Situasi 1

Azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat. Berdiri di tempat solat “Allahuakbar”. Perkara terakhir yang disedari ialah “Assalamualaikum warahmatullah.”

Situasi 2

Ah, jam 3. Kerja banyak lagi nak diselesaikan ni. Ok, berhenti dulu, dah lewat ni nak solat Zohor. Berdiri di tempat solat “Allahuakbar.”

Dalam fikiran: Proposal tu nanti nak kena email ke bahagian pengurusan. Kena print out juga sebagai lampiran dalam mesyuarat petang ni.

Jemputan ahli panel sudah selesai. Alamak, kena menghubungi P.A Dato’, jangan lah Dato’ lupa yang dia kena chair meeting petang ni. Perkara terakhir yang disedari ialah “Assalamualaikum warahmatullah.”

Situasi-situasi ini agak biasa bukan?

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Situasi 1 menunjukkan solat yang telah menjadi terlalu rutin sehingga kehilangan ‘roh’ solat tersebut. Segala gerakan dilakukan bagaikan dalam mode ‘auto-pilot’.

Walaupun bersolat seawal waktu, namun pelaku tidak merasakan nikmatnya solat, seolah-olah ia hanya kewajiban yang perlu dilunaskan. Itu sahaja.

Situasi 2 adalah rata-rata yang kebanyakan daripada kita alami. Tatkala takbir diangkat, dalam kepala bermulalah memikirkan 1001 perkara yang membelengu di benak hati.

Allah S.W.T berfirman bahawa melaksanakan solat itu sendiri adalah berat kecuali kepada mereka yang khusyuk. Firman Allah yang bermaksud;

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Surah al-Baqarah 2:45

Jadi, bagaimanakah caranya untuk mencapai khusyuk di dalam solat. Sebelum menjawab soalan ini, mari kita lihat apa itu makna khusyuk.

Khusyuk pada pengertian bahasa bermaksud kelembutan pada hati, ketetapan, penyerahan, tunduk, merendah diri dan pengharapan. Rasullullah S.A.W bersabda;

“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah tubuh manusia itu, akan tetapi bila daging itu rusak maka rusak pula tubuh manusia. Ketahuilah bahwa sesungguhnya segumpal daging itu adalah hati.” Riwayat Bukhari

Apabila hati berada di dalam keadaan merendah diri, pendengaran, penglihatan, kepala dan muka, serta seluruh anggota badan akan turut tunduk merendah diri.

Salah seorang para salaf, Sa`id bin al-Musayyib melihat seorang lelaki mengusap-ngusap janggutnya di dalam solat, lalu Sa`id bin al-Musayyib berkata sekiranya khusyuk hati orang itu, sudah tentu anggota badannya akan turut khusyuk.

Di dalam konteks kita sebagai hamba Allah S.W.T, khusyuk itu bermaksud hati kita berhubung dengan Allah S.W.T.

Khusyuk itu terletak di dalam hati, tidak menoleh ketika solat kerana tolehan itu dari sudut zahir menunjukkan seseorang itu tidak khusyuk dari sudut batin.

Para salaf berpendapat bahawa khusyuk itu ialah tenang, diam, serta tidak bergerak di dalam solat. Khusyuk itu ialah takut kepada Allah S.W.T.

Ini kerana apabila seseorang itu takut kepada Allah S.W.T di dalam solatnya, sudah tentu ia tidak akan melakukan perbuatan yang dimurkai Allah S.W.T dan melakukan dengan tekun ibadah solatnya.

Qatadah mengatakan bahawa khusyuk itu terletaknya di dalam hati, serta memfokuskan pandangan di dalam solat.

Memfokuskan pandangan bermaksud tidak melihat kiri dan kanan ketika solat. Ada yang mengatakan bahawa khusyuk itu ialah menundukkan kepala ke tanah ketika solat.

Berdasarkan kepada pandangan para salaf soleh di atas berkaitan dengan kusyuk, terdapat 2 peringkat untuk mencapai khusyuk di dalam pelaksanaan solat.

