Ayahnya, Zaid bin Amru bin Nufail adalah seorang yang berpegang kepada agama asal Nabi Ibrahim. Beliau menolak sembahan-sembahan Quraisy dan upacara keagamaan mereka.

Beliau telah merantau ke serata dunia bagi mencari agama asal yang masih suci. Apabila bertemu dengan salah seorang rahib, beliau menasihatkan Zaid supaya pulang ke Mekah kerana nabi akhir zaman bakal dibangkitkan di sana.

Namun Allah mentakdirkan umurnya tidak panjang dalam perjalanan pulang, beliau telah diserang lanun dan dibunuh di Balqa’. Sebelum meninggal, beliau sempat berdoa;

“Ya Allah. Jika kau haramkan aku daripada kebaikan ini, maka janganlah kau haramkan anakku daripadanya.”

Doanya dimustajabkan Allah. Anaknya Said menjadi antara pemuda terawal memeluk Islam. Isteri Said adalah Fatimah bin al-Khattab, adik Saidina Umar. Beliau juga antara muslimah terawal memeluk Islam.

Mereka berdualah menjadi punca keislaman Saidina Umar selepas itu. Beliau antara yang dijanjikan syurga sebagaimana disabdakan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis. Juga diisyaratkan dalam satu kisah, Said sendiri menceritakan;

“Aku bersaksi bahawa sembilan orang adalah ahli syurga. Dan tidaklah aku berdosa jika menyebut yang kesepuluh.”

Sahabat bertanya;

“Bagaimanakah itu?”

Kata Said;

“Kami bersama Rasulullah s.a.w di gua Hira pada suatu hari. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Hira’! Tiadalah di atasmu ini melainkan mereka dari golongan Nabi, Siddiq dan Syahid (golongan ahli syurga.)”

Sahabat bertanya Said;

“Siapakah yang ada ketika itu?”

Said berkata;

“Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Zubair, Saad, Abdurrahman.”

Sahabat bertanya lagi;

“Dan yang kesepuluh?”

Said menjawab;

“Aku..”

Pada zaman Bani Umayyah, berlaku satu kisah yang sangat popular sepanjang zaman. Pada waktu itu, seorang wanita bernama Arwa binti Uwais telah menuduh Said merampas tanahnya.

Arwa telah menyebarkan cerita ini sehingga sampai ke pengetahuan gabenor Madinah, Marwan bin al-Hakam. Lalu Marwan menghantar kakitangan untuk menyiasat.

Ketika disoal siasat, Said berkata:

“Bagaimana mungkin aku merampas tanah itu? Sedangkan aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda; “Barangsiapa yang berlaku zalim walau ke atas sejengkal tanah, Allah akan kalungkan ditengkuknya daripada tujuh lapis bumi.”

Said lalu berdoa;

“Ya Allah! Perempuan itu telah mendakwa aku berlaku zalim. Sekiranya dia berbohong, maka butakanlah matanya, dan campakkanlah dia ke dalam telaga di tanah yang dia tuduh aku itu. Tunjukkanlah kepada orang ramai dengan kebenaran sejelas cahaya, bahawa aku tidak menzaliminya.”

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba air dari tasik al-Aqiq mengalir hingga ke tanah yang diperselisihkan itu. Tidak pernah ia mengalir seperti itu sebelum ini.

Maka terbongkarlah sempadan tanah antara Said dan Arwa. Orang ramai melihat kebenaran bahawa, Said tidak menzalimi Arwa.

Lebih kurang sebulan selepas itu, mata Arwa pula menjadi buta. Dia berjalan teraba-raba hingga terjatuh ke dalam telaganya sendiri.

Umat Islam kagum menyaksikan betapa mustajabnya doa seorang yang dizalimi seperti Said bin Zaid. Sejak hari itu, masyhur satu doa di kalangan penduduk Madinah;

“Ya Allah, Kau butakanlah matanya seperti kau butakan mata Arwa.”

Kisah ini memberi pengajaran supaya kita tidak berlaku zalim sesama manusia. Zalim bukan setakat dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyat sahaja, tetapi meliputi semua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sesama makhluk seperti melempar tohmahan, menipu, mengumpat, merampas, mencuri dan sebagainya. Rasulullah s.a.w bersabda;

“Takutlah doa orang yang dizalimi, kerana tiada hijab yang menghalang antara doa itu dan Allah.”

Bagi pejuang Islam, mereka tidak memadai dengan hadis ini, bahkan perlu menangani kezaliman dengan panduan hadis-hadis yang lain. Antaranya sabda Rasulullah s.a.w;

“Bantulah saudaramu yang zalim mahupun yang dizalimi.”

Sahabat bertanya;

“Bagaimana mahu membantu orang zalim wahai Rasulullah?”

Jawab baginda;

“Halang dia dari berlaku zalim.”

Juga dalam hadis lain, yang lebih jelas menyebut tentang peranan seorang pejuang. Sabda Rasulullah s.a.w;

“Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim.”

Tentang Ustaz Iqbal Zain

Ustaz Iqbal Zain

Ustaz Iqbal Zain merupakan seorang penceramah bebas, penterjemah ulama dari luar dan panel penceramah Pertubuhan KEMUDI. Mendalami pengajian khusus Feqah Imam Syafiee, Ilmu Tarbiyah dan Fiq-hudda’wah di Pusat Pengajian Darul Mustafa, Yamen. Kini menyambung pengajian di peringkat Master dalam bidang Ketamadunan Dan Falsafah Islam di Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.