‘Masjid’ bukan sahaja sebuah bangunan yang dijadikan tempat untuk beribadah semata-mata, tetapi sebuah institusi yang bercirikan ‘pusat’ untuk menjalankan kegiatan ibadah yang lain dalam Islam. Pun begitu, fungsi utama bagi sesebuah masjid tetap sebagai tempat untuk beribadah, khususnya mendirikan solat terutamanya secara berjemaah dan beramai-ramai.

Pentingnya peranan sesebuah masjid sehingga Rasulullah SAW mendahulukan pembinaan masjid sebagai pusat pentadbiran dan penyatuan umat Islam dalam pemerintahan Baginda. Namun hari ini, masjid lebih fungsional untuk perkembangan dakwah Islam.

Lalu dari semasa ke semasa pembinaan masjid juga lebih banyak ciri dan konsep binaanya. Sehinggakan ada masjid yang dibina dengan sangat indah, besar dan luas. Terdapat begitu banyak masjid yang mewakili keindahan, populariti, keluasan serta kepentingannya. Antara beberapa masjid yang menepati ciri-ciri tersebut adalah;

#1 – Masjidil Haram

Masjidil Haram terletak di Arab Saudi dan merupakan masjid terbesar di dunia. Masjid ini juga adalah masjid paling suci dan menjadi kiblat utama bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjidil Haram juga merupakan pusat bagi ibadah haji dan umrah umat Islam.

Sehingga kini Masjidil Haram masih mengalami proses pembesaran dan perluasan. Luasnya masjid ini mampu menampung sehingga dua juta jemaah haji dalam satu-satu masa.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

#2 – Masjid Nabawi

Masjid Nabawi yang terletak di Madinah, adalah masjid suci kedua bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah. Masjid ini dibina pada tahun 622 Masihi iaitu selepas peristiwa Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Masjid ini turut mengambil bahagian rumah Rasululullah SAW ketika beberapa proses perluasannya. Ini termasuklah ruang Raudhah kini yang dulunya adalah halaman rumah Nabi Muhammad SAW.

Masjid Nabawi turut tergolong sebagai tumpuan utama bagi para jemaah haji dan umrah, selain untuk berziarah ke makam Rasulullah. Masjid Nabawi ini mampu menampung seramai sejuta orang jemaah dalam satu-satu masa.

#3 – Masjidil Aqsa

Masjid al-Aqsa merupakan masjid suci ketiga bagi umat Islam. Masjid ini terletak di Baitul Maqdis, Palestin. Kebanyakkan umat Islam masih terkeliru dan menyangka Masjidil Aqsa adalah bangunan berkubah emas (Dome of Rock). Namun kedua-dua bangunan itu terletak di Baitul Maqdis.

Baitul Maqdis juga sangat penting bagi umat Islam kerana di sinilah berlakunya peristiwa Israk Mikraj oleh Nabi Muhammad SAW. Selain itu, Baitul Maqdis bukan sahaja menjadi tempat suci bagi umat Islam sahaja, tetapi turut terdapat tempat ibadah bagi kaum Kristian selain Yahudi kerana terdapat Tembok Ratapan di kawasan itu.

#4 – Masjid Quba

Masjid Quba merupakan masjid pertama yang didirikan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW ketika dalam perjalanan hijrah Baginda. Masjid ini juga menjadi destinasi utama yang diziarahi oleh jemaah haji dan umrah.

Masjid ini berkeluasan sekitar 5,860 meter persegi dan memiliki perpustakaan dan ruang belajar dan mengajar. Masjid Quba juga mampu menampung paling ramai jemaah sehingga 20,000 orang.

#5 – Masjid Qiblatain

Masjid Qiblatain terletak di Madinah. Masjid Qiblatain dianggap sebagai masjid yang istimewa kerana di masjid inilah Rasulullah SAW mendapat wahyu untuk kiblat umat Islam ditukarkan ke Masjdilil Haram dari Masjid al-Aqsa, iaitu pada tahun ke-2 Hijrah. Sebelum peristiwa itu masjid ini bernama Masjid Bani Salamah.

