Al-Allamah al-Muhaddis al-Faqih Syeikh Muhammad Abu al-Khair al-Maidani dilahirkan di daerah Maidan, Damsyik pada tahun 1293H bersamaan 1875M dalam kalangan keluarga yang daif.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Muhammad Khair (Abu al-Khair) ibn Muhammad ibn Husain ibn Bakri al-Maidani al-Hanafi al-Naqsyabandi al-Mujaddidi al-Nadari. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abu Khair al-Maidani.

Syeikh Abu Khair al-Maidani adalah seorang faqih dan ahli hadis yang cukup warak dalam kehidupannya. Beliau sering
menangis kerana takut kepada Allah s.w.t.

Walaupun ibu bapanya miskin, tetapi mereka sangat soleh dan alim. Selepas ayahnya meninggal dunia, ibunya membawanya berpindah ke tempat lain. Beliau menamatkan pendidikan awalnya di Sekolah al-Rushdiyah.

Seterusnya, memasuki Sekolah Anbar dan sering mendapat tempat pertama dalam kelas. Ibunya amat menitikberatkan soal pemakanan yang halal buat anaknya itu. Pernah suatu hari, Syeikh Abu al-Khair al-Maidani menceritakan;

“Hari pertama aku belajar di sekolah milik Syeikh Aid as-Safarjalani dan ketika itu, ibuku menyimpan wang yang banyak supaya aku dapat menyempurnakan pembelajaranku. Murid di sekolah ini belajar dari pagi sehingga sebelum Maghrib dan mereka makan tengah hari di sekolah.”

“Anak-anak yang kaya selalu disiapkan oleh ibu bapa mereka dengan makanan yang lazat. Aku teringin untuk memakan makanan mereka. Pulang saja dari sekolah, aku khabarkan hal tersebut kepada ibuku. Lalu, ibuku sedih dan menangis kerana tidak mampu memberikan sesuatu kecuali hanya sepotong roti.”

“Ibuku berkata padaku, ‘Wahai anakku, ikhlaskanlah apa jua yang Allah berikan kepadamu. Sesungguhnya, Allah s.w.t akan memuliakan dan menggantikan kebaikan kepadamu’.”

“Kemudian, aku mengikut segala apa yang disarankan oleh ibuku. Tatkala aku melihat para murid di situ memakan pelbagai jenis makanan yang lazat, aku terus teringat akan pesanan ibuku. Jika aku menginginkan salah satu makanan mereka, maka aku telah merasakan rasanya di mulutku dan aku pula merasakan bekas-bekasnya.”

Setelah tamat persekolahan, ibunya menghantar beliau kepada Syeikh Salim al-Masuti; salah seorang tokoh ulama dan wali Allah s.w.t yang berada di Damsyik. Syeikh Salim al-Masuti dapat merasakan bahawa Abu Khair al-Maidani ini seorang pemuda yang bijak. Lalu, beliau mencadangkan padanya untuk mengkaji Sains Islam.

Mendengarkan hal itu, Syeikh Abu Khair al-Maidani berkata kepada gurunya itu, bahawa beliau perlu meminta kebenaran dari ibunya terlebih dahulu.

Lalu, Syeikh Salim pun pergi menemui sendiri ibu Abu Khair al-Maidani ini dan meyakinkan dirinya bahawa anaknya ini kelak akan menjadi seorang ulama di Syam(Syria).

Setelah mendapat kebenaran daripada ibunya, Syeikh Abu Khair al-Maidani pun sentiasa mendampingi gurunya itu bagi mempelajari pelbagai ilmu antaranya ilmu fiqh dan hadis. Hubungan akrab dengan gurunya itu membuatkan Syeikh Salim sendiri berkata padanya;

“Dalam dadaku ini tiada apa-apa lagi, melainkan telah aku berikan kepadamu.”

Mendengarkan kata-kata gurunya itu, Syeikh Abu Khair al-Maidani berasa cukup gembira kerana menerima pelbagai ijazah ilmu dari Syeikh Salim secara langsung.

Kebiasaannya, sebelum meneruskan perjalanan ke tempat pengajian atau kelas, Syeikh Abu Khair al-Maidani akan mempersiapkan dirinya terlebih dahulu.

Dan, setelah habis pengajian, beliau akan mula mengajar ilmu kepada orang lain untuk memudahkan beliau mengingati segala ilmu yang diperolehi.

Kebolehan dan kemahirannya dalam berbahasa Turki, Parsi, Kurdish, Perancis juga Inggeris turut memudahkannya menelaah kitab-kitab karangan para cendekiawan dan ulama-ulama terdahulu, sama ada dalam bidang Perubatan, Algebra mahupun Fizik.

Selain dikenali sebagai ulama hadis yang membawa pelbagai gelaran, beliau turut pakar dalam bidang Sains dan Sejarah Islam. Apabila menceritakan kepada khalayak mengenai peristiwa sedih, beliau akan menangis sehinggakan para hadirin yang berada di sekitarnya juga turut sama-sama menangis.

Syeikh Abu Khair al-Maidani juga disenangi kerana peribadinya. Keluhuran hati budinya, ketaatannya kepada ibu bapa, guru-gurunya, dan kasih sayang kepada anak-anak muridnya membuatkan beliau disayangi oleh semua orang.

Pada waktu malam, beliau hanya tidur sekejap sahaja, selain melakukan amal ibadah. Tumpuan kehidupannya hanyalah pada ummah. Apabila ada sesiapa yang datang menemuinya, beliau pasti akan membantu menyelesaikan permasalahan mereka.

Walau ada yang datang menemuinya ketika beliau sedang tidur, beliau pasti bangun dan melayan tetamu itu dengan sebaiknya. Beliau juga tidak akan tidur selagi tidak menjawab persoalan-persoalan yang diajukan kepadanya mahupun tidak mempelajari sesuatu ilmu baru pada hari tersebut.

Pada 17 Ramadan 1961, iaitu pada hari Jumaat, beliau telah pergi menghadap Ilahi. Jenazahnya diiringi oleh para alim ulama dan pelajarnya. Maka, hilanglah salah seorang wali Allah di bumi Syam(Syria) ketika itu.

Semoga kisah Syeikh Abu al-Khair al-Maidani ini mampu menjentik hati kita semua untuk mendidik anak-anak dengan pendidikan yang terbaik dan diredhai Allah. Semoga Allah s.w.t merahmatinya. Amiin.

“Allah s.w.t telah menjadikan diriku untuk masyarakat dan bukan untuk diri sendiri.”Kata Mutiara Syeikh Abu al-Khair al-Maidani

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.