#1 -Peringkat Fizikal

Ini merupakan peringkat di mana kita menyiapkan diri sebelum melakukan solat, seperti berada di dalam keadaan bersih, berwuduk, mengetahui arah kiblat, serta mengetahui kaedah solat yang betul sebagaimana dilaksanakan oleh Rasullullah S.A.W.

Luangkan masa untuk pelajari mengapa kita berwuduk sebegini caranya, sejarah berkenaan dengan arah kiblat, tatacara solat cara Rasullullah, memahami makna bacaan dalam solat untuk lebih menghayati pengertian solat sekaligus mencapai peringkat khusyuk.

#2 -Peringkat Spiritual

Hati kita sepatutnya sedar bahawa ketika bersolat, kita sedang berhubung dengan Allah S.W.T.

Persoalannya di sini, siapa Allah S.W.T ini? Kerana punca permasalahan yang dialami ramai adalah kita tidak kenal siapa Allah S.W.T.

Apabila kita tidak kenal, maka hati tidak akan rasa kasih, tidak rasa seronok untuk ‘bertemuNya’, apatah lagi rasa hormat kepada-Nya.

Lantas, tatkala takbir diangkat, hati kita akan meliar ke arah lain. Ke arah ‘tempat’ yang lebih kita kenal dan cintai.

Jadi solusi pertama peringkat spiritual dalam mencapai khusyuk di dalam solat adalah pelajari mengenal Allah S.W.T.

Baca Al-Quran dengan terjemahan, kerana lembaran Al-Quran itu adalah surat-surat cinta Allah S.W.T kepada kita hambanya, supaya hati kita lebih kenal dan jatuh kasih kepada-Nya.

Kita juga boleh mempelajari nama-nama Allah S.W.T yang terindah dan mengaitkan dengan situasi harian kita untuk lebih mengenali-Nya.

Jika kita kenal Allah S.W.T, kita tahu siapa Dia, hati kita akan tunduk menyerah setiap kali takbir dilafazkan.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Menurut Sheikh Abdul Rahman As-Saidi’, khusyuk bukanlah perkara yang hanya perlu dicapai ketika berada di dalam solat.

Khusyuk adalah perkara yang berterusan di dalam minda. Ketahuilah bahawa, perkara solat itu sendiri adalah keistimewaan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada hambanya, apatah lagi perkara khusyuk.

Seseorang perlu berada di dalam keadaan khusyuk pada setiap ketika – khusyuk dalam melayan ibu bapa, khusyuk dengan perhubungan kekeluargaan, sesama adik beradik, jiran tetangga dan sesiapa yang berada di sekeliling kita.

Khusyuk dalam melakukan pekerjaan kerana semua ini berhubung kait dengan perhubungan kita dengan Allah S.W.T.

Solusi kedua peringkat spiritual adalah dengan pengubah cara hidup kita dengan mengutamakan perkara solat terlebih dahulu.

Solat itu adalah refleksi kepada kehidupan kita, apa yang lebih kita utamakan adakah Allah S.W.T atau kehidupan dunia yang tidak kekal ini.

Luang masa untuk mempelajari Al-Quran dan tafsirnya, serta mengamalkan apa yang telah dipelajari. Firman Allah yang bermaksud;

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. Surah Hud 11:23

Khusyuk di dalam solat merupakan satu perkara yang sangat penting. Alangkah ruginya seseorang yang mengerjakan solat tetapi ia tidak memperolehi pahala dari solat yang dikerjakannya dan solat itu juga tidak mampu untuk mencegahnya daripada melakukan perkara keji dan mungkar.

Semoga kita tergolong di dalam golongan orang-orang yang khusyuk di dalam solat. Wallahua`lam.

* Artikel ini ditulis berdasarkan kepada pembacaan buku Humility in Prayer oleh ibn Rajab al-Hanbali dan Jangan Biarkan Solat Anda Tidak Khusyuk! oleh Sulaiman al-Kumayi.

Tentang Neeza Zaini

Neeza Zaini

Seorang yang minimalis dan sangat suka membaca. Berkelulusan Sarjana Sains Mikrobiologi tetapi memilih untuk 'berkhidmat' sebagai seorang surirumah, di samping menjalankan perniagaan sambilan menjahit dan menjual baby-carrier jenama NeezaNeedles.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.