“Everything that we have done in the business world is about making money, that what indicate how successful we are. However,in the business doesn’t have to always money-centered, because human being are not always about money, human being are much bigger than money working machine, we are not robot, we are human being, we take care ourselves individually, at the same time we take care of the everybody else.”

“Setiap perkara yang kita lakukan dalam dunia perniagaan adalah tentang penjanaan duit, itu yang menentukan betapa berjayanya kita. Tetapi, sebenarnya dalam perniagaan, kita tidak perlu sentiasa berorientasikan duit, kerana kehidupan seorang manusia bukan hanya tentang duit. Fungsi manusia adalah lebih besar dari hanya mesin-kerja untuk menghasilkan duit, kita bukan robot, kita adalah makhluk bernyawa. Kita menjaga diri kita sendiri, dan dalam masa yang sama kita menjaga orang lain juga”

Demikianlah butir-butir kata yang diungkapkan oleh Prof Muhammad Yunus. Seorang usahawan hebat kelahiran Bangladesh. Beliau sanggup meninggalkan kerjaya pensyarah ekonomi untuk menjadi pengasas bank semata-mata untuk membantu golongan miskin.

Beliau merupakan graduan doktor falsafah dalam jurusan ekonomi dari Universiti Vanderbilt. Permikirannya yang luar biasa telah meledakkan satu fenomena baru dalam dunia ekonomi di peringkat antarabangsa.

Tokoh yang mempunyai hati yang luhur ini adalah perintis kepada Grameen Bank. Grameen bank adalah satu-satunya bank yang sanggup meminjamkan AS$10 bilion kepada orang miskin tanpa cagaran tetapi masih mampu meraih bayaran balik pada kadar 98 peratus. Sungguh luar biasa bukan?

Selari dengan maksud Grameen iaitu ‘kampung’ atau ‘luar bandar’, objektif penubuhan Grameen Bank adalah untuk membebaskan warga luar bandar Bangladesh daripada kemelut kemiskinan dan kebuluran. Bank ini memperkenalkan sistem mikro kredit di mana pelanggan boleh membuat pinjaman pada jumlah yang kecil tanpa memerlukan penjamin.

Idea penubuhan Grameen bank tercetus selepas perbualan Prof Muhammad Yunus dengan seorang wanita. Semasa berkhidmat sebagai pensyarah universiti, beliau sering meredah perkampungan untuk ke tempat kerjanya. Ketika melalui sebuah kampung, beliau melihat seorang wanita sedang membuat kraftangan berasaskan buluh yang sangat cantik.

Beliau mendekati wanita itu dan bertanya bagaimana dia memasarkan produknya dan berapakah keuntungan yang diperolehi daripada jualannya. Perempuan itu berkata dia hanya meraih untung 2 sen dolar sahaja daripada jualannya. Jawapannya menyebabkan Muhammad Yunus hairan.

Mana mungkin kraftangan buluh yang cantik itu hanya mendapat keuntungan dua sen dolar. Wanita itu bercerita lagi. Dia sebenarnya tidak mampu membeli buluh dan terpaksa meminjam duit. Harga buluh itu 25 sen dolar. Peminjam meletakkan syarat, jika wanita itu meminjam 25 sen dolar, hasil kraftangan yang dibuat mestilah dijual kembali kepada peminjam itu dengan harga 27 sen dolar.

Muhammad Yunus terkejut. Dia tidak sangka bahawa peminjam itu sanggup menindas wanita itu dengan memberi pinjaman. Muhammad Yunus pun meminjamkan wangnya dan menasihati wanita itu untuk tidak lagi meminjam wang daripada peminjam yang menindas itu. Wanita itu menangis kegembiraan dan berjanji akan membayar balik wang itu selepas memperolehi keuntungan.

Kegembiraan itulah yang menjadi inpirasi kepada Muhammad Yunus untuk mengasaskan Grameen Bank. Beliau memperkenalkan konsep perniagaan sosial, iaitu satu perniagaan yang berorientasikan pertolongan, bukannya keuntungan. Idea yang lahir dari hati yang suci inilah akhirnya telah melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai penerima anugerah Nobel Keamanan pada tahun 2006.

Pendekatan pinjaman tanpa riba ini bukan sahaja mampu menyelesaikan isu kemiskinan di Bangladesh malah ia turut mempengaruhi pembangunan sosial dan ekonomi merentasi dunia. Meskipun bertentangan dengan pendekatan bank konvensional yang lebih mementingkan keuntungan, Prof Muhammad Yunus tekad dengan pendiriannya untuk mengubah sosioekonomi berasaskan konsep perniagaan sosial. Katanya;

“Perniagaan sosial adalah satu perniagaan yang diwujudkan bagi menyelesaikan masalah rakyat tetapi ia mesti mengenepikan soal keuntungan. Masalah kemiskinan tidak akan mampu dibasmi jika masyarakat sibuk memikirkan soal wang dan keuntungan sahaja. Tetapi, percayalah, jika kita ikhlas, pelbagai idea akan muncul untuk menolong golongan miskin ini”

Demikianlah kata-kata yang sering beliau ucapkan dalam setiap majlis rasmi yang dihadiri. Ungkapan ini sudah cukup untuk membuktikan betapa luhur dan tingginya keprihatinan beliau untuk menyelesaikan masalah sosioekonomi berdasarkan kepakarannya.

Beliau juga meletakkan kegembiraan orang lain sebagai objektif kehidupan, bukannya wang sebagaimana yang digambarkan oleh masyarakat sekeliling. Katanya:

“We think making money is the purpose of life, but purpose of life is not making money, purpose of life is to make oneself happy and the rest of the world happy”

“Kita fikir menjana duit adalah tujuan hidup, tetapi sebenarnya ia bukanlah tujuan hidup.Tujuan hidup adalah untuk memastikan diri sendiri dan seluruh dunia ini gembira”

Subhanallah, dengan memahami tujuan hidup, Prof Muhammad Yunus telah berjaya membuat satu perubahan yang besar dalam dunia ekonomi antarabangsa. Meskipun bertentangan dangan falsafah barat yang mengutamakan materialisme dan keuntungan semata-mata, beliau tetap yakin bahawa idea yang lahir dari hati yang tulus bukan sahaja membuahkan kepuasan diri malah berkembang untuk dinikmati oleh orang lain.

Inilah ikon yang wajar dijadikan tauladan buat anak muda yang ingin merintis perubahan. Ingatlah, hanya permikiran yang hebat yang mampu membuahkan tindakan yang hebat. Persis kata-kata hikmah;

“ the power that signal success is the power of your mind”

Tentang Alia Basirah

Alia Basirah

Beliau merupakan graduan lepasan Universiti Utara Malaysia dalam bidang psikologi pendidikan. Seorang penulis yang gemar mengekspresikan idea melalui penulisan. Kini, beliau sedang bergiat aktif dalam penulisan buku dan pernah menulis artikel untuk beberapa majalah islamik tanah air.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.