Pada tahun 470H, lahirnya seorang bayi lelaki diberi nama Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani di perkampungan Nif, sekitar daerah Jilan, Iran.

Kedua ibu bapanya lahir dari keluarga yang sangat warak. Ini mungkin disebabkan darah nasab keluarga sebelah bapanya yang berketurunan Arab, sehingga sampai kepada Hassan bin Ali; cucu Baginda Nabi s.a.w.

Ibunya juga merupakan wanita yang tidak pernah melihat perkara haram, tidak pernah mendengar kata-kata umpatan bahkan tidak pernah mengucapkan perkataan yang kotor.

Ketika menginjak usia 18 tahun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke kota Baghdad untuk menuntut ilmu. Lalu, ibunya memberikan wang saku untuknya bagi menampung perjalanan pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan.

Wang tersebut diletakkan oleh ibunya di bahagian lengan baju anaknya lalu dijahit rapi agar tidak diketahui oleh orang lain.

Setelah siap, ibunya berpesan padanya;

“Wahai anakku, ingatlah pesananku ini. Apabila engkau sedang dalam perjalanan dan berada di tempat orang, engkau hendaklah sentiasa berkata benar dan jujur dalam setiap tingkah lakumu. Ketahuilah bahawasanya orang Islam tidak boleh berkata dusta. Ingatilah pesanan Baginda Nabi s.a.w; ‘Bahawa amanah itu kekayaan.’ Berbuatlah baik di dalam setiap tutur kata mahupun perbuatan supaya engkau selamat dan sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t.”

Setelah itu, Syeikh Abdul Qadir pun berangkat ke tempat tujuannya. Tiba-tiba, dalam perjalanan itu beliau telah diserang oleh sekumpulan penyamun. Segala barangan yang dibawa bersama habis digeledah dan diambil.
Salah seorang penyamun itu berkata;

“Wahai saudara! Apa lagi barang yang engkau miliki? Berkatalah benar!”

Syeikh Abdul Qadir menjawab;

“Ya, aku ada wang.”

Mendengarkan itu, masing-masing terkejut. Agak jarang sekali orang yang dirompak akan memberitahu barangan berharga milik mereka, tetapi tidak bagi Syeikh Abdul Qadir.
Penyamun lain bertanya;

“Benarkah begitu? Atau, adakah engkau sedang memperolok-olokkan kami?”

Syeikh Abdul Qadir menjawab;

“Ya, benar. Aku tidak berkata bohong. Tahukah tuan, bahawasanya orang yang sedang menuntut ilmu itu sedang berjalan menuju ke syurga kerana malaikat sedia membantunya. Aku umat keturunan Rasulullah s.a.w dan aku tidak akan sesekali berkata dusta. Apalah ertinya wang ini hingga aku terpaksa berkata bohong? Seorang Islam yang sejati tidak akan sesekali berbohong sekalipun dirinya berada dalam kesulitan.”

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, sekumpulan penyamun itu membawa Syeikh Abdul Qadir untuk menemui ketua mereka. Lalu berlakulah sesi soal jawab antara mereka berdua. Soal ketua penyamun;

“Siapakah engkau dan ke manakah arah tujuanmu?”

Syeikh Abdul Qadir menjawab dengan yakin;

“Namaku Abdul Qadir. Aku datang dari Jailan menuju ke Baghdad untuk menuntut ilmu.”

Ketua penyamun itu bertanya lagi;

“Engkau ada bawa wang bersama?”

Tanpa teragak-agak beliau menjawab;

“Ya, benar.”

Alangkah terkejutnya ketua penyamun itu mendengarkan pengakuan Syeikh Abdul Qadir. Lalu ketua penyamun itu menggertak beliau;

“Engkau berbohong! Engkau sengaja mahu mempermainkan aku bukan?”

“Benar tuan, aku tidak berbohong kerana aku seorang Muslim. Inilah ajaran ibuku sejak aku pandai bercakap. Sia-sialah segala amalanku dan segala asuhan ibuku jika aku berkata dusta.”

Dengan kuasa Allah s.w.t, ketua penyamun itu menitiskan air mata keharuan. Lalu, dia pun meminta maaf kepada Syeikh Abdul Qadir dan berjanji untuk tidak melakukan pekerjaan samun dan rompakan lagi. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.