Ibadah

‘Lailatul Qadar’ Satu Malam Yang Lebih Baik Dari Seribu Bulan

Oleh Anas  •  14 Jun 2017  •  3 min baca

Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, kita pasti teringat dan kerap mendengar tentang Lailatul Qadar. Bagi yang tidak tahu, Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa setiap kali tibanya Ramadhan.

Mengapa Lailatul Qadar menjadi malam yang teristimewa?

#1 – Malam Di Mana Allah S.W.T Menurunkan Al-Quran

Ini adalah berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar!”Surah al Qadr: 1-5

Disebut juga mengenai satu pandangan bahawa berdasarkan riwayat Ali bin Aurah, Rasulullah telah menyebut mengenai;

Empat orang daripada Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun dan tidak pernah menderhaka kepada Allah. Para sahabat berasa kagum dengan mereka. Lalu, Jibril datang memberitahu Rasulullah yang Allah telah menurunkan sesuatu yang lebih baik daripada amalan mereka sambil membacakan surah al-Qadr.

#2 – Setiap Ibadah Yang Dilakukan Menyamai Ibadah Selama Seribu Bulan

Usia kita pun belum tentu selama itu. Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang berjaya menemui malam Lailatul Qadar walaupun sekali.
Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”Surah Al-Qadr: 3

#3 – Diampunkan Dosa-Dosanya Yang Lalu

Sebab itulah Nabi s.a.w amat menggalakkan umatnya mencari malam Lailatul Qadar. Nabi s.a.w bersabda (maksud):

“Dan sesiapa yang bangun mendirikan Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”Riwayat Bukhari

Tiada siapa yang tahu bilakah malam Lailatul Qadar. Kenapa Allah rahsiakan malam istimewa ini?

Ada hikmahnya bila malam Lailatul Qadar ini dirahsiakan oleh Allah s.w.t. Bila kita tak tahu, maka kita akan istiqamah dan konsisten untuk beribadat pada setiap malam. Amalan juga ditambah dan diperbaiki.

Amalan yang bagaimanakah boleh membantu kita menemui malam Lailatul Qadar?

Berikut adalah beberapa cara atau rahsia agar dengan izin-Nya kita berjaya menemui malam Lailatul Qadar:

#1- Ikut Sunnah Rasulullah semasa berbuka puasa. Berbuka puasalah secara ala kadar.

#2- Jaga solat dan cuba tunaikan solat secara berjemaah terutama semasa Maghrib dan Isyak.

#3- Tunaikan solat tarawih.

#4- Banyakkan membaca Al-Quran.

#5- Qiyamullail atau bangun malam untuk solat-solat sunat seperti tahajud, hajat, istikharah, witir dan sebagainya.

#6- Bersahur di akhir malam.

#7- Elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merugikan.

Ibadat di bulan Ramadhan perlulah dilakukan secara istiqamah. Beribadatlah setiap hari sepanjang bulan Ramadhan tanpa perlu memilih malam-malam tertentu sahaja.

Jika kita ikhlas dan kekal menjaga ibadat kita, InsyaAllah kita akan menemui Lailatul Qadar.

Walaupun dikatakan bahawa ada tanda-tanda tertentu seperti cuaca pagi selepas Lailatul Qadar agak redup, namun ini hanyalah sekadar tanda yang ada perbezaan pendapat mengenainya.

Apa yang penting adalah kita istiqamah dalam ibadat kita.

Semoga kita menjadi lebih dekat dan ringan dalam menjaga ibadat dan amalan kita walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita sebagaimana yang disebut dalam doa Lailatul Qadar yang berikut:

“Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon daripada Engkau akan reda-Mu dan syurga. Dan kami berlindung daripada kemurkaan-Mu dan neraka. Ya Allah! Sesungguhnya Engkau suka akan kemaafan dan Engkau pemurah, maka ampunkanlah kami, ibu bapa kami dan sekelian Muslimin dengan rahmat-Mu wahai serahmat-rahmat antara yang mengasihani. Dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami