Ibadah

Nikmat Ramadan Yang Dizalimi

Oleh Tim Tazkirah  •  8 Jun 2018  •  5 min baca

Bicara soal zalim tiada siapa yang meredai akan sifat ini sama ada yang beriman kepada Allah mahupun mereka yang tidak beriman kepada Allah.

Ini kerana secara fitrahnya manusia membenci akan setiap perkara yang bersifat buruk dan keji. Zalim itu sifatnya buruk dan keji.

Perkataan zalim berasal daripada kata zulm yang mempunyai beberapa pengertian, diantaranya ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya (menurut Ash Shihah Fil Lunghah, 1/438. Aisar At Tafasir, 3/248).

Zalim juga berasal dari bahasa arab bermaksud gelap. Kalimat zalim juga digunakan untuk melambangkan sifat kejam, tidak berperikemanusiaan, melakukan kemungkaran, ketidakadilan dalam sesuatu perkara.

Pada dasarnya sifat ini merupakan sifat yang keji dan hina, dan sangat bertentangan dengan akhlak dan fitrah manusia, yang seharusnya menggunakan akal untuk kebaikkan.

Para pembaca yang terpilih mari kita bersama merenung dan bermuhasabah kembali tentang hari-hari yang telah kita lalui. Tahun ini kita diizinkan oleh Allah untuk menyambut kedatangan bulan mulia iaitu bulan Ramadan Karim.

Ramadan datang lagi dengan membawa ribuan peluang untuk meraih kebaikan dan keberkatan. Namun, mengapa nafsu masih tidak jinak? Amukannya masih buas dan liar. Peluang keemasan Ramadan terlepas dan terbiar begitu sahaja.

Keazaman yang disimpan luntur diratah kemahuan nafsu. Mulut, mata, kaki semuanya masih rela diperhambakan oleh nafsu tampa ada sedikitpun daya kekuatan untuk melawan.

Akhirnya puasa di bulan Ramadan hanya merasai kelaparan di waktu pagi dan kekenyangan di waktu malam. Jiwa dan pancaindera masih selesa dibelenggu oleh nafsu walaupun pada ketika itu Allah menjanjikan dirantai semua syaitan.

Apakah kita tidak merasai bahawa dalam leka kita telah berlaku zalim tehadap bulan Ramadan.

Adakah rahmat dan keampunan yang Allah berikan pada bulan mulia ini masih tidak menghairahkan kita untuk melakukan cetusan perubahan dalam diri kita menjadi orang yang bertaqwa?

Sedangkan menurut Allah pensyariatan puasa di bulan Ramadan ini bertujuan untuk manusia itu bertaqwa kepada Allah;

“Wahai orang yang beriman diwajibkan atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar bertaqwa”Surah al-baqarah 2: 183

Ya! Menjadi seorang yang bertaqwa itu sukar kerana taqwa merupakan aset yang paling berharga di dunia dan akhirat. Apa kata Khalifah Umar Ibn Aziz ;

“ Bukanlah lantaran terus berpuasa waktu siang dan terus-terusan bangun malam itu dinamakan takwa. Tetapi takwa itu ialah dengan meninggalakan apa yang dilarang Allah dan melakukan segala suruhan- Nya “

Apa kata Imam al- Ghazali, Beliau menegaskan kata-kata Khalifah Ibn Aziz dengan berkata;

“Memang benar, sangat agung kedudukan taqwa itu. Tiap-tiap urusan yang besar dan mulia, untuk mencapainya memerlukan tuntutan yang bersunggug-sungguh, ketabahan yang sangat tinggi, semangat dan pengorbanan yang banyak.”

Menghayati kalimat dua tokoh besar ini berkaitan taqwa kita sedar bahawa sememangnya taqwa itu sukar dan tiada jalan lain melaikan terpaksa menempuh jalan yang sukar.

Namun ini bukan alasan untuk kita bersangka buruk terhadap kebolehan diri kita. Sejarah telah merakamkan pelbagai latar belakang manusia tidak kira umur, pangkat,dan rupa telah berjaya memperoleh nilai nikmat taqwa ini. Rasulullah SAW apabila ditanya dimana letaknya takwa;

“Taqwa itu di sini (sambil menunjukkan dadanya)”Riwayat Tirmizi no. 1927

Pokoknya pada kekuatan keazaman hati yang kental dan ikhlas memungkinkan kita merasai gelaran muttaqin.

Saban hari bulan Ramadan di dihiasi dengan aneka juadah yang pelbagai rupa dan rasa, majlis iftar besar- besaran, promosi baju raya, perabot raya dan tidak terlepas kereta raya.

Hal ini tidaklah salah secara kesuluruhannya namun jauh dalam benak jiwa ini merasa kegelisahan yang merungsingkan saban hari.

Terkadang tertanya apakah aneka juadah ini, yang membantu aku mencapai matlamat aku berpuasa? Apakah jamuan iftar besar-besaran itu membantu aku mencapai maksud taqwa yang sebenar.

Sedangkan Taqwa itu pada bahasa ertinya memelihara, menjaga, melindungi dirinya daripada melakukan perkara-perkara dosa sama ada yang besar atau yang kecil.

Bagaimana kita masih rasa senang dengan kebudayaan masyarakat kita pada bulan Ramadan ini apabila melakukankan hal-hal yang boleh membawa kepada pembaziran dan membuang masa.

Beriftarlah secara bersederhana. Berbelanjalah dengan cermat itulah sepatutnya yang menjadikan kita memperoleh sifat taqwa. Dengan penuh rasa kecewa aku menyatakan kita telah berlaku zalim terhadap bulan Ramadan pada tika dan saat ini.

Imam ahmad menceritakan tentang perbuatan Rasulullah S.A.W yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda menyebut “Amin” sebanyak tiga kali. Selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa disebut “ Amin” sebanyak tiga kali ?

Rasulullah S.A.W menjawab bahawa;

Jibril datang ketika itu dan berdoa. Sangat kecewa dan rugilah bagi;
#1- Orang yang apabila disebut tentang kamu ( Muhammad) di sisinya, dia tidak berselawat atasmu
#2- Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak menyebabkannya dia masuk kesyurga.
#3- Orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.

Ah, Malangnya andai kita termasuk dalam golongan yang di aminkan oleh Rasulullah SAW itu sendiri.

Sungguh apakah kekesalan ini yang akan kita ulangi saban tahun apabila datangnya bulan Ramadan dan berkumandang takbir Syawal di pagi hari nanti.

Sungguh kita masih ada masa untuk memperbetulkan budaya yang celaru ini. Ayuh kita kembalikan keadilan pada bulan Ramadan kali ini bermula dengan diri kita.

Usah bicara soal kezaliman yang berlaku andai kita masih subur dengan sifat zalim dalam menunaikan kehendakkan Allah.

Semarakkan harian kita dengan amal ibadah kita seperti qiamullail, iktikaf, tadarus, tarawih, dan lain-lain amalan mulia agar jiwa kita dekat dengan mereka yang telah pergi dalam keadaan bertaqwa. Sebuah puisi indah ku kirimkan untuk pembaca;

Ramadan itu sering dihiasi dengan juadahnya, bagi yang lapar sahaja,
Ramadan itu sering dengan tidurnya, bagi yang malas sahaja,
Ramadan itu sering dihiasi dengan jualan raya, bagi yang menunggu raya,
Tetapi,
Ramadan itu dihiasi dengan dengan pakaian taqwa, bagi yang ingin bertaqwa

Rujukan;
Pesan Hati Untuk Hati – Ustaz Pahrol Juoi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami