Secara umumnya, para ulama telah sepakat memasukkan anjing ke dalam jenis najis yang berat iaitu najis mughallazah. Istilah berat ini menunjukkan beratnya cara untuk menyucikan najis mughllazah ini iaitu dengan menyucikannya sebanyak tujuh kali air dan salah satunya campuran air dengan tanah.

Hukum Kenajisan Anjing

Ulama memberi pelbagai pendapat berhubung kenajisan anjing. [Joshme17]

Dari Abi Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Sucinya wadah kalian yang dimasuki mulut anjing adalah dengan mencucinya 7 kali.” Dan menurut riwayat Ahmad dan Muslim disebutkan salah satunya dengan tanah.” HR Muslim 279, 91, Ahmad 2/427

Walaubagaimanapun terdapat perbezaan dari sudut menghukumi anjing sebagai haiwan najis berat di kalangan sebahagian ulama. Sebahagian ulama menghukumi anjing sebagai haiwan yang najis berat pada keseluruhan tubuhnya. Namun ada sebahagian ulama tidak menghukumi najis anjing pada badannya kecuali hanya air liurnya dihukum sebagai najis berat.

Berikut adalah pandangan ulama tentang hukum kenajisan anjing yang terdiri daripada Mazhab Al-Hanafiyah, Mazhab Al-Malikiyah, Mazhab Asy-Syafi’iyah dan Mazhab Al-Hanabilah.

Mazhab Al-Hanafiyah

Berdasarkan Mazhab Al-Hanafiyah, kenajisan anjing hanya pada air liur, mulut dan kotorannya sahaja. Sementara itu, tubuh dan bahagian-bahagian lainnya bukannya najis. Pendapat Mazhab Al-Hanafiyah ini adalah merujuk secara zahir kepada hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadith ini menunjukkan bahawa najisnya anjing itu hanya apabila anjing itu minum di suatu wadah air. Maka hanya bahagian mulut dan air liurnya sahaja (termasuk kotorannya) yang dianggap najis. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

Dari Abi Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bila anjing minum dari wadah air milikmu harus dicuci tujuh kali.” HR Bukhari dan Muslim

Kemudian di ikuti dengan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad iaitu:

Rasulullah s.a.w bersabda “Sucinya wadah minummu yang telah diminum anjing adalah dengan menyucinya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah.” HR Muslim dan Ahmad

Mazhab Al-Malikiyah

Mazhab Al-Malikiyah menganggap anjing itu thahirul a’in yang bermaksud tubuh anjing itu bukan benda najis. Mazhab ini mengatakan bahawa setiap hidup itu adalah suci pada zatnya, termasuk anjing. Air yang memercik daripada bulu anjing yang sedang basah tidak menajiskan sesuatu.

Mazhab ini juga menganggap bahawa suruhan Rasulullah s.a.w untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur tetapi disebabkan ketaatan kepada Allah semata-mata iaitu ta’abut. Suruhan Rasulullah s.a.w tersebut terkandung dalam hadith berikut:

Dari Abi Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bila anjing minum dari wadah air milikmu harus dicuci tujuh kali.” HR Bukhari dan Muslim

Mazhab ini turut menyatakan bahawa mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadith Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu lebih-lebih lagi anjing yang mempunyai kebolehan memburu dan membunuh mangsanya melalui gigitan mulutnya.

Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya bersandarkan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Maidah, ayat 4 yang bermaksud:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkan oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu.

Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya.” Al-Maidah 5:4

Dengan demikian, berdasarkan gabungan dalil-dalil yang terdiri daripada hadis dan firman Allah yang mana membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk memburu, justeru Mazhab Al-Malikiyah telah sepakat bahawa mulut, lidah dan air liur anjing bukan najis.

Anjing Minum

Bila anjing minum dari wadah air milikmu harus dicuci tujuh kali. [TPS]

Pendapat Mazhab Al-Malikiyah ini berbeza dengan Mazhab Al-Hanafiyah yang mengakui bahawa mulut, lidah dan air liur anjing itu adalah najis dengan merujuk secara zahir kepada hadis riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abi Hurairah r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bila anjing minum dari wadah air milikmu harus dicuci tujuh kali.” HR Bukhari dan Muslim

Mazhab Asy-Syafi’iyah dan Mazhab Al-Hanabilah

Kedua-dua Mazhab Asy-Syafi’iyah dan Mazhab Al-Hanabilah telah sepakat mengatakan bahawa bukan hanya air liur anjing sahaja yang najis tetapi seluruh tubuh anjing itu adalah najis berat atau mughallazah. Segala yang berkait dengan anjing termasuk keturunannya atau haiwan lain yang bersenyawa dengan anjing turut dihukum sebagai najis mughallazah.

Dengan itu, bagi menyucikannya mesti menggunakan air sebanyak tujuh kali yang mana salah satunya dengan tanah. Secara rasionalnya kedua mazhab ini tidak hanya mengakui mulut dan air liur anjing sahaja yang najis kerana sudah tentu sumber air liur itu dari badannya maka badannya itu turut merupakan sumber najis.

Ini termasuklah sesuatu yang keluar daripada tubuh anjing seperti kencing, kotoran dan keringatnya. Ada pun hadith riwayat Al-Hakim dan Al-Daruquthuny menunjukkan kepada kita bahawa kucing adalah suci dan tidak najis sementara anjing adalah najis. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

Bahawa Rasulullah SAW diundang masuk ke rumah salah seorang kaum dan beliau mendatangi undangan itu. Di kala lainnya, kaum yang lain mengundangnya dan beliau tidak mendatanginya.

Ketika ditanyakan kepada beliau apa sebabnya beliau tidak mendatangi undangan yang kedua, beliau bersabda, “Di rumah yang kedua ada anjing sedangkan di rumah pertama hanya ada kucing. Dan kucing itu tidak najis.” HR Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny

Rumusan

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan bahawa terdapat perbezaan pandangan tentang hukum kenajisan anjing di kalangan ulama yang terdiri daripada ulama-ulama Mazhab Al-Hanafiyah, Mazhab Al-Malikiyah, Mazhab Asy-Syafi’iyah dan Mazhab Al-Hanabilah.

Mereka berbeza pendapat tentang kenajisan tubuh anjing sama ada najis pada seluruh tubuhnya atau hanya pada mulut, lidah dan air liurnya sahaja yang dihukum najis.

Sumber Rujukkan: Kenajisan Anjing Menurut Pandangan Ulama

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Wakaf Artikel

Kami berharap dapat menerbitkan lebih banyak artikel Islamik yang ringan dan santai kepada para pembaca. Anda boleh menjadi sebahagian penyumbang untuk merealisasikan sasaran dakwah secara digital ini.


Ikuti Instagram Tazkirah.net untuk mendapatkan inspirasi islamik yang ringan & santai setiap hari. Klik Untuk Ikuti