“Jangan dimarahkan takdir yang tidak ingin bersama dengan kita. Kalau sudah tertulis di sisi Allah, sesuatu itu bukan milik kita, redha dan berbahagialah. Walaupun sukar untuk kita fahami keadaannya pada awal.” Fatin Nor Izzati, 2014

Cinta adalah kekuatan.

Keyakinan kepada Allah mengatakan bahawa cinta itu adalah rezeki.

Rezeki dicintai Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Kehidupan ini cukup serba indah untuk diwarnai dengan syukur serta mencintai Allah dalam apa jua keadaan yang dihadapi.

Tika Allah sudah sudi menghampiri, sudah tentu tiada apa pun lagi yang dapat menjauhkan-Nya dari kita. Tapi jika Allah sudah menjauhi, adakah kita layak mempersoalkannya? Allah tak pernah jauh, DIA selalu dekat di hati mahupun nadi. Cuma terpulang pada diri, adakah kita sudi mencari-Nya.

Cinta Sejati vs Cinta Yang Salah

Saya teringat seungkap perbualan dengan rakan saya yang seorang ini. Seorang lelaki yang berusaha mencari seorang isteri. Sesudah dia menemukan calon yang sesuai untuk dirisik, dia berkongsi.

Lewat perbualan beliau berterus terang, beliau mahukan saya menjadi orang pertengahan bagi urusan ini.

Urusan ini bukan urusan main-main. Ia melibatkan 2 hati dan 2 pihak. Andai lebih panjang urusannya, bakal melibatkan keluarga pula.

Permintaan rakan saya itu tidak dapat saya tolak. Ada sinar harapan yang besar pada kata-katanya. Dan akhirnya saya bersetuju.

Saya sempat menemui beberapa kali gadis itu. Saya cuma diamkan sahaja niat saya pada waktu itu. Dengan wajah yang manis, kata-kata yang baik, saya berusaha untuk membina hubungan baik dengan gadis itu.

Dengan terbuka, dia menerima saya seadanya. Saya memanggilnya dinda dan dia memanggil saya kanda. Kami sudah berada di dalam fasa rapat, apa sahaja masalah beliau sudi ceritakan.

Syukur, kerana niat saya membantu pemuda itu berbaitul muslim dipermudahkan. Moga ada ruang untuk saya berbicara soal ini pada gadis itu. Berbulan kami berhubung dengan pekongsian cerita yang pelbagai. Samada pemuda mahupun gadis itu.

Setelah saya pulang dari bercuti semester musim panas, gadis itu menemui saya. Beliau bercerita banyak tentang impian, harapan dan prinsip yang diinginkan dalam hidup.

Dengan mata berkaca, raut wajah yang tenang beliau meneruskan bicara “Akak, saya sudah tahu lama, sebenarnya akak adalah orang tengah bagi saya dan ustaz M kan?

Saya mengangguk perlahan.

Gadis itu bertanya lagi, “Apa pandangan akak sekarang?

Jeda. Memikirkan jawapan terbaik yang dapat saya berikan pada gadis itu.

Adik, tak mengapalah. Usah pedulikan lagi lamaran-lamaran ini. Fokuslah pada prinsip dan impian adik. Akak menyokong segalanya

Raut wajah yang dihujani persoalan itu tiba-tiba berisi senyuman.

Segala puji bagi Allah, rupa-rupanya saya sedang berada dalam satu keadaan dimana saya perlu menyelamatkan impian dan harapan seorang gadis dan kedua ibu bapanya.

Gadis itu kelihatan masih dahagakan jawapan. Alasan saya berbuat begitu.

Saya menyentuh tangannya kedua belah dan berkata,

“Adik, akak ada satu prinsip yang akak pegang sejak akhir-akhir ini.

Kalau cinta itu datang pada waktu kita masih mendambakan tercapainya impian, banyak hutang budi pada ibu bapa belum selesai atau pada waktu kita masih mempunyai pelbagai cita-cita untuk dikejar, maka bagi akak itu masih cinta yang salah.

Cinta yang betul selalu datang dari Allah dengan orang yang betul dan pada waktu yang betul…”

Cinta Yang Salah Itu Cuma Singgah

Kalau seseorang itu datang, dan makin buat kita makin ingatkan Allah disetiap langkah, tapi kita tak memilikinya, adakah kita mahu salahkan Allah? Anggap sahaja Allah sedang ajarkan kita sesuatu iaitu erti cinta sejati!

Akhirnya…

Sampai sekarang saya tidak tahu keputusannya bagaimana. Namun, walau bagaimanapun saya harapkan rakan saya itu adalah orang sentiasa meniti hari-hari bahagianya dengan gembiranya. Cinta sejati tidak pernah salah tempat, kerana ia adalah anugerah.

Berulang kali pemuda itu bercerita kepada saya, tatkala beliau memandang gadis itu, beliau teringatkan Allah. Tidak pernah beliau jumpa seseorang yang sedang mencerminkan dirinya sendiri bahkan menambahkan hormat.

Cinta Dalam Hati

Cinta sejati tidak pernah salah tempat, kerana ia adalah anugerah. [Avenue]

Saya harap saya telah tunjukkan sesuatu, bahawa samada cinta yang salah atau benar, selalu bersamanya adalah keadilan. Samaada didatangkan untuk menghargainya atau untuk kita ingatinya sebagai salah satu liku kehidupan yang mesti dihadapi.

Cinta itu adalah rezeki yang luar biasa jika datang pada waktu yang betul dengan orang yang betul.

Dengan izin Allah…

Lelaki itu mengajarkan saya soal kesabaran dan kematangan.

Dan gadis itu puIa mengingatkan saya kepada sesuatu yang lebih setia dari itu iaitu kasih sayang Allah.

Yang tidak pernah berkurang dan sering bertambah.

Kerana apa yang didatangkan Allah itu selalu bersamanya adalah dua perkara iaitu kebaikan dan keadilan. Nanti, jika bukan di dunia keadilan mutlak, di akhirat pasti ternyata jua.

Amin. Sedaya mungkin saya membantu mereka.

Tentang Fatin Nor Izzati

Fatin Nor Izzati

Seorang gadis yang sering sesat mentafsir meniti dewasa. Hobi utama adalah berimpian. Meminati kehidupan klasik serta kesederhanaan. Kini seorang pelajar universiti dan perunding imej muslimah.

Muslim Brand

Kami membuat kupasan mingguan terhadap pelbagai produk keluaran muslim yang ada di dalam pasaran untuk rujukkan anda. Sokong produk keluaran muslim, gunakan kuasa beli anda dengan bijak.