Nailah Al-Farafisyah, namanya begitu terkenal pada zaman dahulu sehingga ke hari ini. Pada zaman hidupnya, beliau menjadi tumpuan ramai pemuda kerana kecantikan wajahnya dan kefasihannya ketika berhujah.

Bahkan beliau bijaksana dalam berkata-kata, serta pandangannya yang bernas ketika memberikan sesuatu pendapat. Mudah kata, beliau cukup sempurna di mata umum.

Ayah Nailah merupakan seorang Nasrani dan Nailah bukanlah wanita Quraisy. Takdir Allah s.w.t mempertemukan dirinya dengan Khalifah Uthman bin Affan.

Khalifah Uthman ketika itu berumur 80 tahun, manakala Nailah pula berumur 18 tahun. Amat jauh perbezaan antara mereka berdua.

Walau bagaimanapun, umur bukanlah penghalang untuk mereka berdua disatukan menjadi pasangan suami isteri yang sah.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Sekalipun masyarakat memandangnya agak serong, namun hal tersebut langsung tidak mematahkan kasih sayang dan cinta Nailah terhadap Uthman bin Affan.

Mereka selamat bernikah di Madinah Al-Munawwarah dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Maryam.

Masing-masing saling mencintai, walaupun jarak umur antara mereka teramat jauh. Nailah amat mengasihi Uthman, begitu juga suaminya.

Sekalipun Nailah masih muda, namun pemikirannya sangat matang dan hal inilah yang menjadikan beliau terkehadapan dan lebih dikenali berbanding wanita-wanita lain pada zamannya.

Suatu hari, Uthman pernah bertanya kepada Nailah;

“Wahai isteriku, mengapa engkau memilih aku menjadi suamimu, sedangkan engkau tahu bahawa aku ini sudah berusia dan lebih tua.”

Lalu, Nailah pun menjawab;

“Wahai suamiku, pada usia mudamu engkau telah banyak menghabiskan masamu bersama Rasulullah s.a.w. dan hal itulah yang membuatkan aku tertarik dan cinta padamu.”

Alangkah terharunya hati Uthman mendengarkan kata-kata ikhlas yang terucap dari isteri kesayangannya itu.

Cinta Nailah terhadap Uthman amat teguh, sehinggakan beliau langsung tidak membiarkan suaminya itu berada sendirian ketika rumah mereka dikepung oleh para pemberontak yang ingin merebut tampuk pemerintahan ketika itu.

Tatkala pemberontak itu mula menyerbu ke rumah mereka, Uthman mengarahkan Nailah untuk menutup rambut kepalanya.

Di depan mata Nailah, beliau melihat sendiri kekejaman yang dilakukan oleh pemberontak terhadap suami yang dikasihinya itu.

Tanpa berlengah, Nailah segera menjatuhkan dirinya ke atas Uthman dan sebelah tangannya pula menahan pedang pemberontak yang ingin mencederakan suaminya.

Percikan darah mula keluar sedikit demi sedikit apabila pedang tersebut mengenai anggota tubuh Nailah dan suaminya.

Beberapa jari Nailah pula ada yang putus ketika berusaha menghadang pedang pemberontak itu dari terkena tubuh Uthman.

Sungguhpun begitu, daya kekuatan seorang wanita tidak mampu menandingi kekuatan para pemberontak itu.

Uthman akhirnya dibunuh tanpa belas kasihan dan mayatnya dikelar-kelar. Nailah pula dilempar ke tepi lalu dipijak-pijak tanpa perikemanusiaan.

Alangkah hibanya hati Nailah apabila melihat mayat suaminya sedemikian rupa. Tiada siapa yang berani menguruskan jenazah Uthman dalam keadaan begitu.

Lalu, Nailah meminta bantuan daripada Jubair bin Hizam dan Huwaitib bin Abd Uzza untuk menguruskannya.

Walaupun Nailah sendiri dalam keadaan kesakitan, beliau tetap bersama-sama menguruskan urusan pengebumian jenazah suami yang dikasihinya itu pada waktu malam.

Cinta Nailah terhadap Uthman tidak mampu ditukar ganti oleh sesiapa pun. Hati Nailah sudah dilimpahi dengan cinta Uthman, sehinggakan beliau menolak pinangan Muawiyah. Nailah berkata kepada Muawiyah;

“Tiada tempat untuk orang lain dalam hatiku sendiri selain Uthman dan aku tidak akan menggantikan tempatnya dengan sesiapapun.”

Bahkan, juga sanggup mematahkan giginya yang cantik itu agar dirinya kelihatan hodoh di mata umum.

Dengan itu, pasti tiada siapa yang mahu mendekatinya lagi. Ini semua dilakukan kerana cintanya terhadap Uthman yang terlalu agung.

Dia tidak mahu ada lelaki lain menempati hatinya yang sarat dengan kasih tulus terhadap Uthman.

Nailah meneruskan kehidupannya bersendirian dan sejak itu, beliau langsung tidak pernah berkahwin lagi.

Semoga cinta dan kasih sayang yang tulus antara mereka berpanjangan hingga ke syurga kelak. Allahumma amiin.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.