Rabi’ Ibnu Khutsaim adalah salah seorang ulama tabi’in dan murid kesayangan Abdullah bin Mas’ud; sahabat Rasulullah s.a.w sehinggakan segala sifat dan perilaku gurunya itu ‘tertumpah’ kepadanya.

Abu Ubaidah bin Abdullah bin Mas’ud berkata;

“Apabila Rabi’ Ibnu Khutsaim masuk menemui Ibnu Mas’ud, maka tidak seorang pun diizinkan untuk masuk, sebelum ar-Rabi’ menyelesaikan keperluannya.”

Rabi’ Ibnu Khutsaim Ibnu ‘Aidz berketurunan Arab asli yang berasal dari suku Mudhar dan mempunyai susur galur kepada Rasulullah s.a.w melalui datuknya, Ilyas dan Mudhar.

Beliau yang mendapat julukan ‘Abu Yazid at-Tsauri al-Kufi’ ini juga seorang pemuda yang warak dan rajin beribadah. Walaupun masih muda, kesungguhan Rabi’ Ibnu Khutsaim dalam beribadah sangat diakui oleh beberapa ulama, termasuk gurunya sendiri.

Abdullah bin Mas’ud r.a pernah mengatakan;

“Wahai Abu Yazid, seandainya Rasulullah s.a.w melihatmu, tentulah Baginda mencintaimu. Setiap kali melihatmu, aku selalu teringat kepada mukhbitin (orang-orang yang sentiasa taat kepada Allah s.a.w).”

Sungguh, kezuhudan dan ketakwaan Rabi’ Ibn Khutsaim memang tiada tandingannya. Ibunya sering terjaga pada waktu malam dan mendapati anaknya, Rabi’ Ibnu Khutsaim masih berada di tempat ibadahnya.

“Wahai anakku Rabi’, engkau tidak tidur?”

Jawab Rabi’ Ibn Khutsaim kepada ibunya;

“Bagaimana aku boleh tidur, wahai ibu, jika seseorang di tempat yang gelap berasa khuatir akan diserang musuh?”

Soal ibunya lagi;

“Siapakah musuhmu itu, wahai anakku?”

“Maut, wahai ibu.”

Balas Rabi’ Ibn Khutsaim sehingga membuatkan ibunya mengalirkan air mata. Lalu, ibunya mendoakan puteranya itu agar sentiasa mendapat kebaikan.

Masa berlalu dan Rabi’ Ibn Khutsaim semakin dewasa dan matang, bahkan amal ibadahnya juga semakin bertambah.

Ibunya sering melihat Rabi’ Ibn Khutsaim menangis sendirian di malam hari sewaktu orang lain dibuai mimpi. Hatinya tidak tenteram melihat keadaan anaknya yang berterusan begitu.

Lalu, ibunya pun mendatangi tempat Rabi’ Ibn Khutsaim bermunajat dan menyapanya dengan penuh kasih sayang;

“Wahai anakku Rabi’, apakah yang berlaku pada dirimu? Apakah engkau telah berbuat jahat atau telah membunuh seseorang?”

Rabi’ Ibn Khutsaim menjawab;

“Ya, benar ibu. Aku telah membunuh satu jiwa.”

Ibunya sangat terkejut mendengar kata-kata tersebut. Lalu bertanya lagi;

“Siapakah orang yang engkau telah bunuh itu, anakku? Katakanlah agar aku boleh meminta sesiapa menjadi orang tengah untuk berdamai dengan ahli keluarganya, mungkin mereka akan memaafkanmu. Demi Allah, sekiranya keluarga mangsa itu mengetahui tangisan dan penderitaanmu itu, sudah pasti mereka akan berasa kasihan melihatmu.”

“Wahai ibu, janganlah beritahu kepada sesiapapun. Sesungguhnya, aku telah membunuh jiwaku sendiri dengan dosa-dosaku.”

Balas Rabi’ ibn Khutsaim dengan nada yang sayu dan berterusan menangis.

Rabi’ Ibnu Khutsaim ketika hayatnya dikenali sebagai seorang yang dermawan dan amat berhati-hati dalam setiap percakapan yang keluar dari mulutnya.

Juga, paling utama beliau turut mengajarkan zuriat keturunannya sendiri untuk bersikap dengan ajaran al-Quran. Semoga Allah s.w.t merahmatinya. Amiin.

“Apa-apa yang kamu ucapkan di sini (dunia), maka akan ditulis dan dibacakan semuanya nanti di sana (akhirat).”Kata Mutiara Rabi’ Ibnu Khutsaim

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.