Baru-baru ini penulis telah berkunjung ke Karnival Mara yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Pelbagai agensi dan wakil daripada pusat pengajian tinggi turun padang untuk mempromosikan kelebihan universiti dan kolej masing-masing. Sasaran mereka lebih tertumpu kepada pelajar lepasan SPM yang ingin memohon pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.

Melihatkan keadaan ini, penulis pasti, rata-rata pelajar pasca SPM tertanya-tanya kemanakah hala tuju mereka selepas ini. Bidang apa pula yang akan diceburi. Almaklumlah, terlalu banyak universiti menawarkan bidang yang pelbagai.

Keputusan ini pastinya bukan mudah kerana ia akan memberi impak tentang kerjaya kita 10 tahun akan datang. Justeru ada beberapa tip penting yang penulis akan kongsikan bagi membantu mereka menentukan pemilihan bidang masing-masing.

#1 – Bina Kefahaman Tentang Bidang Yang Dipilih

Dalam membuat keputusan, kefahaman untuk menceburkan diri dalam kursus yang dipilih adalah sangat penting. Kefahaman yang jitu hanya akan dibina dengan mengetahui kenapa kita memilih kursus tersebut.

Kata ahli motivasi:

“knowing your why is an important first step in figuring out how to achieve the goals that excite you and create a life you enjoy living”

Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk membina kefahaman. Antaranya mengunjungi pameran-pameran pendidikan dan bertanyakan peluang tentang bidang yang diceburi.

Ambil masa untuk berkomunikasi dengan pihak yang mengelola pameran dan berbincang tentang peluang yang akan anda perolehi dengan menyertai kursus atau bidang terbabit.

Bidang yang dipilih juga amat berkait dengan kerjaya kita di masa hadapan. Sebagai langkah proaktif, ada baiknya anda mengatur pertemuan dengan ikon kerjaya yang mempunyai kaitan dengan kursus yang dipilih.

Contohnya, jika kita ingin menjadi polis, adakan pertemuan dengan polis tersebut untuk membantu kita menentukan laluan kerjaya sebagai polis. Perkongsian pengalaman yang berlaku akan membuatkan kita lebih memahami tentang cabaran yang bakal dihadapi dalam dunia perkhidmatan polis.

#2 – Raikan Bakat Semula Jadi Dalam Diri

Semua orang tidak dicipta untuk mempunyai kecenderungan yang sama. Jika semua orang sama, pasti hidup ini dilanda kebosanan. Jika fizikal kita pun sudah berbeza, apatah lagi sikap dan karakter diri.

Hakikatnya, variasi inilah yang diperlukan untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain.

Begitu juga dalam pemilihan bidang yang bakal diceburi. Tidak ada gunanya memilih sesuatu bidang yang berada di luar kemampuan dan fitrah kita. Contohnya, bagaimana mungkin seseorang yang takut darah akan mendaftar masuk dalam bidang perubatan.

Untuk individu begini, sudah tentu bidang komputer atau pertanian jauh lebih sesuai untuknya kerana tiada kaitan dengan darah.

Sekiranya seseorang mempunyai bakat yang menyinar dalam bidang penulisan. Kursus kewartawanan adalah antara bidang yang sangat sesuai untuk menggilap bakat yang sedia ada.

Jika kita benar-benar memilih sesuatu yang selari dengan citarasa jiwa, pasti potensi yang terbit akan memberikan impak yang sangat positif untuk diri dan ummah.Dan potensi ini tidak akan terbina jika kita mengambil kursus tersebut atas dasar ikut-ikutan.

#3 – Luruskan Niat Kerana Allah

“Sesuatu amalan itu bermula dengan niat. Dan seseorang akan mendapatkan sesuatu sesuai yang diniatkan “(HR Bukhari dan Muslim)

Sebagai muslim, niat merupakan elemen penting kerana ia menentukan penerimaan sesuatu amal tersebut. Sesuatu bidang yang dipilih itu biarlah bertepatan dengan kehendak syariah dan memberikan manfaat kepada masyarakat umum.

Pilihlah apa sahaja bidang yang anda sukai, tapi buatlah kerana Allah. Bidang yang dipilih semata-mata ingin mencari keredhaan Allah pasti akan diberkati dan dipermudahkan jalannya.

Jika kita memilih sesuatu bidang kerana Allah, fokus kita akan lebih banyak tertuju kepada pembangunan ummah. Akhirnya, gaji dan status bukan lagi menjadi ukuran kerana keikhlasan niat sudah terpasak di jiwa.

Ingatlah, apa nilainya seorang akauntan jika duit syarikat habis digelapkan. Apa nilainya seorang penulis jika ideanya membunuh minda masyarakat. Apa nilainya seorang pemimpin jika rasuah menjadi budaya. Apa nilainya seorang pakar IT jika semua maklumat habis digodam.

Manusia begini ialah manusia yang ketandusan nilai rohani dalam jiwa mereka dek niat yang tidak ikhlas untuk mempelajari ilmu.

Justeru, bagi membina jiwa yang baik, tautkanlah niat menuntut ilmu adalah kerana Allah. Nescaya, jiwa-jiwa beginilah yang akan melahirkan mukmin professional yang bukan sahaja berjaya di dunia malah jua di akhirat. Merekalah yang akan menjadi perintis ummah yang hebat untuk melakar ketamadunan.

#4 – Lakukan Istikharah Dan Berbincang Dengan Keluarga

Sebagai muslim, penentuan bidang merupakan acara penting dalam kehidupan kerana ia mencorakkan siapa kita di masa hadapan. Justeru ada baiknya kita memperbanyakkan solat istikharah supaya setiap keputusan yang dibuat adalah lebih tepat dan diredhaiNya.

Ini kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda:

“Tidak akan rugi orang yang beristikharah dan tidak akan menyesal orang yang bermesyuarat”(HR. At-Tabrani)

Selepas beristikharah, wujudkan perbincangan dengan keluarga terutamanya ibu bapa. Sudah menjadi lumrah ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Namun, sekiranya keputusan yang dibuat bertentangan dengan kehendak ibu bapa, bawalah bertenang. Jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka.

Sebaliknya, bercakaplah dengan berhemah. Binalah hujah yang baik dan yakinkan mereka dengan keputusan yang diambil. Mohonlah doa kepada Allah agar Dia melembutkan hati kedua-dua orang tua kita. Seusai keputusan dibuat, bertanggungjawablah dengan keputusan yang diambil. Itulah yang dinamakan kematangan.

Akhirnya bertawakkallah kepada Allah, niscaya kita akan ditemukan dengan pengakhiran yang baik atas keputusan yang telah dibuat.

Kesimpulannya, semua orang berhak memilih bidang yang mereka sukai selari dengan kerjaya yang mereka impikan.Tetapi seandainya mereka tidak dipilih untuk meneruskan bidang tersebut, jangan kecewa.

Ketahuilah, nilai kejayaan bukanlah terletak pada segulung ijazah tetapi sejauh mana kesungguhan kita dalam mempraktikkan ilmu yang dipelajari selepas tamat pengajian.

Demikianlah, nilai ilmu yang sebenar. Persis kata Prof Naquib Al-Attas

“ Ilmu bukanlah suatu barangan yang digunakan untuk mengejar pencapaian, tetapi ilmu itu sendiri merupakan tujuan akhir suatu pencapaian”

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.