Masjid ini terletak lebih kurang 7 kilometer dari Masjid Nabawi. Masjid ni telah mengalami banyak perubahan dan pengubahsuaian, namun dua mihrabnya yang mengadap kearah Masjid Haram, dan satu lagi ke arah Masjidil Aqsa masih ada sehingga kini (walau tidak digunakan). Begitu juga dengan bahagian kubah dan mihrabnya.

#6 – Masjid Biru

Masjid Biru dibina di Istanbul, Turki pada tahun 1609 oleh Sultan Ahmed. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmed dan merupakan masjid paling bersejarah di Turki. Masjid ini dinamakan dengan nama ‘Masjid Biru’ kerana kubahnya. Masjid Biru dibina berdekatan dengan Makam Sultan Ahmed yang berada di bahagian halamannya.

Masjid ini mempunyai seni bina bangunan yang sangat cantik dan indah dan memiliki enam menara dan kaligrafi yang banyak terdapat di ruang masjid, selain corak bunga-bunga, tanaman dan mozaik pada bahagian dinding. Ini menjadikan Masjid Biru sebuah masjid yang sangat cantik dan indah dengan warna biru, ungu dan coklat.

#7 – Masjid Istiqlal

Masjid Istiqlal terletak di Jakarta. Masjid ini adalah masjid terbesar di Indonesia dan Asia Tenggara. Masjid Istiqlal mulai dibina pada tahun 1951 dan siap sepenuhnya pada tahun 1978 dengan keluasan 9 hektar dan setinggi lima tingkat.

Masjid ini mampu menampung sekitar 200,000 orang jemaah dalam suatu masa. Masjid ini juga mempunyai menara setinggi 66,66 meter menandai sebanyak 6,666 ayat al-Quran.

#8 – Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddun terletak di Kampung Ayer, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Masjid ini dibina pada tahun 1958 dan menjadi masjid utama bagi negara ini. Nama masjid ini diambil bersempena dengan nama Sultan Brunei Darussalam ke-28, iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin III.

Masjid ini dibina dengan gaya Timur Tengah dan Itali dan terkenal sebagai masjid yang tercantik di Asia. Masjid ini kelihatan lebih cantik dan indah kerana dibina dengan warna putih dan emas selain dibina dalam sebuah tasik buatan dan terdapat taman yang indah dalam kawasannya. Disebabkan itulah masjid ini sangat terkenal dengan keindahan dan kemegahannya.

#9 – Masjid Sultan

Masjid Sultan terletak di Kampung Glam, Singapura. Masjid ini sangat cantik selain menjadi masjid paling penting di Singapura. Masjid ini juga besar sehingga mampu memuat 5,000 jamaah dalam suatu masa.

Masjid Sultan dibina pada tahun 1824 oleh masyarakat Melayu yang menetap di kawasan tersebut, lantas menjadikan masjid ini sebagai masjid pertama yang dibina di Singapura. Pun begitu, masjid ini banyak diubahsuai dan ditambah dari semasa ke semasa. Masjid ini banyak memperlihatkan konsep dan ciri kemelayuan klasik kerana dibina oleh komuniti jawa yang menetap di sini suatu masa dahulu.

#10 – Masjid Agung Xi’an

Masjid Agung Xi’an terletak di wilayah Xi’an. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang tertua di dunia, bukan sahaja di China. Ini kerana masjid ini dibina pada tahun 742 Masihi iaitu semasa pemerintahan Dinasti Tang dan ditambah serta diperluas bangunannya semasa Dinasti Ming seterusnya pada Dinasti Qing, iaitu beberapa ratus tahun selepasnya.

Masjid ini mempunyai empat bahagian. Terdapat ruang solat dan ada pula taman dan lorong-lorong yang bertemakan seni bina tradisional China. Terdapat juga kaligrafi Islam di gerbang masuk dan ruang solat dan banyak tempat lagi.

Tentang Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.