Keluarga

Mengapa Suami Anda Tidak Ingat Tarikh Perkahwinan?

Oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad  •  10 Mar 2018  •  3 min baca

“Doktor, semasa suami mengorat saya dahulu, semua yang saya suka diingat. Sampai nombor kad pengenalan saya dia ingat. Cuba tanya dia sekarang. Tarikh lahir saya pun dia sudah lupa.”

Lelaki mungkin tidak dapat mengingati tarikh lahir isterinya, tidak bermakna dia sudah tidak menyayangi isterinya. Lelaki harus memberikan fokus kepada perkara yang ‘lebih penting’ dan ‘lebih besar’.

Apabila lelaki sedang memikat seorang wanita, dia semestinya cuba membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang boleh diharapkan menjadi ketua keluarga.

Oleh itu, apa sahaja pra syarat bagi sebuah perkenalan akan ditunaikan bagi membuktikan bahawa dia adalah lelaki yang mampu membuatkan wanita itu bahagia.

Lelaki akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada wanita yang dihajati. Fokus diberikan kepada usaha untuk memiliki.

Namun setelah bernikah, lelaki yang telah bergelar suami mempunyai set pemikiran yang berlainan. Dia harus memastikan isteri dan keluarga yang telah dibina berada dalam keadaan selamat dan bahagia.

Lelaki bergelar suami akan memberikan fokus bagaimana isterinya tidak kelaparan di rumah, berada dalam rumah yang selamat dan terus berfikir bagaimana memberikan kebahagian fizikal dan material pada isterinya.

Lelaki yang tidak mendapat tauladan dari ibu bapanya, tentu saja menganggap bahawa memberikan kebahagian fizikal dan material telah mencukupi bagi sebuah keluarga.

Mereka tidak terfikir bahawa sebuah keluarga harus juga diberikan nilai emosi dan spiritual. Dialog yang sering kedengaran;

“Apa yang awak mahu lagi? Tidak cukup ke saya berikan duit setiap bulan?”

Itulah naluri seorang lelaki. Ramai suami yang menganggap bahawa tugas mereka hanya di luar rumah dan akan berakhir apabila mereka memasuki pintu rumah.

Di rumah, segalanya diserahkan kepada isteri. Alasan seorang suami yang lupa tarikh lahir isterinya akan kedengaran;

“Doktor, saya bukan tak suka menyambut hari hari lahir isteri saya. Ini bukan ulang tahun yang ke sepuluh, tapi dah masuk ke 50. Saya rasa kalau saya bekerja lagi berfaedah”

Ramai isteri yang kecewa dan memendam rasa. Bukan kerana suami tidak hadir jamuan pada tarikh yang bersejarah, tapi mereka kesal dan kecewa dengan sikap suami yang seolah-olah tidak memperdulikan mereka lagi.

Jadi di mana penyelesaiannya? Perlukah isteri bersabar dan memendam rasa sehingga suatu hari ada seorang lelaki lain yang mengambil berat terhadap dirinya lalu jatuh hati?

Sekali lagi jika kita memeriksa sikap lelaki yang bergelar suami, kebanyakannya ‘terlepas pandang’ terhadap perkara-perkara yang mereka anggap kecil, tetapi ia adalah suatu isu yang besar bagi isteri.

Mereka bukan tidak peduli pada keluarga tetapi mereka lebih fokus kepada perkara yang mereka anggap lebih penting.

Jadi jika ada perkara-perkara yang ’kecil tetapi penting’ harus diberi perhatian, beritahulah suami berulang-ulang kali.

Jangan rasa jemu memberitahu suami kerana mempunyai masalah sikap yang sama. Jika perlu, letakkan notis di papan kenyataan, kirimkan mesej atau mengingatkan beliau setiap kali mahu ke tempat kerja.

Beritahu suami bahawa perkara itu penting dan sebagai isteri mahu perkara itu diingati.

Jadi jangan memendam rasa dan merasakan suami tdak menyayangi. Bantu para suami mengingatkan hal-hal itu. Itu lebih baik dari memendam rasa dan berburuk sangka pada suami.

Artikel Berkaitan;
5 Perbezaan Di Sebalik Kejadian Lelaki Dan Wanita
6 Pesanan Rasulullah Tentang Keluarga Untuk Lelaki


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Dr Zubaidi Hj Ahmad

Dr Zubaidi Hj Ahmad

Dr Zubaidi bin Hj Ahmad adalah anak kelahiran Johor, pegawai perubatan senior di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd yang mempunyai 35 buah cawangan klinik di Johor dan beberapa negeri lain. Pada masa terluang beliau aktif menggunakan laman social Facebook untuk tujuan perkongsian pengalaman dan perubatan kepada umum.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami