“Tujuan adalah perasaan bahawa anda merupakan sebahagian daripada perkara besar, di mana anda diperlukan dan anda mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk diusahakan.”

Mark Elliot Zuckerberg dilahirkan pada 14 May 1984 di White Plains, New York, Amerika Syarikat. Bapanya, Edward Zuckerberg merupakan seorang doktor gigi manakala ibunya, Karen Kempner ialah seorang ahli psikiatri.

Beliau meminati pemprograman sejak di sekolah rendah. Beliau diajar mengenai program Atari BASIC oleh bapanya. Dari situ, Zuckerberg mereka ZuckNet. Ia digunakan di klinik bagi memudahkan penyambut tetamu memaklumkan kepada bapanya apabila ada pesakit baru tiba.

Selain itu, Zuckerberg juga gemar membuat permainan komputer dan alat komunikasi bagi tujuan berseronok. Bapanya menyokong minat beliau dan memberikan anaknya itu tuisyen komputer dengan guru khas.

Sebenarnya, Zuckerberg pernah mendapat tawaran pembelian ciptaannya, Synapse, oleh syarikat gergasi Microsoft dan AOL ketika beliau masih berada di sekolah tinggi. Namun, beliau menolak tawaran beribu dolar itu.

Zuckerberg yang pendiam ini cemerlang sejak di bangku sekolah lagi. Jadi, beliau mendapat markah tinggi dalam semua bidang termasuk seni, sains dan sastera semasa di sekolah tinggi. Kecemerlangannya itu membolehkan beliau diterima untuk menyambung pengajian di Universiti Harvard, iaitu antara universiti terkemuka di dunia yang melahirkan ramai individu berjaya.

Semasa beliau berada di tahun kedua pengajiannya, Zuckerberg telah mencipta sebuah laman sesawang yang dipanggil Facemash. Laman sesawang tersebut menggalakkan para pelajar mengundi kepopularan pelajar lain berdasarkan penampilan. Maka tidak mustahillah kewujudannya menimbulkan kontroversi di universiti walaupun ia merupakan ‘page’ paling popular di seluruh rangkaian universiti.

Selain memberikan ‘rating’ kepada seseorang berdasarkan penampilan dan adakalanya berdasarkan hal lain juga, Facemash juga menggunakan foto yang dilarang atau tanpa kebenaran. Malah, beliau turut menggunakan pangkalan data Harvard tanpa kebenaran di mana foto pelajar berada.

Akhirnya Zuckerberg terpaksa menutup laman sesawangnya. Namun, Zuckerberg telah melihat sesuatu daripada ciptaannya itu. Beliau melihat adanya potensi idea Facemash itu pada masa depan. Lalu, beliau mengubah laman sesawang itu kepada direktori peribadi bagi kegunaan para pelajar di Harvard.

Ia menggalakkan pelajar untuk mencipta profail mereka dan berhubung dengan rakan sekolej. Maka, bersama-sama dengan beberapa rakannya yang lain, Zuckerberg memperkenalkan Facebook.

Facebook terus berkembang sehingga merebak ke kolej-kolej, dan sekolah di Amerika Syarikat. Ia seterusnya sampai kepada orang awam di mana lebih ramai pengguna di seluruh dunia boleh menggunakannya. Dari pengguna yang terhad di Universiti Harvard, Facebook kini mempunyai lebih 700 juta pengguna di seluruh dunia.

Walaupun Facebook terpalit kontroversi terutamanya isu privasi, itu tidak menjejaskannya memandangkan kebaikannya yang nampak lebih besar. Facebook menjadi laman sesawang yang digunakan untuk berkomunikasi secara terbuka dan mudah. Malah ia menjadi ruang penting bagi mereka yang bergelar usahawan.

Idea yang nampak mudah ini sebenarnya merupakan keperluan penting manusia pada masa kini. Kejayaan Facebook mengumpulkan berjuta manusia telah menarik ramai orang yang berminat untuk membelinya. Namun, Zuckerberg enggan menjualkannya walaupun beliau ditawarkan sehingga berbilion dolar.

Beliau juga menolak untuk mendapat pendapatan daripada keuntungan pengiklanan, lantas menjadikannya lokasi perniagaan atas talian terbesar di dunia di samping sebagai ikon pembaharuan teknologi. Zuckerberg mahu Facebook mengekalkan ciri-cirinya yang asal.

Menurut Zuckerberg,

“Kejayaan terbesar datang daripada adanya kebebasan untuk gagal. Idea hanya nampak lebih jelas bila anda berusaha untuknya. Anda hanya perlu memulakannya.”

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.