Kehidupan ini adalah satu pengembaraan yang penuh liku, suka duka, pahit manis dan tempat berhentinya adalah di akhirat sana nanti.

Hanya terdapat dua tempat berehat sahaja disediakan iaitu syurga dan neraka. Ke manakah arah pengembaraan yang kita ingin tuju? Ini semua bergantung kepada apa yang kita lakukan sepanjang perjalanan tersebut.

Sudah pasti, masing-masing ingin menuju ke tempat yang baik sebagai destinasi akhir bukan? Lalu, bagaimana caranya untuk sampai ke situ?

Buat wanita, terdapat banyak hadis sahih yang meriwayatkan cara ataupun ciri-ciri calon penghuni syurga. Berikut dikongsikan;

#1 – HADIS 1

Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a berkata, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

“Mahukah kalian aku khabarkan wanita-wanita mulia yang mewarisi syurga? Mereka itu bersifat kasih dan sayang, banyak melahirkan anak, selalu meminta maaf. Sekiranya dia (terlanjur) melakukan kesalahan, (dia berkata), ‘Ini tanganku di tanganmu (ajarlah aku dengan apapun jua pengajaran), aku tidak boleh tidur kecuali setelah engkau redha’.”Hadis Riwayat At-Tabrani

#1. Memiliki Sifat Kasih Dan Sayang
Wanita memang sinonim dengan sifat lemah lembut dan kasih sayang. Sekeras apapun sikapnya, jiwanya pasti tidak lari dari sifat ini.

Menyayangi suami, anak-anak dan ahli keluarga dengan penuh keikhlasan dari lubuk hatinya menjadi salah satu faktor dirinya tergolong dalam kalangan calon penghuni syurga.

#2. Subur Dan Melahirkan Ramai Anak
Sesungguhnya, memiliki ramai anak ini bergantung pada rezeki masing-masing. Anak adalah amanah dan anugerah daripada Allah s.w.t.

Banyak atau sedikit bilangan anak ini bukanlah menjadi ukurannya, apa yang penting bagaimana kita mencorak atau mendidik anak-anak ini hingga menjadi anak yang soleh solehah.

Benar, Nabi s.a.w berbangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Sudah pasti Baginda juga akan berbangga jika umat yang ramai ini dicorakkan mengikut acuan Islam.

#3. Sering Meminta Maaf Jika Melakukan Kesilapan
Merujuk hadis di atas, wanita yang bersifat pemaaf merupakan salah satu calon penghuni syurga. Lebih-lebih lagi apabila seorang isteri melakukan kesalahan kepada suaminya.

Dia akan sentiasa gelisah jika suami tidak reda atau memaafkan kesalahan yang telah dilakukannya.

#1 – HADIS 2

Daripada Abdul Rahman bin Auf berkata, Rasulullah s.a.w bersabda;

“Apabila seorang isteri itu solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan taat setia kepada suaminya, maka di hari Kiamat akan dikatakan kepadanya, ‘Masuklah ke dalam syurga melalui pintu syurga mana yang engkau mahu’.”Hadis Riwayat Ahmad

#4. Berbakti Kepada Allah S.W.T Dan Menjalankan Perintah-Nya
Perintah yang wajib seperti solat fardhu lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan dilaksanakan tanpa keluhan atau rungutan.

Ini kerana dia tahu ini adalah perintah atau suruhan dari Tuhan yang menciptakan dirinya dan mengatur urusan kehidupannya. Dan, ia mesti dilaksanakan.

#5. Berbakti Dan Taat Kepada Suami
Bagi seorang wanita, syurganya terletak pada pasangan hidupnya iaitu suami. Oleh itu, jika wanita berbuat baik kepada suami, taat akan segala perintah selagi tidak melanggar hukum syarak, memelihara dirinya tatkala ketiadaan suami di sisi maka syurgalah menjadi tempatnya.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua untuk merebut peluang yang terbentang ini, lebih-lebih lagi buat kaum wanita yang sudah berkeluarga.

Ini kerana terlalu banyak kelebihan dan ganjaran yang disediakan buat mereka yang bergelar anak perempuan, wanita, isteri dan ibu ini. Jika tidak mampu buat semua, usah ditinggalkan semua. Selamat beramal.

“Kasih sayang suami kepada isteri bukan hanya dengan memberikan material (kebendaan), tetapi dengan membimbingnya agar berakhlak mulia dan menjadi pewaris syurga.”Mutiara Kata Hikmah

Tentang Marina

Marina

Beliau merupakan pelajar lepasan Universiti Sultan Zainal Abidin (uniSZA) dalam bidang Pengajian Islam. Kini beliau seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Wakaf Artikel

Kami berharap dapat menerbitkan lebih banyak artikel Islamik yang ringan dan santai kepada para pembaca. Anda boleh menjadi sebahagian penyumbang untuk merealisasikan sasaran dakwah secara digital ini.


Ikuti Instagram Tazkirah.net untuk mendapatkan inspirasi islamik yang ringan & santai setiap hari. Klik Untuk Ikuti