Perbualan antara Musa dan temannya, bermula selepas Musa diberitahu mengenai seorang hamba Allah yang mempunyai pengetahuan yang tidak dikurniakan kepada Musa. Lalu, Musa pun mencari hamba Allah itu.

Lelaki yang ditemui Musa sebenarnya ialah Khidir. Musa meminta Khidir untuk mengajarnya ilmu yang dimiliki oleh Khidir tetapi tidak dimiliki Musa. Awalnya Khidir memberitahu Musa bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya tapi Musa berkeras dengan mengatakan dengan izin Allah, dia mampu bersabar.

Khidir memberi syarat supaya tidak bertanya sebarang soalan atas semua tindakannya sehinggalah Khidir sendiri yang memulakan perbincangan. Musa bersetuju dan mula mengikuti Khidir.

Mula-mula mereka menaiki sebuah perahu. Khidir tiba-tiba membocorkan perahu yang dinaikinya. Musa tidak setuju dengan perbuatan itu kerana ia akan menyebabkan perahu tenggelam bersama penumpangnya. Tetapi Khidir mengingatkan Musa semula mengenai syarat yang telah dipersetujui mereka.

Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka bertemu dengan seorang budak lelaki lalu membunuhnya. Musa sekali lagi tidak berpuas hati dan mengatakan Khidir telah melakukan perbuatan mungkar kerana telah membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.

Sekali lagi, Khidir mengingatkan Musa mengenai sabar yang tidak mampu Musa tahan sekiranya bersamanya. Musa kemudian mengatakan bahawa sekiranya dia bertanya lagi, Khidir boleh menghalang Musa untuk mengikutinya bagi perjalanan seterusnya.

Berjalanlah lagi mereka sampai bertemu dengan penduduk di sebuah bandar. Musa dan Khidir meminta makanan tetapi tidak dilayan oleh penduduk di situ. Tidak lama kemudian, mereka ternampak tembok yang hampir runtuh dan Khidir membaikinya.

Pada masa ini, Musa memberitahu Khidir bahawa dia tidak perlu melakukannya secara percuma memandangkan penduduk di situ tidak melayani mereka sebagai tetamu.

Dengan itu, Khidir memutuskan supaya Musa tidak perlu lagi menemaninya dalam perjalanan seterusnya memandangkan Musa sudah pun melanggar syaratnya. Namun, Khidir memberikan maksud semua tindakannya dalam ketiga-tiga peristiwa sebelum itu.

Perahu itu dirosakkan kerana ada seorang raja yang zalim, yang merampas setiap perahu yang baik. Bagi mengelakkan perahu itu dirampas, maka Khidir merosakkannya agar pemiliknya iaitu si miskin boleh mendapat manfaat darinya kerana perahunya tidak dirampas oleh raja itu.

Kanak-kanak yang dibunuh itu pula semasa kelahirannya merupakan kegembiraan buat ibu bapanya yang beriman. Walaupun begitu, jika kanak-kanak dibiarkan terus hidup, dia akan mendesak kedua mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.

Tembok yang diperbaiki oleh Khidir pula sebenarnya milik dua orang budak lelaki yatim. Di bawahnya terdapat harta kekayaan yang tertanam untuk mereka. Bapanya merupakan lelaki soleh, menunjukkan bahawa zuriatnya dijaga dan rahmatNya kepada ibadat lelaki itu diteruskan di dunia sehingga akhirat.

Berikut adalah pengajaran dari kisah ini:

1. Untuk belajar dari seseorang, kita perlulah menjadi murid yang menghormati guru kita agar mudah menerima semua maklumat yang disampaikan olehnya.

2. Seorang murid mestilah bersabar dalam menuntut ilmu dan melakukannya sepenuh hati.

3. Setiap apa yang berlaku datang dengan hikmah. Apa yang diambil oleh Allah akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

4. Allah menjanjikan ganjaran pahala buat mereka yang beramal soleh. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri, malah kepada keluarga mereka.

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.