Sebak mengalir air mata saya. Kisahnya bermula saat saya sedang duduk di airport. Berbual dengan seorang pramugari. Dia menangis dan berkata;

Ustaz, terima kaseh ye, saya selalu dengar ceramah ustaz. Dah lama saya nak pakai tudung sempurna. Tapi itu lah atas kekangan kerja. Sekarang masih teringin nak pakai. Tapi macam sekejap pakai sekejap tidak. Doakan saya ustaz.

Datang pula lagi seorang kawannya dan berkata kepada saya;

Ustaz doakan kami ye. Kami nak cari kerja lain. Nak tutup aurat dan jaga solat.

Saya kata, Allah sayang saudari berdua. Tanda Allah sayang kepada kita, kita akan sentiasa rasa diri kita ada kekurangan. Jika kita rasa diri baik dan sempurna sebenarnya kita jauh dari Allah.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Jaga solat dan solatlah di awal waktu. Allah jaga kita di dunia dan akhirat. Sekarang pun mulakan pakaian tudung dan tutup aurat secara sempurna. Kita buat bukan kerana kita baik, tetapi kerana kita nak belajar ucap terima kasih kepada Allah dengan taat pada-Nya.

Terima kasih ye ustaz.

Ya Allah, sedihnya melihat nasib mereka. Sudah lama saya berdoa agar sistem pemakaian para pramugari diubah. Ya Allah, ini salah saya kurang berdakwah.

Ya Allah, berilah hidayah kepada semua pembuat keputusan di negara ini. Walau kecil di mata kita. Tetapi besar disisi Allah, kerana ia perintah Allah.

Semoga MAS, Firefly, Air Asia, Malindo semuanya Allah beri hidayah memberi pilihan pakaian kepada kakitangannya.

Apabila hati kita sejahtera dalam ketaatan kepada Allah keberkatan daripada langit dan bumi Allah bukakan. Pertolongan dan rahmat daripada Allah akan bersama kita.

Begitu juga sedih bila dengar masih banyak hotel-hotel tidak benarkan para pekerja wanita memakai tudung. Itukan hak agama seseorang.

Ya Allah. Sedih saya rasa, itukan perintah Allah. Di mana nilai kemanusiaan seorang manusia jika menghalang hak seseorang mengamalkan agamanya.

Kita dengar negara barat bincang nak haramkan niqab/purdah. Tetapi Ya Allah negara kami, mahu memakai tudung dan memakai pakaian yang menutupi peha pun kena halang. Ampunkan kami Ya Allah.

Hari ini bukan orang bukan Islam yang takut Islam. Tetapi orang Islam sendiri, kita takut mahu menerangkan kerana kurangnya keyakinan. Ini bukan soal tudung atau tidak. Ini soal iman dalam hati kita.

Para menteri ziarahlah tempat-tempat begini. Ambil tahu mengenai orang Islam. Bab solat dan bab aurat. Janganlah sampai ada undang-undang atau polisi yang menghalang perintah Allah.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada semua Ketua Negara, Sultan, Agong, Perdana Menteri, barisan menteri dan semua ketua masyarakat.

Nabi S.A.W dulu tidak pernah marah orang yang hina dirinya. Tetapi Nabi S.A.W akan berjuang, menangis bila agama ini dihina.

Kata Abu Bakr R.A.;

Aku tidak kisah walau apapun terjadi kepada diri aku, tetapi aku takkan biarkan agama ini jatuh walau seinci. Aku hidup. Agama mati tidak mungkin.

Paling orang kisah sekarang siapa artis paling terkenal. Pasukan mana menang bola. Habiskan seluruhnya untuk itu. Tidak salah, tetapi salah bila kita biarkan agama ini.

Anak muda kita sedang menghancurkan hidup mereka. Kita biarkan orang miskin dan anak yatim di tepi-tepi jalan. Ramai tiada duit untuk makan, tiada tempat tinggal dan hanya tidur di tepi jalan. Biarkan anak muda terlibat dengan dadah, pelacuran. Kelab malam penuh remaja Islam. Arak dah macam air mineral di jual sana sini.

Wahai orang kaya dan ketua-ketua negara jangan malu hidupkan dalam beragama. Pergi masjid. Bercampur dengan masyarakat di Masjid. Jangan bercampur cuma di hotel atau tempat macam istana. Takut yang datang semua cerita dunia dan niat dunia.

Pergilah berdakwah, bercampur dan tidur bersama orang miskin. Jangan mengharapkan orang tengah. Rasailah kesusahan ini dan dakwah ini. Itulah kenikmatan. Sebab kita semua sama sahaja

Dunia ini cuma pentas ujian, raja-raja dulu semua dah mati, orang kaya mati dan orang miskin mati. Jangan malu cakap mengenai agama. Jangan rasa pandai dan merendahkan agama. Kehinaan bagimu itulah kemuliaan disisi Allah.

Ya Allah hanya reda-Mu kami harapkan. Ya Allah pimpinlah kami semua.

Tentang Ebit Liew

Ebit Liew

Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew merupakan seorang perunding latihan dan penceramah motivasi melalui syarikat beliau Transform Training & Consultancy. Beliau telah mengendalikan lebih dari 1000 kursus korporat, pelajar, keluarga dan usahawan. Beliau juga merupakan panel jemputan media seperti Ikim.fm, TV Al-Hijrah dan sebagainya.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.