Kerap kali kita mengingati hari kelahiran Nabi S.A.W pada bulan Rabiulawal. Sesungguhnya kelahiran seorang utusan Allah ini cukup memberikan kesan kepada sekalian alam.

Apabila diturunkan sahaja suruhan dakwah, maka Rasulullah S.A.W tidak lengah malah terus menyebarkan kebenaran Islam kepada sesiapa sahaja tidak kira bangsa, pangkat mahupun kedudukan.

Umat disatukan, negara Islam Madinah dibangunkan, dan kemakmuran disebarkan meliputi penduduk Islam dan juga bukan Islam. Setiap daripada mereka merasai keamanan berada dibawah naungan Islam.

Ketika hayatnya, Baginda sempat melihat hasil kerja dakwah Baginda dan para sahabat setelah melalui pelbagai liku keperitan. Maka tibalah fasa akhir persinggahan Baginda di dunia yang sementara ini.

Malah hal tersebut dirasainya semasa Baginda mengutus Muaz bin Jabal ke negeri Yaman sebagai gabenor di tahun kesepuluh Hijrah. Pada waktu itu Baginda telah bersabda yang bermaksud:

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

” Wahai Muaz! Sebenarnya engkau mungkin tidak akan bertemu lagi dengan aku selepas tahun ini dan semoga kau akan melalui di masjidku ini dan di kuburku ini “

Muaz menangis tersedu-sedu kerana tahu akan berpisah dengan Rasulullah S.A.W.

Pada tahun itu juga, Rasulullah S.A.W telah menunaikan haji serta umrah. Ketika telah sampai ke Arafah, Baginda memerintah supaya di bawa kepadanya tunggangan untanya yang bernama al-Qaswa’.

Dari situ Baginda pun bergerak hingga sampai ke Batn al-Wadi. Di sana orang ramai telahpun berkumpul sebanyak seratus ribu dua puluh empat orang atau seratus ribu empat puluh empat orang.

Rasulullah berdiri di hadapan mereka dan terus membuat satu ucapan yang lengkap, mafhumnya;

“Wahai sekalian manusia, dengarlah kata-kataku ini, sebenarnya aku tidak tahu berkemungkinan aku tidak akan menemui kamu kalian selama-lamanya selepas tahun ini. Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu sama seperti haramnya hari kamu ini di bulan kamu ini dan bumi kamu ini.

Ketahuilah bahawa semua perkara mengenai urusan jahiliah tertanam di bawah kaki ku ini, darah-darah jahiliah adalah tertanam dan darah jahiliah yang mula-mula sekali yang ku hapuskan ialah darah Ibn Rabiah bin al-Harith, kejadiannya terjadi di mana beliau ini dibunuh semasa sedang mengambil susuan dari ibu susuannya Banu Saad, dan riba jahiliah juga dihapuskan, dan riba pertama yang ku hapuskan ialah riba Abbas bin Abdul Mutalib malah kesemuanya dihapuskan sama sekali.

Bertaqwalah kamu kepada Allah demi melaksanakan hak kaum wanita, lantaran kamu telah mengambil mereka sebagai isteri dalam bentuk amanah Allah, kamu halal bersama dengan mereka melalui sebutan nama Allah dan kaum wanita pula berkewajipan menjaga supaya tidak seorang pun manusia yang kamu benarkan masuk ke bilik kamu. Sekiranya mereka berbuat demikian maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak parah, ke atas mereka, kamu wajib memberi rezeki dan pakaian dengan baik.

Sesungguhnya telah aku tinggalkan pada kamu sesuatu di mana kamu tidak akan sesat selepas ini seandainya kamu berpegang dengannya iaitu Al-Quran dan Sunnah. Wahai kalian manusia, sesungguhnya tiada nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain dari kamu, beringatlah supaya kamu menyembah Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu, berpuasalah kamu di bulan Ramadan, tunaikan zakat harta kamu dengan penuh kerelaan hati, tunaikan haji ke rumah Tuhan kamu, dan taatilah pemerintah-pemeritah kamu nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhan kamu. Kamu semua akan ditanya esok mengenai perihal diriku, maka apa yang ingin kamu jawab?

Maka kata mereka semua:

Kami menyaksikan bahawa engkau telahpun menyampaikan, menunaikan dan menasihati kami”

Dengan mengangkat jari telunjuknya ke arah langit dan berkata ke hadapan orang ramai:

“Ya Allah Ya Tuhanku, Persaksikanlah. (sebanyak tiga kali.)”

