Syeikh Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ja’fi merupakan seorang ulama besar yang banyak meriwayatkan hadis daripada Hammad bin Zaid dan Imam Malik.

Suri hatinya bernama Ummu Habibah Uzdiyah. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Ahmad.

Tidak lama kemudian, pada 13 Syawal 194H di Bukhara, Uzbekistan Ummu Habibah selamat melahirkan seorang lagi putera.

Kata Syeikh Ismail dan dipersetujui oleh isterinya;

“Syukur kepada Tuhan yang mengurniakan kita anak ini. Kita namakannya Muhammad.”

Beberapa bulan selepas itu, anaknya Muhammad ditimpa sakit sehingga menyebabkannya hilang penglihatan. Namun, suami isteri itu reda dengan dugaan itu.

Kata Ummu Habibah kepada suaminya;

“Aku bermohon kepada Allah, supaya Dia mengembalikan semula penglihatan anak kita. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Syeikh Ismail memujuk dan mententeramkan isterinya itu;

“Wahai isteriku, Allah pasti mendengar doamu itu. Sesungguhnya, Allah s.w.t itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Semoga kita berada dalam kalangan orang yang beriman dan bersabar.”

Jawab Ummu Habibah lagi;

“Wahai suamiku, hati ibu mana tidak sedih melihat anak yang dikandung diberikan ujian sebegini. Tambahan pula, anak kita ini masih kecil. Namun, demi Allah, aku tidak menyesal dengan ujian ini. Insya-Allah, selagi bernyawa, aku tidak akan putus berdoa kepada Allah. Mudah-mudahan, suatu hari nanti doaku diperkenankan oleh-Nya.”

Ketabahan dan sikap yang ditonjolkan oleh isterinya itu membuatkan Syeikh Ismail berasa kagum. Beliau berasa amat beruntung memiliki isteri solehah yang bergantung harap pada Allah.

Keluarga itu diuji lagi apabila pada usia 54 tahun, Syeikh Ismail pula meninggal dunia kerana penyakit. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Syeikh Ismail sempat berpesan;

“Semua harta yang aku miliki dan ditinggalkan untuk kamu dan anak-anak kita adalah halal. Tidak terdapat sedikitpun daripada hartaku datang dari jalan yang haram mahupun syubhah.”

Sejak kematian suaminya, wanita solehah yang dididik dengan ilmu agama sejak kecil itu berperanan sebagai ketua keluarga. Beliau berusaha membesarkan anaknya sendirian.

Sejak kecil, Ahmad dan Muhammad ditatang dengan penuh kasih sayang, bahkan sentiasa dipantau perkembangan mereka berdua.

Ummu Habibah menjaga amanah suaminya yang mahu anak-anak mereka dibesarkan dengan harta dan makanan yang halal sahaja.

Walaupun salah seorang anak mereka iaitu Muhammad cacat penglihatan, namun semangatnya untuk menuntut ilmu terutama ilmu agama dan ilmu hadis tak pernah padam. Suatu hari, Muhammad berkata kepada ibunya;

“Wahai ibu, aku ingin belajar dan mendalami ilmu agama.”

Pujuk ibunya dengan lemah lembut kepada putera keduanya itu;

“Tunggulah penglihatanmu pulih dahulu. Kemudian, bolehlah kamu belajar ilmu agama.”

Muhammad dengan jujur membalas;

“Wahai ibuku, aku hanya kehilangan penglihatan mata. Tapi, hatiku terang melihat wajah ibu dengan mata hatiku. Aku juga boleh mengingati segala ilmu yang ibu ajarkan padaku.”

Jelas Ummu Habibah;

“Muhammad, ibu tahu kamu seorang anak yang baik dan cerdik. Ayahmu juga mahu anak-anaknya menjadi seorang yang alim. Begitu juga ibu, mahu kamu menjadi orang yang bermanfaat.”

Jawab Muhammad pula;

“Jika begitu, ibu doakanlah agar anak ibu ini diberi penglihatan semula dan apabila dewasa kelak menjadi seorang ulama.”

Jawab Ummu Habibah lagi;

“Sudah pasti, anakku. Sedarlah hanya Allah s.w.t sahaja yang berkuasa atas segalanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa.”

Sejak itu, ibu Muhammad sentiasa memanjatkan doa dengan bersungguh-sungguh agar penglihatan anaknya itu pulih seperti sediakala. Beliau yakin Allah s.w.t mendengar rintihannya dan akan memakbulkan setiap permintaan hamba-Nya.

Pada suatu malam, selepas menunaikan solat tahajud, Ummu Habibah terlalu mengantuk lalu tertidur. Dalam tidurnya itu, beliau bermimpi didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nabi Ibrahim a.s. Kata lelaki dalam mimpinya itu;

“Wahai ibu Abu Abdullah Muhammad, Allah sudah menyembuhkan penyakit anakmu dan kini dia boleh melihat kembali. Semua ini adalah dengan izin Allah, berkat doamu yang tidak putus-putus.”

Terkejut dengan mimpi yang dialaminya itu, Ummu Habibah lantas terjaga dari lenanya. Lalu, dia pergi mendapatkan anaknya; Muhammad yang sedang tidur dan mencium kedua mata anaknya sambil berdoa semoga mimpinya itu menjadi kenyataan.

Keesokan hari, Ummu Habibah segera mendapatkan anaknya dan alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati puteranya itu mampu melihat kembali. Ternyata, mimpi yang dialami itu adalah petunjuk yang benar.

Tanya anaknya, Muhammad yang terharu dan hairan;

“Wahai ibu, apakah aku sedang bermimpi?”

Jawab Ummu Habibah yang sangat gembira;

“Tidak anakku, engkau tidak bermimpi. Ibumu berada di hadapanmu ini.”

Kata Ummu Habibah lagi sambil memanjatkan kesyukuran tidak terhingga;

“Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa atas segala apa yang berlaku. Semoga Allah s.w.t merahmatimu, anakku.”

Sejak itu, Muhammad atau nama sebenarnya, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ja’fi al-Bukhari yang dahulunya buta kini semakin dikenali seluruh dunia sebagai seorang ulama hadis yang cukup disegani.

Muhammad juga dikenali dengan nama Abu Abdillah, Ibnul Ahnaf, Imam al-Hafiz. Namun, gelaran yang sering dikaitkan dan diingati orang ramai adalah ‘Imam Bukhari’.

Dinamakan ‘Bukhari’ bersempena nama tempat kelahirannya, Bukhara. Pada malam Syawal tahun 256H, beliau menemui Allah s.w.t dalam usianya 62 tahun.

Semoga Allah s.w.t merahmati dan meredainya. Amin.

“Amal (kebaikan) yang disukai Allah ialah yang berterusan meskipun sedikit.”Hadis Riwayat Bukhari

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.