Saya masih teringat sebuah kisah tentang penilaian. Semua manusia sentiasa membuat penilaian. Tidak kisah perkara apa yang dibuat, pasti ada sahaja penilaian yang dibuat. Mungkin ianya baik ataupun tidak. Ianya bergantung kepada perspektif dan fahaman masing-masing.

Sama seperti yang terjadi untuk satu lukisan. Ianya mampu memberikan jawapan yang berbeza. Satu kritikan mampu hadir disamping pujian yang dilontarkan.

Pak Cik Buta Dan Kereta Mewah

Kisah ini terjadi beberapa tahun dahulu. Ketika itu saya masih baru sahaja tamat belajar dan baru sahaja mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Saya sempat tinggal bersama dengan keluarga makcik kerana rumah yang lebih dekat dengan jarak tempat kerja.

Pak Cik Buta

Pandangan mata selalu memperdaya manusia. [Yaman Ibrahim]

Oleh kerana tinggal di sana, saya sempat beberapa kali untuk berjamaah di kawasan surau tersebut. Kawasan tersebut masih sahaja baru. Saya sempat duduk seketika di sebelah seorang pakcik di surau. Pakcik ini merupakan seorang yang kehilangan penglihatannya dengan erti kata seorang yang buta.

Namun begitu dia masih lagi datang ke masjid untuk bersama-sama mengimarahkan masjid. Bukan senang untuk seorang yang buta sepertinya datang ke masjid.

Sementara menunggu masuknya waktu solat fardhu Isyak, saya sempat berbual ringkas dengan beliau. Saya namakan perkongsian beliau ini sebagai “pandangan mata selalu menipu“. Satu sesi perbualan yang ringkas tetapi cukup bermakna. Saya masih ingat lagi pesanan beliau,

“Saya kehilangan penglihatan saya sejak tahun 2003. Tetapi banyak yang telah saya belajar daripadanya. Contohnya adalah daripada segi ‘judgement’ iaitu dalam menghakimi sesuatu perkara. Sebelum ini kita banyak menghakimi sesuatu berdasarkan penglihatan kita.

Kita hanya melihat berdasarkan sesuatu yang cantik dan tidak melihat daripada sudut yang lebih dalam. Mata banyak menipu dan tidak melihat sesuatu perkara dengan teliti. Jadi kita menjadi ‘bias’ atau berat sebelah dalam membuat keputusan.

Contohnya begini. Kita ambil contoh sebuah kereta. Sebelum ini kita katakan kereta Mercedes sebuah kereta yang ‘best’ dan selesa. Sebabnya kita melihat pada bentuknya. Selain itu warnanya juga menarik.

Jenama yang ada membuat kita agak ‘bias’ dalam menentukan kereta mana yang baik dan berkualiti. Kita terus mengatakan Mercedes kereta yang baik walaupun di pasaran terdapat beberapa jenis kereta sepertinya.

Jika sebelum ini saya memandang berdasarkan penglihatan, tetapi kini saya menghakiminya daripada sudut berbeza. Saya menghakiminya berdasarkan perasaan ketika saya berada dalamnya.

Sebab itulah saya tidak lagi bertanya kereta apa yang dinaiki. Tetapi saya menghakimi berdasarkan keselesaan yang dialami. Akhirnya baru saya tahu bahawa sebenarnya kereta tersebut hanya berjenama Toyota dan bukannya Mercedes.”

Jawapannya membuat saya terkesima. Jujur saya tidak menyedari semua ini. Kata-katanya membuka sesuatu dalam cara saya menilai sesuatu.

Pengajaran Daripada Kisah Ini?

Pandangan Mata

Umat Islam perlu latih diri agar melihat sesuatu dengan mata hati. [Mario De Leo]

Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yang hakiki.

Petikan lirik Pandangan Mata – Hijjaz

1. Kadang-kala kita mungkin tidak menilai sesuatu dengan tepat kerana terlindung atau terikat dengan sesuatu perspektif. Kita mungkin melihat dari sudut yang dimahukan oleh kita. Kita mungkin bersetuju dengan pendapat orang lain, tetapi jauh di sudut dalamya tidak.

2. Kadang-kala ada waktunya kita perlu kehilangan sesuatu, untuk melihat sesuatu dengan lebih mendalam. Dalam kes ini, pakcik ini menerima baik keadaannya. Beliau menganggap ada hikmah dengan setiap yang berlaku. Saya percaya, mungkin pada awalnya ianya agak menyedihkan hati seketika, tetapi hikmah akan menerangkan semua segalanya apabila tiba masanya.

3. Oh, ini bukannya iklan Toyota!

Tentang Saiful Izzuan

Saiful Izzuan

Saiful Izzuan merupakan Ketua Operasi bagi Tazkirah.net. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang penulisan digital. Beliau bertanggungjawab untuk memastikan segala gerak kerja dakwah menerusi platform ini berjalan lancar.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.