Wanita Islam pada masa kini sering diuji dengan sikap segelintar manusia yang suka mendakwa Islam menzalimi wanita.

Wanita Islam dikatakan hilang kebebasan dalam banyak hal termasuk dalam berpakaian, hak bersuara, pembahagian harta dan sebagainya.

Justeru, isu yang sering dibangkitkan ialah mengenai hak sama rata di antara lelaki dan wanita.

Ungkapan simpati ke atas nasib wanita muslim yang mereka ucapkan tidak lebih daripada salah faham yang amat besar.

Ini kerana Islam mengangkat martabat wanita sejak terutusnya Rasulullah s.a.w di kalangan penduduk yang rata-rata amat jahil dan memandang wanita sekadar barangan yang tidak bernilai dan perhiasan buat memuas nafsu.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Perkataan “sama rata” yang diagungkan mereka sebenarnya tidak sesuai untuk menetapkan hak lelaki dan wanita.

Di dalam Islam, bukanlah kesamarataan yang dipegang, tetapi keadilan memainkan peranan utama.

Hal ini disebabkan oleh kesamarataan hanya menunjukkan tiadanya perbezaan di antara lelaki dan wanita sedangkan secara fizikal dan mentalnya, ia adalah tidak benar sama sekali.
Firman Allah s.w.t (maksudnya);

“Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan..”Surah Ali ‘Imran 3:36

Kerana itu jualah, Al-Quran banyak menyeru kepada keadilan. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Oleh itu, mereka diberikan hak yang sesuai dengan keperluan mereka. Firman Allah s.w.t (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan melakukan kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”Surah an-Nahl 16:90

Adil tidaklah bermakna apa yang dilakukan oleh seorang wanita mestilah sama dengan apa yang dilakukan oleh seorang lelaki.

Pada masa kini, itulah yang cuba ditegakkan oleh mereka yang mahukan kesamarataan sehingga pada tahap jika lelaki hanya berseluar panjang, wanita juga mahu bebas tidak berbaju.

Adil menuntut kita untuk mendahulukan apa yang utama. Oleh itu, apa yang utama sudah tentulah hak Allah s.w.t.

Menurut Dr Zakir Naik, wanita muslim mendapat hak mereka dalam kerohanian, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan dan politik.

Inilah perubahan besar yang diterima oleh wanita muslim sejak Rasulullah SAW diutuskan kepada umat manusia.

Di dalam Islam, tidak kira sama ada lelaki atau pun wanita, kedua-duanya mendapat peluang untuk menduduki syurga Allah.
Malah ia jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Maksudnya, sesiapa sahaja tanpa mengambil kira gender, iaitu yang berbuat kebaikan dan bertakwa kepada Allah, maka dialah yang akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.
Firman Allah SWT (maksudnya);

“Sesiapa yang beramal soleh, dalam kalangan lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah lakukan.”Surah an-Nahl 16:97

Sebagai contoh, dari segi ekonomi, wanita tidak dihalang untuk bekerja asalkan pekerjaannya itu tidak meletakkan dirinya dalam perlakuan yang dilarang Allah s.w.t.

Walaupun begitu, suami bertanggungjawab ke atas nafkah seorang isteri. Tetapi, sekiranya berlaku keadaan di mana terdapat kekangan kewangan, isteri boleh memilih untuk bekerja bagi membantu meringankan beban suami.

Oleh itu, apa yang dimiliki oleh isteri itu merupakan haknya. Malah, wanita juga menerima mahar untuk perkahwinan mereka.

Begitu juga dengan pendidikan di mana Al-Quran tidak menyatakan hanya lelaki yang layak untuk mendapat ilmu. Ini kerana kedua-duanya mempunyai hak tersebut.

Rasulullah s.a.w juga mewajibkan semua umat Islam tanpa mengira perbezaan jantina untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

Aishah r.h.a sendiri terkenal dalam bidang fiqh selain perubatan dan sastera. Selain Aishah, anak perempuan Sa’eed ibn al-Musayyab, Fatimah as-Samarqandi dan Kareemah bint Ahmad al-Marooziyah juga sebahagian nama besar terawal dalam bidang ilmu.

Begitulah Islam memandang tinggi kepada wanita dengan rasa hormat dan mulia tanpa memandang rendah kepada kelebihan dan kemampuan mereka sebagai ciptaan Allah.

Tentang Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.