Adapun yang bertanggungjawab melaung dan menyampaikan ucapan Rasulullah S.A.W kepada orang ramai di padang Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyah bin Khalaf.

Sebaik sahaja selesai Rasulullah menyampaikan ucapannya itu turunlah firman Allah yang yang bermaksud:

(Di hari ini telah Ku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku lengkapkan ke atas kamu nikmatKu, dan Ku meredhai bagi kamu Islam sebagai Deen(agama) ” Surah Al-Maidah: 3

Semasa Umar mendengar firman Allah itu beliau terus menangis dan setelah ditanya, mengapa beliau menangis? Jawab beliau:

“Kerana selepas kesempurnaan akan menyusul pula kekurangan”

Umar Al-Khattab memahami bahawa ucapan itu menandakan bahawa hayat Rasulullah S.A.W semakin singkat. Maka inilah khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W kepada sekalian manusia.

Rasulullah S.A.W telah menekankan beberapa hal yang sangat penting dalam khutbah tersebut iaitu; Unsur jahiliah, hak dan tanggungjawab wanita serta tiang seri agama iaitu rukun Islam.

Rasulullah seolah-olah mengetahui bahawa perkara inilah yang kerap menimbulkan isu dan kekusutan dalam masyarakat. Hal berkaitan jahiliah bukanlah hal yang hanya wujud pada zaman Baginda tetapi hal yang akan melanda zaman apa sekalipun jika tidak diurus dan dikekang dengan bijak. Contoh yang diberikan Baginda dalam khutbahnya adalah perihal riba.

Lihatlah bagaimana riba masih wujud dan diamalkan dalam ekonomi pada hari ini. Jihad dan usaha berterusan perlu dilakukan agar suatu hari nanti masyarakat dunia tidak lagi terikat dengan riba dalam bentuk apa sekalipun.

Kedua, mengenai wanita juga disebut secara jelas dalam khutbah tersebut. Ketinggian akhlak adalah pelindung serta pakaian bagi wanita. Kebesaran jiwanya menjaga diri adalah suatu sumbangan yang besar buat keluarga serta dirinya sendiri.

Hak wanita bukan hanya perlu disedari oleh si suami atau orang lain malah paling utama disedari oleh wanita itu sendiri!

Ketiga adalah rukun agama yang perlu dilaksanakan oleh semua orang yang bergelar Islam. Rukun Islam inilah yang membantu kita untuk sentiasa berada di atas paksi kebenaran;

“…sesungguhnya tiada nabi selepas ku ini, dan tiada umat lain selain dari kamu, beringatlah supaya kamu menyembah Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu, berpuasalah kamu di bulan Ramadan, tunaikan zakat harta kamu dengan penuh kerelaan hati, tunaikan haji ke rumah Tuhan kamu, dan taatilah pemerintah-pemeritah kamu nescaya masuklah kamu ke dalam syurga Tuhan kamu”

Rasulullah menegaskan serta mengingatkan tentang keimanan kepada Allah dan Rasul, bahawa tidak akan ada lagi sesiapa selepas Baginda yang akan menjadi nabi. Maka bererti, walau zaman berganti, walau ada yang datang mengaku sebagai pengganti Nabi, maka tentulah ia adalah suatu yang mustahil.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Rasulullah juga mengingatkan supaya sentiasa menunaikan solat fardu, puasa, zakat, haji serta ketaatan kepada pemimpin.

Pesanan ini bukan semata-mata pesanan kosong, lebih-lebih lagi ianya terkandung dalam khutbah terakhir, maka pastilah setiap satunya punya kepentingan yang sangat besar.

Diberitakan bahawa, selepas khutbah tersebut, ucapan-ucapan Rasulullah kerap berisi pesanan-pesanan akhir yang seolah-olah memberi tanda kewafatan baginda semakin dekat.

Masa akan terus berlalu, dan barangkali jika dipanjangkan umur, kita akan berjumpa pula bulan Rabiulawal yang seterusnya.

Namun yang lebih penting adalah kita menghayati setiap apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W serta disebar luaskan pula kepada masyarakat sekeliling, agar agama Islam itu sentiasa hidup dan tertegak dalam diri kita dan juga dalam jiwa-jiwa insan lain. Wallahua’lam.

Sumber : Terjemahan Kitab Ar-Raheeq Al-Makhtum oleh Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriyy

Tentang Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.