Inspirasi

Kuatkan Peribadimu!

Oleh Syafiq Salim  •  24 Feb 2018  •  6 min baca

Kualiti seseorang kita dapat lihat melalui peribadinya. Peribadi adalah sifat-sifat yang terdapat pada seseorang dan daripada gabungan sifat-sifat itulah melahirkan peribadi.

Tinggi atau rendah harga seseorang bergantung pada peribadinya dan itu juga membezakan kita dengan binatang lain.

Ini kerana dua ekor lembu yang sama besar, sama tingginya dan sama ciri fizikalnya tentu nilainya hampir sama tetapi tidak manusia.

Ada orang yang mana menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan, pejuangan yang membebankan tetapi kerana peribadinya ia dapat mengharunginya dengan jiwa yang besar.

Manakala ada orang seluruh hidupnya menjadi gelap gelita, tidak bermakna kerana satu sebab yang remeh antaranya hanya disebabkan orang perempuan, sebab apa? Kerana peribadinya yang lemah.

Bagi orang yang berjuang, peribadi yang unggul itu semestinya ada pada tubuh badan mereka. Bukan bermakna tiada kekurangan tetapi peribadinya menjadikan dia maju menuju maksud.

#1 -Berpandangan Jauh Dan Baik

Melihat sesuatu perkara jauh kehadapan daripada keadaan semasa menjadikan seseorang itu akan merangka sesuatu untuk menempuhnya. Dengan itu akan lahirnya azam serta wawasan untuk mencapainya.

Bahkan kita boleh katakan orang yang berpandangan jauh itu adalah orang yang cerdik. Sepertimana sabda Nabi S.A.W apabila badinda ditanya tentang orang yang cerdik:

“Orang yang paling cerdik ialah yang sentiasa muhasabah dan beramal untuk selepas mati, sedangkan orang yang lemah sentiasa mengikuti hawa nafsu dan berangan-angan terhadap Allah” Riwayat Ibnu Majah

Selepas kita perhalusi jawapan Rasulullah S.A.W, kita dapati orang yang bijak itu adalah orang yang merangka kehidupannya untuk menghadapi sesuatu pada masa hadapan.

Bahkan lebih hebat lagi merangka sesuatu untuk menikmati manfaatnya selepas beliau tiada didunia. Tetapi janganlah kita lupa bahawasanya berpandangan jauh semata-mata akan menjadi mandul jika tidak disertai dengan matlamat yang baik.

Oleh itu hendaklah kita menanamkan niat yang baik dalam perancangan kita kerana ia lambang kemuliaan yang baik bagi pengakhiran yang mulia.

Ingat, jika kita mengenang masa yang lampau tanpa melihat setiap yang berlaku itu ada intipati yang berharga untuk melangkah dalam hidup.

Maka itu adalah sia-sia, kerana kita yakin bahawasanya perkara yang berlaku itu adalah universiti kehidupan yang akan dituai dalam perjalanan hidup ini dan menjadi rujukan yang berharga dalam merangka kehidupan yang lebih baik.

#2 -Jadi Dirimu Sendiri

Setiap daripada kita ada sifatnya masing-masing sebagaimana pada permulaan kita dilahirkan di dunia.

Mustahil dua manusia yang baru lahir mempunyai bentuk fizikal yang sama walaupun lahir sebagai kembar sekalipun.

Oleh itu jadilah diri sendiri dan jangan jadikan diri kita sebagai jelmaan orang lain. Kata Buya Hamka:

“Orang yang hanya menjadi bayang-bayang orang lain berkata dan menulis, bahkan sampai kepada gerak dan geriknya, hanya menjadi pak tiru. Orang yang seperti itu tentulah akan lenyap peribadinya…”

Manakala Dr. Aidh al-Qarni menyatakan:

“Hiduplah sebagaimana anda diciptakan, jangan mengubah suara anda dan jangan pula merubah cara berjalan anda! Tuntunlah diri anda dengan wahyu Ilahi, tetapi juga jangan melupakan keadaan anda dan jangan membunuh kemerdekaan anda sendiri!”

Ini bukanlah bermaksud kita tidak boleh mengambil manfaat atau belajar dari orang lain. Imam Syafie sebagai contoh yang menjadi anak murid kepada Imam Malik.

Walaupun Imam Malik mempunyai peribadi yang hebat tetapi tidak menjadikan diri Imam Syafie sebagai jelmaan gurunya itu.

Bahkan kita dapat lihat banyak pendapat beliau dan gurunya itu berbeza. Kerana mereka ini mempunyai jiwa yang merdeka untuk membentuk peribadi.

#3 -Sentiasa Bersedia

Ketika mana Great Napoleon berdiri di atas tribun menerima penghormatan, rakyat Perancis mengalu-alukan kemenangannya.

