Mizz Nina bukanlah nama yang asing dalam industri hiburan dan fesyen tempatan. Kejayaannya merangkap gelaran ‘Ratu Hiphop Malaysia’ telah dipegang Mizz Nina sejak zaman kegemilangannya bersama kumpulan, Teh Tarik Crew sehinggalah beliau mula bergerak secara solo dalam karier seninya.

Tanpa disangka, dalam keasyikan Mizz Nina melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, tiba-tiba Malaysia dikejutkan dengan penghijrahannya dan beliau mula berhijab penuh. Terkenal dengan imej urban, Mizz Nina masih mampu mengekalkan fesyen ‘street glam’ , dengan mewujudkan label pakaian baharu yang diciptanya khas untuk para Muslimah, yang diberi nama Madeena.

Madeena ialah garis pakaian yang menawarkan pelbagai pakaian bergaya untuk wanita moden yang percaya pada keindahan pakaian yang sopan dan mengikut sunnah. Pakaian mereka direka bentuk selaras dengan objektif dan aspirasi untuk menggalakkan para Muslimah untuk berpakaian sopan tetapi masih stylo dan trendy di sebalik kesederhanaan.

Ianya menarik dan direka bukan sahaja untuk keperluan Muslimah malah untuk memperkenalkan fesyen ‘street glam’ buat Muslimah. Bagi Mizz Nina, fesyen adalah menyeronokkan. Tidak semestinya berpakaian menutup aurat, kita perlu berpakaian biasa-biasa saja dan kelihatan membosankan. Madeena telah diilhamkan oleh Mizz Nina tidak lama selepas beliau kembali dari menunaikan haji.

Sebagai seorang pencinta fesyen, Mizz Nina mengharapkan Madeena dapat memenuhi keinginan wanita setiap hari yang mahu menjadi bergaya sambil mengekalkan kehormatan diri dan pada masa yang sama, ia adalah satu fenomena global yang sudah mula mendapat pengiktirafan seluruh dunia. Jika dulu pemakaian mereka yang berhijab agak terhad dan kemungkinan kelihatan sedikit tidak sopan, sekarang para Muslimah sudah mempunyai pelbagai pilihan dan variasi.

Bercerita kisah penghijrahannya, Mizz Nina akui beliau langsung tidak merindui dirinya yang dulu. Dipetik dari akhbar Pancaindera, Mizz Nina mengatakan :

” Saya tak rindukan dia (Mizz Nina yang dulu). Saya dah lepaskan segalanya. Semuanya mengenai Mizz Nina dahulu tak lebih daripada sekadar satu pesona bintang di atas pentas hiburan.

Saya sudah rasai semua itu jadi tak ada apa lagi yang saya mahu kejarkan. Namun ya, kadangkal saya rindu untuk menari. Dah bertudung tak beerti saya tak boleh menari bukan? Saya boleh menari semasa menghadiri kelas senaman atau di rumah, betul tak?”

Apa yang menariknya, beliau tidaklah mencanangkan tentang penghijrahannya pada pihak media mahupun menjadikannya satu strategi untuk memperolehi publisiti. Rasanya masih segar imejnya menari lincah di atas pentas dan dalam sekelip mata, beliau sudah dilihat memakai hijab dan berpakaian menutup aurat sepenuhnya, bertukar menjadi seorang Muslimah sejati.

Bukan itu saja, Mizz Nina kerap dilihat di majlis agama dan ceramah serta menggunakan laman sosialnya untuk menyebarkan nasihat, dakwah serta perkara-perkara Islamiah. Namun baru-baru ini, akaun Instagramnya telah digodam oleh orang yang tidak dikenali.

Dilihat dari sudut positif, sekurang-kurangnya orang tersebut tidak menyalahgunakan akaun Instagram Mizz Nina untuk sebarkan ajaran sesat dan perkara-perkara yang tidak sihat. Namun, itu adalah sekadar dugaan kecil.

Mengakui dirinya terasa kosong ketika aktif dalam dunia hiburan, hidayahnya datang ketika menunaikan haji bersama suami tercinta . Beliau mencari kebahagiaan dari pemahaman yang salah di mana beliau cuba memuaskan hati peminat dan memuaskan kehendak industri muzik ketika beliau benar-benar mengejar kejayaan dalam bidang hiburan. Namun akhirnya beliau akui apa yang diperlukan adalah mengikut kehendak dan perintah Allah S.W.T.

Mizz Nina terus menghentikan segala perancangannya dan berkorban demi mendekatkan diri pada Allah. Katanya, ‘lebih banyak pengorbanan yang dilakukan, lebih banyak Allah berikan pada kita.’

” Tiada sesiapa yang paksa, saya sendiri yang memikirkan hal itu. Apa nasib saya selepas mati nanti? Cukupkan amalan saya untuk dibawa ke akhirat? Lengkapkah saya sebagai seorang isteri dan Muslimat saat masih hidup ini?

Saya buat semua ini dengan hati yang terbuka. Setiap hari saya tanam azam mahu menjadi lebih baik dari semalam. Ini bukan soal hijab sahaja. Janganlah cuma memandang luaran. Saya buat semua ini kerana Allah SWT sebab saya seorang muslim.

Kalau boleh saya tak mahu orang bertanya hal hijab ini lagi. Cukuplah dengan penjelasan ini. Usaha saya untuk beribadah dan berubah untuk kebaikan.

Kalau ada yang terinspirasi dengan perubahan saya ini, Alhamdulillah. Baguslah apa salahnya kita berubah bersama-sama. Itu lebih baik.”

Amat mendalam penjelasan Mizz Nina. Harapnya ia memberi inspirasi buat kita semua. Sememangnya Mizz Nina adalah antara artis yang pandai bawa diri dan bernas apabila berbicara.

Dari pemerhatian kami, ramai yang memberi positif terhadap penghijrahan Mizz Nina ini. Langsung tiada sebarang komen negatif seperti mana yang diterima oleh artis-artis lain yang sudah berhijrah. Semoga Mizz Nina lebih istiqomah dan dipermudahkan dalam segala urusannya mendalami Islam.

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.