Inspirasi

Kemuliaan Buat Anda Yang Mencari Ilmu

Oleh Syafiq Salim  •  20 Mar 2018  •  7 min baca

Ilmu” merupakan satu perkataan yang mempunyai pelbagai keajaiban disebaliknya. Dengannya kita menjadi mulia dan dengannya kita dapat menempuh pelbagai cabaran dalam lapangan hidup ini.

Seorang pejuang yang ingin memberi manfaat kepada masyarakat mesti mempunyai ilmu pengetahuan.

Ketahuilah tokoh-tokoh yang hebat tidak terpisah dengan ilmu dan menjadikan buku dan bahan bacaan sebagai sahabat setia.

Allah SWT telah memuliakan manusia berbanding makhluk lain dengan ilmu. Bahkan Allah SWT memuliakan kita di hadapan malaikat dengan mencampakkan ilmu kepada Nabi Adam AS.

Sesungguhnya tiada perkara lain yang Allah SWT menyuruh nabi kita Muhammad SAW berdoa supaya ditambah kecuali ilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku” Surah Toha:114

Siapakah Orang Yang Berilmu?

Apa itu ilmu? Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam bukunya tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu menyatakan;

“Ilmu yang dikehendaki dalam kehidupan kita amat banyak tetapi ilmu berkaitan Ahkam Syar’iyyah antara yang utama Ilmu itu terdiri daripada tiga huruf (ejaan dalam arab) yang bermaksud pengetahuan atau makrifat. Ia merupakan salah satu daripada Nama dan Sifat Allah SWT. Ia ditakrifkan juga dengan maksud mengetahui dan mendapati sesuatu berbetulan mengikut hakikat yang sebenar. Itulah ilmu.”

Ilmu bukanlah dinilai dengan tingginya pendidikan seseorang atau berjayanya seseorang dalam kerjayanya. Tetapi ia mempunyai makna yang lebih luas. Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu” Surah Fatir :28

Dengan itu kita haruslah insaf, Allah SWT menisbahkan orang yang berilmu itu adalah orang yang takut dengan-Nya.

Boleh jadi orang hidup dijalanan yang tiada apa-apa tetapi mereka itu lebih takutkan Allah SWT daripada cendiakawan yang mempunyai berpuluh pengiktirafan dalam hal agama tetapi tidak patuh akan perintah-Nya. Benarlah kata-kata Abdullah bin Mas’ud;

“Bukanlah ilmu dengan banyaknya hadis tetapi ilmu yang sebenarnya adalah takut kepada Allah” Riwayat Ibn Hibban dalam Raudhat al-Uqala

Ilmu Bermanfaat

Kita perlu memohon kepada Allah SWT agar di kurniakan ilmu yang bermanfaat dan menjauhkan dari ilmu yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan malah keburukan kepada kita.

Bahkan antara doa yang Nabi Muhammad SAW selalu baca adalah memohon kepada Allah SWT dikurniakan ilmu yang bermanfaat.

Daripada Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW dalam solat subuh selepas bacaan tahiyat akhir sebelum memberi salam berdoa yang bermaksud;

“Ya Allah aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” Riwayat Ibn Syaibah

Dalam hadis lain yang mana daripada Jabir RA, Rasulullah SAW memberi nasihat kepada kita agar selalu memohon kepada-Nya di rezekikan dengan ilmu bermanfaat dengan bersabda;

“Mohonlah kalian kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah daripada Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat” (Riwayat Abu Syaibah

Mencari Ilmu Itu Sifat Kemanusiaan

Mencari ilmu adalah fitrah bagi manusia dan ia melambangkan sifat kemanusiaan. Akal yang ada menjadikan kita makhluk yang sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan dengan pengalaman serta masa yang telah dilalui menjadikan kita sentiasa memperhalusi setiap langkah dalam kehidupan.

Sesungguhnya akal dan masa yang kita ada dapat diperindahkan dengan ilmu dan itulah hendaknya kehidupan manusia. Kata Hukama;

“Pengetahuan, pengalaman dan wawasan jauh lebih baik daripada harta yang bertimbun kerana gembira dengan harta benda adalah sifat binatang, sedangkan gembira dengan ilmu pengetahuan adalah sifat manusia”

Dan benarlah mutiara kata yang berbunyi;

“Ilmu adalah warisan para Nabi as sedangkan harta adalah warisan Firaun dan Qarun”

Oleh itu, jadilah manusia yang sibuk mengejar dan mencari ilmu, kerana ia adalah warisan teragung para rasul dan orang-orang yang soleh.

