratu Balqis dan rombongannya.

Sebaik sahaja Ratu Balqis melangkah masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman, dia amat terpegun dengan apa yang dilihatnya. Dia menyangka halaman istana itu sebuah kolam air, lalu dia segera mengangkat kainnya sehingga mencecah betis.

“Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang licin dan berkilat, ia diperbuat daripada kaca.” Kata Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis.

Mendengarkan penjelasan Nabi Sulaiman, Ratu Balqis berasa terkejut dan malu. Lantas, berdoa, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dan kini, aku berserah diri kepada Allah Tuhan sekalian alam.”

Akhirnya, Ratu Balqis memeluk Islam dan kembali beriman kepada Allah SWT. Berkat keislaman Ratu Balqis itu, kaumnya juga turut mengikuti jejak langkahnya dan meninggalkan Tuhan sembahan mereka sebelum ini.
Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.