Kelihatan rakyat datang berduyung-duyung, terkinja-kinja kegirangan, bersorak-sorak memuji-muji beliau. “Hidup Kaisar!” lalu seorang menteri disebelahnya berkata;

“Cubalah Tuanku perhatikan! Alangkah besarnya kecintaan rakyat ke bawah duli Tuanku!”

Dengan senyuman sinis Napoleon menjawab:

“Kerana sekarang aku berkuasa, mereka memujiku setinggi langit. Dan kalau aku jatuh, mereka juga yang akan mencela aku sampai ke kerak bumi! Dan mereka akan memuji orang yang mengalahkan aku, lebih daripada pujian yang aku prolehi hari ini!”

Manusia kebiasaan begitu, apabila kita di atas pasti akan ramai orang mengaku dialah sahabat.

Oleh itu haruslah insaf bahawasanya kita tidaklah akan sentiasa di atas, pasti akan berada di bawah. Ketika itu janganlah kita kecewa dan menyebabkan peribadi kita menjadi lemah.

Boleh jadi ketika itu Tuhan menetapkan kita supaya berehat mengumpul tenaga agar dapat bangun kembali menempuh hidup. Allah S.W.T berfirman:

“Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain dari gangguan-gangguan celaan saja…” Surah Ali-Imran:111

#4 – Teladani Dr. Abdul Rahman Humaid As-Sumaith

Dikalangan kita mungkin ramai tidak mengenali seorang tokoh yang mempunyai peribadi yang hebat iaitu Dr. Abdul Rahman Humaid As-Sumaith yang meninggal dunia pada Ogos 2013.

Seorang doktor perubatan yang seluruh hidupnya telah di wakafkan untuk berdakwah di jalan Allah S.W.T. Jika kita membaca kisah hidupnya, pelbagai dugaan dan pendakian yang beliau tempoh untuk mencapai pelbagai kejayaan.

Beliau telah mengislamkan sebanyak 11 juta manusia di bumi Afrika, membina lebih daripada 5000 masjid, 860 sekolah, membangunkan 124 buah Hospital dan lain-lain lagi termasuk membina beberapa buah universiti.

Antara sifat peribadinya yang sangat menonjol adalah amanah. Kerana sifat amanah itulah telah membantu beliau dalam menjalankan dakwah di bumi Afrika. Sehingga beliau menyatakan:

“Harta-harta manusia yang mereka sumbangkan untuk amal kebajikan tidak mungkin bagiku membazirkannya walaupun seriyal.”

Beliau telah menempuh pelbagai kepayaan dan kesusahan untuk melihat manusia keluar dari kegelapan kepada cahaya Islam dan akhirnya melahirkan manusia yang saling berkasih sayang antara satu sama lain.

Di sebalik pencapaian yang sangat mengagumkan itu beliau pernah dipenjara beberapa kali dan juga di seksa. Walaupun begitu hidupnya hanya berserah diri kepada Allah S.W.T sahaja. Beliau menyatakan:

“Saya tidak ragu-ragu yang saya tidak akan mati kecuali Allah S.W.T telah menetapkan ketetapan itu untuk saya”

Dengan sebab itu beliau berjuang bersungguh-sungguh sehingga hayatnya terakhir. Selagi nyawa berada dijasad, selagi itu beliau berusaha untuk berhidmat kepada manusia.

#5 -Kuatkan Peribadimu!

Selagi mana Allah S.W.T itu Tuhan dan selagi mana kita menghirup udara untuk hidup, selagi itulah kita akan diuji dalam kehidupan ini.

Apa yang berlaku kepada kita ada sebabnya dan kita tiada pilihan untuk menentukan nasib kita sendiri tetapi kita sentiasa ada pilihan untuk menentukan apa yang kita ingin lakukan. Jadi pilihlah jalan yang terbaik dan selebihnya kita berserah pada Tuhan.

Tentunya setiap jalan kebenaran pasti akan ujian yang akan ditempuh sebagaimana dalam banyak ayat-Nya. Oleh itu hendahlah kita sabar dan sentiasa tabah menempuhnya. Seorang penyair menyatakan:

Tidak akan meluap ombak laut
Sampai membahayakan
Hanya kerana lemparan kerikil serang budak kecil

Hidup kita ini didokong dengan kepercayaan kita. Jika kita percaya jalan yang kita tempuh itu benar pasti tidak akan sesiapa yang mampu menghalang kita.

Apatah lagi jalan yang kita lalui itu menuju keredaan Tuhan. Oleh itu pastikan kita sampai ke destinasi penamat yang benar itu. Ingatlah kata Buya Hamka:

“Bebanmu akan berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi aku percaya langkahmu akan jaya. Kuatkan peribadimu!”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami