Sheikh Muhammad Al-Shareef bercerita bahawa beliau pernah menghadapi saat-saat cemas semasa berada di dalam kapal terbang. Kapal terbang tersebut mengalami masalah dan seakan-akan ingin terhempas. Semua orang menjerit menyebut nama Allah, semua orang seolah-olah bersedia untuk mati. Namun dengan kuasa Allah, kapal tersebut berjaya mendarat dengan baik dan semua orang terselamat.

Setelah kejadian tersebut beliau membuka buku catatannya, dan beliau menyedari bahawa kali terakhir beliau menulis di dalam buku itu adalah apabila beliau mengalami sesuatu masalah. Barulah beliau menyedari bahawa beliau hanya kembali ‘menghadap’ Allah apabila sesuatu yang menyakitkan terjadi. Allah berfirman dalam Al-Quran:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat”(Ibrahim: 7)

Kata beliau lagi, di sini dapat dilihat bahawa ada dua madrasah yang seringkali mengajar dan membuatkan manusia kembali kepada Allah. Yang pertama adalah ‘madrasah kesakitan’. Manusia akan kembali kepada Allah apabila ditimpa kesakitan.

Yang kedua adalah ‘madrasah kesyukuran’ iaitu apabila manusia mendapat nikmat dari Allah. Jika manusia bersyukur ketika mendapat nikmat ini, maka Allah berjanji bahawa nikmat akan ditambah kepada orang yang bersyukur. Harus kita ingat bahawa janji Allah itu pasti, dan Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji.

Tentang Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.