“Sesungguhnya Yunus adalah dalam kalangan para Rasul yang diutus.”Surah As-Saffat:139

Nabi Yunus adalah dari keturunan Bunyamin. Allah melantiknya menjadi nabi ketika usianya 30 tahun. Selama 30 tahun Nabi Yunus berdakwah kepada penduduk Naynawa agar mereka beriman kepada Allah s.w.t.

Namun, tidak ramai yang mahu beriman. Walaupun begitu, mereka yang tidak mahu beriman tidaklah menghalang atau mengasari Yunus.

Kerana kedegilan penduduknya itu, Nabi Yunus pun mengadu kepada Allah s.w.t. Maka Allah s.w.t menyuruh Nabi Yunus meneruskan dakwahnya sehingga 40 hari lagi.

Sekiranya selepas itu, mereka tetap juga berdegil, maka turunlah bala kepada mereka. Hari demi hari berlalu. Masa kian suntuk. Saat tempoh menghampiri penamat, awan hitam mulai berarak.

Penduduk negeri mulai takut akan azab yang akan menimpa mereka kelak. Oleh itu, mereka pun tercari-cari Yunus untuk menyatakan kesediaan mereka untuk beriman kepada Allah s.w.t.

Saat itu, Allah pun melenyapkan awan itu tetapi penduduk tidak menemui Yunus sejak mereka mencarinya. Ini kerana Yunus sudah pun meninggalkan mereka kerana takutnya dengan azab Allah s.w.t.

Adalah sesuatu yang baik untuk kita mengambil berat akan keadaan orang lain kerana dengan cintalah dakwah akan berjaya. Cuma adakalanya kita mungkin terlupa yang hidayah itu adalah milik Allah.

Kita geram, kita marah dan berputus asa. Tapi ini bukanlah menjadi alasan untuk kita berhenti berdakwah.

Maka harus difahami juga bahawa kesabaran adalah amat penting dalam menyampaikan dan mendidik kebaikan serta kebenaran.

Kita juga melihat dalam awal kisah ini bagaimana bimbangnya penduduk Naynawa dan Yunus akan azab yang akan menimpa mereka.

Pada masa kini, walaupun kita sudah disajikan dengan pelbagai kisah dan pengetahuan mengenai azab Allah kepada mereka yang berdosa, kita tetap memandang remeh mengenai dosa yang kita lakukan.

Setelah melarikan diri dari penduduknya, Yunus menaiki sebuah kapal yang sarat dengan muatan. Tiba-tiba ombak kuat menghentam kapal sehingga keadaan kapal seolah-olah mahu karam.

Semua anak kapal dan penumpang di dalam kapal mula mengambil undi. Siapa yang mendapat undi akan dibuang ke laut bagi mengurangkan muatan.

Setelah undi dilakukan, nama Yunus yang terpilih. Tapi mereka semua enggan mencampakkan Yunus ke dalam laut kerana mereka tahu Yunus seorang yang beriman.

Lalu, mereka lakukan undian semula. Sekali lagi, nama Yunus yang terpilih. Maka, Yunus pun dicampakkan ke dalam laut.

Apabila Yunus dicampak ke dalam laut, Allah telah menghantar seekor paus untuk menelan Yunus. Paus itu tidak dibenarkan untuk memakan dagingnya atau menghancurkan tubuh Yunus.

Maka masuklah Yunus ke dalam perut paus yang gelap. Yunus dikatakan tinggal di dalam perut ikan selama 40 hari 40 malam.

Selama itu, Yunus memohon ampun kepada Allah s.w.t di atas kesilapannya dan bertasbih. Tasbihnya berbunyi;

“Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari golongan orang-orang yang zalim.”

Yunus tidak pernah melupakan Allah s.w.t dalam kesusahan. Malah, dia menyedari kesalahan yang dilakukannya dan memohon keampunan dengan bersungguh-sungguh.

Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Ada masanya kita mungkin tertewas dengan ujian tersebut.

Allah sebenarnya tidak pernah melupakan kita tetapi sentiasa cuba mengingatkan kita semula agar kembali kepada-Nya di saat kita terlalai dan terleka.

Akhirnya Yunus dimuntahkan oleh ikan paus ke daratan. Pada masa itu keadaannya amat lemah. Lalu Allah menumbuhkan tumbuhan yang menjalar.

Dikatakan ia adalah sejenis labu air agar Yunus dapat memakannya. Allah juga mendatangkan seekor kambing di mana Yunus dapat meminum susunya.

Setelah keadaan Yunus semakin baik, semakin kuat, Yunus pun bangun dan kembali kepada penduduk Naynawa.

Sekembalinya ke kota, didapati penduduknya sudah pun bertaubat dan beriman kepada Allah s.w.t sebelum azab menimpa mereka.

Yunus berasa amat bersyukur. Mendengar Yunus telah kembali, penduduk Naynawa juga turut berasa gembira dengan kepulangan seorang Nabi.

Allah amat menyayangi hamba-hambaNya yang bertaubat. Setiap ujian yang menimpa kita bukanlah semata-mata satu hukuman tapi ia adalah untuk meningkatkan darjat kita kepada yang lebih tinggi.

Itu pun jika kita menyedari akan kasih-sayang Allah yang melimpah di dalam hidup kita. Jika tidak, selamanya kita hanyut dalam kesesatan. Maka, jadilah kita manusia paling rugi di dalam dunia ini.

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.