Nabi Ayyub A.S adalah salah seorang Nabi yang mendapat wahyu daripada Allah S.W.T. Baginda dikurniakan pelbagai kenikmatan dunia seperti harta benda, binatang ternakan, kebun dan sebagainya.

Namun begitu, Allah S.W.T telah menguji Baginda dengan diambil segala nikmat tersebut. Bahkan, ditambah pula dengan penyakit kulit pada keseluruhan tubuh badannya, kecuali lidah dan hatinya.

Nabi Ayyub menderita penyakit ini selama bertahun-tahun, sehinggakan ramai yang menjauhkan diri dari mendekatinya kerana bimbang akan berjangkit.

Isterinya; Layya binti Ya’qub sahaja yang sentiasa ada bersama dengan Nabi Ayyub. Beliaulah yang menyediakan segala keperluan Baginda, membantu serta mengubatinya ketika Baginda sakit.

Penyakit kulit yang dihidapinya itu telah menyebabkan daging pada tubuh badannya berjatuhan sehingga tidak tersisa sedikitpun melainkan tulang dan urat.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Bagi mengelakkan luka kudis di tubuhnya melekat, isteri Nabi Ayyub akan menaburkan abu sebagai alas tidurnya.

Pernah suatu ketika, isteri Nabi Ayyub berkata padanya;

“Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepadamu.”

Nabi Ayyub pun menjawab;

“Aku telah menjalani hidup sihat selama 70 tahun. Sangat sedikit bagi Allah apabila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini.”

Tersentak isteri Nabi Ayyub mendengarkan ungkapan yang keluar dari mulut suaminya itu. Beliau langsung tidak menyangka setabah itu Baginda menjalani ujian daripada Allah S.W.T.

Lidah dan hati yang tidak dimakan ulat itu digunakan oleh Nabi Ayyub sebaik yang mungkin untuk terus mengalunkan zikrullah dan puji-pujian kepada Allah S.W.T tidak mengira waktu pagi, petang mahupun malam.

Suatu hari, Nabi Ayyub berdoa kepada Allah S.W.T sepertimana firman-Nya yang bermaksud;

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang.”Surah al-Anbiya’:83

Bahkan, ketika Baginda sujud, Nabi Ayyub A.S berdoa kepada Allah S.W.T yang bermaksud;

“Wahai Allah, dengan kemuliaan-Mu aku tidak akan mengangkat kepalaku selama-lamanya sehinggalah engkau menghilangkan penyakit ini dariku.”

Dengan izin Allah, keseluruhan penyakit Nabi Ayyub pun dapat disembuhkan seperti sediakala. Sesungguhnya, apa yang menimpa Baginda itu adalah satu ujian untuk meningkatkan keimanannya kepada Allah S.W.T.

Moga perkongsian ini dapat menjadikan diri kita setabah Nabi Ayyub dalam menghadapi liku-liku ujian dalam kehidupan.

Walauapapun yang berlaku, ingatlah sudah pasti ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Hanya Allah sahaja tempat pergantungan bagi setiap hamba. Wallahua’lam.

Tentang Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.