Nabi Muhammad SAW tidaklah meninggalkan kepada kita harta benda yang banyak untuk kita nikmati tetapi lebih besar daripada itu baginda meninggalkan ilmu sebagai panduan menjadikan kita manusia yang mulia. Imam al-syafie menyatakan;

“Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ianya menjadi amalan para Nabi, Rasul dan orang-orang soleh”

Merupakan Jihad Yang Besar

Keutamaan yang paling besar umat hari ini dan juga kepada kita adalah menuntut ilmu Kerana ilmu dapat mengeluarkan kita daripada kejahilan yang menghinakan kepada kemuliaan yang gemilang.

Umat Islam terdahulu mengetahui hakikat ini sehinggakan ada di antara mereka mengembara ratusan bahkan ribuan kilometer hanya untuk mendapatkan secangkir ilmu. Mereka ini adalah pejuang ilmu sebenar.

Ada pun kita hari ini, walaupun kita tahu untuk berjalan dan berada di majlis yang sedimikian memerlukan satu mujahadah yang hebat. Tetapi pecayalah kita pasti akan merasai kemanisannya kelak.

Sesungguhnya ia merupakan jihad yang besar kepada diri kita dan tentunya memberi manfaat kepada masyarakat. Renungilah ayat Al-Quran yang bermaksud;

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” Surah Al-Taubah :122

Anak Yang Sentiasa Hidup

Imam Nawawi merupakan ulama yang mempunyai umur yang pendek. Walaupun bergitu, beliau meninggalkan banyak karya yang hari ini kita memprolehi manfaatnya.

Bahkan tidaklah keterlaluan untuk menyatakan tiada masjid yang tidak menyimpan hasil tulisan Iman Nawawi seperti Arbain Nawawi atau lebih dikenali kitab hadis 40, Riyadhus Shalihin dan banyak lagi.

Walupun beliau adalah ulama yang tidak berkahwin dan tiada zuriat tetapi beliau meninggalkan zuriat yang akan sentiasa hidup lain iaitu ilmu. Benarlah kata Hukama;

“Ilmu seseorang itu adalah anaknya yang kekal”

Satu keberkatan yang besar buat Imam Nawawi sehinggakan para fuqaha menyatakan jika Allah SWT memberi Imam Nawawi umur yang panjang, sudah pasti beliau akan menjadi imam di antara imam-imam yang besar.

Sesungguhnya bercita-cita memberi manfaat kepada orang lain adalah kemuliaan yang sebenar dan antara caranya adalah sentiasa mempelajari ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain.

Ingatlah, ia adalah zuriat yang sentiasa hidup apabila kita tidak bernafas lagi. Rasulullah SAW bersabda;

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, dan doa anak yang soleh” Riwayat Muslim

Jadi rebutlah peluang itu.

Kejarlah Kemuliaan Itu!

Buya Hamka orangnya tidaklah mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti kebanyakan kita. Walaupun begitu, ia tidak menjadikan alasan untuk beliau tidak menuntut ilmu dengan caranya sendiri.

Jika kita membaca karya beliau, kita akan dapati beliau mempunyai pembacaan yang sangat luas, menguasai pelbagai lapangan ilmu termasuk sejarah, sosiologi, tasawuf, falsafah, ilmu kalam dan sastera.

Dari budak kampung yang tiada latar belakang pendidikan formal yang lengkap akhirnya beliau menjadi penerima pertama Doktor Honoris Causa daripada Universiti Al-Azhar dalam sejarah universiti tersebut. Maka dengan itu layaklah kita menghayati akan kalam beliau berkaitan ilmu. Kata Buya Hamka:

“Ilmu itulah anak kunci rahsia alam, rahsia makhluk, dan makhluk itulah anak kunci mencari Khalik”

Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Walaupun tubuh badan kelihatan kerdil tetapi jiwanya besar.

Perkara tu hanya diperolehi dengan ilmu kerana denganya kita boleh menyingkap rahsia sesuatu hakikat kerana ia adalah kunci kehidupan. Syair menyebut;

“Jadilah seseorang yang kakinya berpijak di tanah
Namun cita-citanya tinggi di angkasa”

Dengan ilmu menyebabkan kita tahu langkah terbaik di hadapan. Ibnu Hazm dalam kitabnya Mudaawatun Nufuus menyatakan;

“Faedah ilmu adalah menghilangkan keraguan dalam diri manusia dan mengusir kesedihan, kesusahan dan kecemasan”

Sesungguhnya para pejuang ilmu, kemuliaan yang paling agung yang mereka miliki adalah Allah SWT memudahkan mereka jalan ke syurga.

Bukankah itu yang kita impikan dan bukankah itu cita-cita sebenar kita? Rasulullah SAW bersabda;

“Siapa yang menempuh jalan untuk mencari secangkih ilmu, maka Allah akan mudahkah baginya jalan menuju ke syurga” Riwayat Muslim

Oleh itu jadilah kita orang yang berjaya seterusnya memperolehi syurga Allah SWT yang mana seluas langgit dan bumi dan itulah kejayaan dan kemuliaan yang sangat nyata.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami