Bagi yang sering kali meluangkan masa melayari internet, terutamanya media sosial, pasti akan tahu tentang perkataan makcik bawang dan pakcik bawang.

Bawang di dalam ayat tersebut membawa konotasi negatif, iaitu seseorang yang suka mengambil tahu hal orang lain meskipun tidak ada kaitan pun dengan mereka.

Istilah yang sesuai dalam perbendaharaan Bahasa Melayu ialah jaga tepi kain orang lain.

Jika diselami, trend perkataan ini timbul apabila diadakan majlis-majlis keramaian yang melibatkan gotong-royong atau rewang.

Dalam masa mengisi topik perbualan, antara topik yang terlibat ialah bercerita berkenaan hal orang lain. Itulah pada hemat saya, bagaimana boleh munculnya istilah makcik bawang dan pakcik bawang.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ. حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا
“Merupakan tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.”
Riwayat Tirmizi

Menjadi kebiasaan dalam setiap perbualan atau chat conversation akan terselit juga satu dua kisah orang lain. Ini saya tidak dapat nafikan, kerana bukanlah kesemuanya memahami dan menghayati ajaran Islam.

Yang mana mungkin juga ada yang tidak sengaja bercerita disebabkan personaliti orang itu yang mudah bercerita. Tetapi yang pastinya, apabila berhadapan perkara sebegini kita seharusnya meninggalkannya.

Saya pernah menonton satu video Facebook berkenaan seseorang yang terperangkap di dalam perbualan kosong.

Videonya agak lucu dan menghiburkan kerana watak utama tersebut sebenarnya mahu meluangkan masa sendirian tetapi disapa oleh seseorang.

Kemudian, beliau terpaksa mencari seribu satu jalan untuk menamatkan perbualan dan meneruskan waktu sendirian.

Tetapi hasilnya tidak berjaya lantas daripada perbualan kosong, tiba-tiba bertukar ke sesi luahan perasaan dan tamat tergantung sebegitu.

Kecenderungan Kepada Perkara Kejahatan

Mungkin ada yang beranggapan tidak mengapa mengambil tahu hal orang lain kerana tiada mudarat pun yang akan berlaku. Namun, dalam Islam apa yang diajarkan pada kita punyai hikmah dan pengajaran baiknya.

Perbuatan menjaga tepi kain orang lain boleh menjurus kepada mengumpat, membanding-bandingkan diri, prasangka buruk, membuang masa dan tidak menghormati maruah orang lain.

Oleh itu, sebelum terjerumus ke dalam perkara yang boleh menggugat iman dan keharmonian hidup bermasyarakat, Islam mempunyai konsep yang dikenali sebagai sadd adz-dzari’ah (سد الذريعة) iaitu menutup jalan-jalan kemungkaran.

Ini kerana, terdapat segelintir perkara yang pada awalnya lain tetapi apabila sampai pada pihak yang tidak tahu apa-apa, mereka tersilap faham dan lain pula jadinya.

Itulah yang dinamakan sangkaan buruk. Memanglah kita tidak niatkan untuk bersangka buruk tetapi hasutan-hasutan syaitan tetap ada untuk dibisikkan pada kita, meskipun pada sahabat Nabi.

Pernah terjadi satu kisah diriwayatkan dalam Sahih Muslim apabila Rasulullah berjalan bersama salah seorang isterinya, Safiyah binti Huyay.

Dalam perjalanan, baginda terlihat dua orang sahabat yang nampak kehadiran baginda bersama isterinya lalu dua sahabat tersebut terus berjalan laju.

Rasulullah menyapa mereka dan memperkenalkan pada mereka bahawa wanita tersebut adalah isterinya lalu bersabda;

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرًّا
“Sesungguhnya syaitan itu boleh masuk ke dalam diri manusia melalui aliran darah. Oleh kerana itu, aku khuatir kalau-kalau ia akan membisikkan niat jahat ke dalam hati kalian berdua.”

Sifat Ingin Tahu Yang Akhirnya Menghukum

Justeru itu, sebelum menjerumuskan diri berprasangka yang tidak baik lebih eloklah kita tidak perlu tahu pun perkara-perkara yang tiada mendatangkan manfaat buat kita.

Apatah lagi penyampaiannya bukanlah dari individu yang terlibat, tetapi orang lain yang galak bercerita.

Secara psikologinya, manusia cenderung untuk mencari sebab dan akibat dalam satu situasi dan penceritaan. Apabila orang mula bercerita, kita akan tertanya-tanya kenapa terjadi begitu.

Apakah sebabnya. Bagaimanakah akhirnya. Apa yang telah terjadi selepas itu. Persoalan-persoalan begini adalah sifat semula jadi manusia yang secara fitrahnya ingin tahu (curious).

Tetapi sifat ingin tahu ini perlu dibentuk dengan baik, pada jalan-jalan kebaikan. Bukannya hal tepi kain orang lain yang kita tidak ada terlibat langsung pun. Apabila mencari-cari jawapan kenapa dan bagaimana itulah yang akan membuatkan kita menghukum dan memberi kata putus semberono.

Padahal apa yang kita dengar itu hanyalah penceritaan yang diubahsuai mengikut pemahaman si pencerita.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” Surah al-Hujurat 49:12

Penuhi Masa Dengan Manfaat Kebaikan

Baru-baru ini saya telah habis membaca buku tulisan Anfaal Saari yang bertajuk Bahagia Bukan Gembira.

Salah satu pengamatan (insight) dalam isi tulisan tersebut adalah bagaimana masa seseorang itu patut dihabiskan pada perkara kebaikan dan bermanfaat.

Anfaal adalah seorang wanita yang begitu semangat dan gigih berjuang pada apa yang beliau percaya. Berlatarbelakangkan kehidupan dalam misi aktivis dan dakwah, masa-masa yang beliau ada tidak dihabiskan pada perkara sia-sia.

Setiap anekdot beliau, memberi pelbagai tafsiran pengajaran dalam kehidupan. Begitulah kita dalam hidup kita sendiri. Masa yang kita ada ini kelak akan ditanya pada apa kita penuhi.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَع : عَن عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ، ، وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَه ،وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَه، وَفِيمَا أَنْفَقَه وَعَنْ عِلْمِهِ فِيماَ فَعَلَ
“Tidak akan terlepas kedua kaki seorang hamba itu semasa (berada di Padang Mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan; Tentang umurnya, dimanakah dihabiskan. Tentang masa mudanya, bagaimana digunakan. Tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan. Tentang ilmunya ,apakah diamalkan dengannya.”
Riwayat Tirmizi

Jika soalan oleh bos atau ketua kita pun boleh terasa kecut perut, inikan pula soalan di akhirat kelak yang lebih perit untuk kita jawab.

Mungkin pada kita, mengambil tahu hal orang lain itu adalah sekadar selingan dan tidak mengapa pun. Tetapi bukanlah elok jika ambil tahu daripada sumber yang bukan asalnya.

Lebih baik jika ingin tahu betul, tanya pada individu tersebut secara privasi. Ini lebih dianjurkan untuk mengelakkan segala tokok tambah dan prasangka lain yang memberi pemahaman berbeza.

Dengan itu, kita lebih meraikan seseorang dan menghormati perasaan mereka.

Manfaat Pada Diri Sendiri dan Orang Lain

Umum apabila ditanya pada setiap individu, kebanyakan yang dicari dalam kehidupan ini adalah kebahagiaan. Satu perkataan yang memberi beribu penafsiran mengikut sudut pandang masing-masing.

خَيْرُ الناسِ أَنفَعُهُم لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Riwayat At-Tabrani

Hubungan baik kita dengan orang lain apabila kita memberi manfaat kepada mereka. Sekadar meraikan dan menghormati orang lain adalah cukup untuk memberi kebahagian kepada dua belah pihak, mereka dan diri kita sendiri.

Bahkan, bukanlah harta atau pangkat dan pengaruh yang selama ini kita tersalah sangka untuk memanfaatkannya.

Mudah-mudahan coretan perkongsian saya memberi kebaikan pada para pembaca sekalian.

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.