Cerita Fazlaidha, bekas seorang arkitek landskap. Apabila saya bertanya, apa kerja dia sekarang, dia diam.

Dia bertanya kepada isterinya,

“Saya kerja apa?”

Isterinya menjawab balik,

“Awak kerja apa?”

Apabila saya dengar, saya pula yang terdiam panjang.

Ada dua jenis manusia yang tidak tahu apa kerja mereka. Yang pertama, manusia yang memang tidak ada kerja. Hanya duduk di rumah, mengharap belas kasihan ibu bapa.

Dan yang kedua, manusia yang memegang kata-kata keramat,

“Cintailah pekerjaan kamu, kerana dengan mencintainya, kamu tidak akan ‘bekerja’ walaupun satu hari.”

Saya sangat yakin, dia adalah manusia yang kedua itu. Manusia yang sudah mencintainya pekerjaannya, sehingga dia tidak lagi merasakan dia sedang bekerja. Sehingga jadi terpinga-pinga apabila ditanya, apa kerjanya?

Saya jadi segan-segan dengan dia. Kisah dia yang seterusnya pula terus membuatkan saya kagum.

Jauh-jauh sebelum dia berada dalam keadaan ‘tidak bekerja’, dia dan isterinya adalah arkitek landskap. Kemudian pada suatu masa, mereka berdua nekad berhenti, untuk berniaga kek secara online.

Katanya,

Bermula Dengan Alasan Sara Hidup

“Ia bermula untuk sara hidup, kemudian ia menjadi satu ketagihan. Saya suka melihat orang bahagia dengan produk kami. Kami suka lihat senyuman pada wajah mereka, suka melihat reaksi ceria mereka.

Baik daripada segi suka hiasannya, rasanya, atau atas kesanggupan kami menghantar sendiri kek kepada mereka. Semua itu memberikan pelanggan bahagia dan bagusnya, bahagia itu terpantul kembali kepada kami.”

Masa Yang Fleksibel

“Kerjaya baru ini juga memberi kami banyak masa. Banyak masa bersama anak-anak, dan seterusnya masa untuk meneroka minat kami yang lain. Kemudian saya terjebak ke dalam dunia buku dan penulisan.

Di situ saya menjadi seronok menjual buku kawan-kawan. Hinggalah saya dan isteri ikut menulis buku.”

Dari dunia buku, saya masuk dalam kawanan para motivator, trainer, fasilitator. Ia memang topik yang saya minat dan tekun membaca buku-buku berkaitan.

Saya jual program pembangunan diri (kecil-kecilan) , ada program penulisan, ada kala jadi coach untuk bisnes.”

Itu yang membuatkan saya segan-segan kepada beliau dan isteri. Semua perkara yang dia ‘jual’, motif untungnya mereka letak nombor dua.

“Saya jual kek untuk kebahagiaan pelanggan,
saya jual buku kawan untuk kebahagiaan kawan-kawan,
saya tulis buku untuk jual kebahagiaan kepada pembaca,
saya jadi coach jual idea untuk kebahagiaan bisnes klien.”

Mendengarkan semua itu, akhirnya, saya mengerti jalur-jalur lain untuk kata-kata ringkas, ‘bekerja ikhlas kerana Allah, dan hanya mengharapkan redhaNya’ itu akan hadir.

Pada ketika kita tidak lagi memikirkan apa yang kita dapat daripada kerja itu, melainkan mula memikirkan, apa yang kita boleh lakukan untuk membantu orang lain mendapat manfaat dan beroleh bahagia.

Tentang C.O.M

C.O.M

Page Facebook yang bercerita tentang orang-orang di Malaysia. Sama ada warganegara ataupun pendatang tanpa izin.

Wakaf Artikel

Kami berharap dapat menerbitkan lebih banyak artikel Islamik yang ringan dan santai kepada para pembaca. Anda boleh menjadi sebahagian penyumbang untuk merealisasikan sasaran dakwah secara digital ini.


Ikuti Instagram Tazkirah.net untuk mendapatkan inspirasi islamik yang ringan & santai setiap hari. Klik Untuk Ikuti