Ibadah

Jadikan Politik Sebagai Satu Ibadah (Siri 2)

Oleh Pahrol Mohamad Juoi  •  13 Apr 2018  •  8 min baca

Berikut adalah 6 langkah untuk menjadikan tugas-tugas politik sebagai satu ibadah;

#1 – Mulakan Dengan Niat Yang Baik

Sebelum kita menceburi bidang politik, cuba tanyakan hati apakah niat kita menceburi bidang ini? Pastikan pada awal-awal lagi, niat kita ialah niat yang baik. Apakah niat yang baik?

Banyak niat yang baik, umpamanya ingin membela nasib bangsa, memertabatkan negara, membantu masyarakat dan lain-lain. Ini adalah niat yang baik.

Namun, perlu diingat ada niat yang lebih baik berbanding niat-niat tersebut. Sebagai seorang Islam kita sewajarnya membuat sesuatu dengan niat kerana Allah.

Islam mengajar kita bahawa setiap urusan yang melibatkan hubungan sesama manusia, Tuhan mestilah dijadikan sebagai pengikat dalam perhubungan itu.

Oleh itu, adalah lebih baik jika ‘mengikat’ niat membela rakyat, bangsa dan negara itu atas dasar ‘kerana Allah’. Katakan kepada diri;

“Aku ingin membela bangsaku, masyarakatku dan negaraku kerana Allah memerintahkan aku untuk berbuat demikian.”

Dengan cara ini tugas politik kita akan terikat dengan misi utama Tuhan jadikan manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT;

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Niat kerana Allah itulah nanti yang akan menjadi pengawal, pemantau dan pendorong untuk kita berlaku benar, telus dan tulus dalam kancah politik yang sering digambarkan sebagai ‘kotor’ itu.

Sebaliknya, niat semata-mata ingin membela bangsa, negara dan lain-lain tidak cukup kukuh untuk menjamin kita tidak tergoda dan tergelincir dalam dunia politik yang tentunya penuh dengan cabaran dan godaan samada dalam bentuk nikmat atau kesusahan.

Betapa ramai ‘pejuang’ bangsa yang terkorban dek harta? Betapa ramai pula ‘pembela’ masyarakat yang lupa daratan bila disanjung?

Namun, jika kita berbuat dan berjuang atas dasar yang kukuh yakni kerana Allah, maka Tuhan akan sentiasa berada di hati kita untuk menjamin kita sentiasa berada di atas landasan yang benar pada setiap masa dan suasana.

Ingatlah, natijah (pengakhiran) dari sesuatu selalunya ditentukan oleh muqaddimahnya (permulaan). Oleh itu, semuanya bermula dengan niat, jika niat baik, maka besar kemungkinan pengakirannya pun turut baik.

Tetapi sekiranya, niat awal hanya untuk mendapat ganjaran, sanjungan dan nama, maka batalkan sahaja hasrat kita menceburi politik. Kita tidak akan menjadi ahli politik yang baik jika bertitik-tolakkan niat yang tidak baik.

#2 – Bidang Politik Adalah Satu Yang Dibenar (Dihalalkan) Oleh Allah

Politik atau siasah memanglah suatu bidang yang bukan sahaja dihalalkan bahkan diutamakan dalam Islam. Istilah politik bermakna, ‘the arts and sciene of government’ atau ‘siasah’ dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna, ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’.

Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia adalah satu bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di atas muka bumi yakni sebagai khalifah Allah. Firman Allah SWT:

“Kami jadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.”

Dalam konteks ini politik dilihat sebagai satu urusan kepimpinan yang hakikatnya adalah amanah Allah kepada setiap manusia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Setiap kita adalah gembala (pemimpin) dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya.”

Urusan ini sangat penting dalam ajaran Islam justeru ia adalah satu alat ataupun jalan untuk menegakkan ubudiyah kepada Allah SWT.

Oleh itu, ahli-ahli politik seharusnya sedar bahawa bidang yang mereka ceburi adalah satu gelanggang yang begitu besar dan luas untuk meraih keredaan Allah.

#3 – Melaksanakan Agenda Politik Itu Dengan Betul

Langkah seterusnya ialah laksanakan niat itu dengan betul. Melaksanakan dengan ‘betul’ di sini bermaksud mematuhi syariat (peraturan Allah). Maksudnya, hendaklah kita sentiasa memilih cara yang halal dalam melaksanakan urusan politik.

Islam tidak mengamalkan dasar politik Machevelli – matlamat menghalalkan cara. Tegasnya, niat yang baik mestilah dilaksanakan dengan cara yang baik.

Oleh itu, jangan sekali-kali kita terlibat dengan perkara-perkara yang haram, mungkar dan dosa dalam melaksanakan cita-cita politik.

Pelaksanaan politik itu hendaklah sentiasa mengikut batas-batas syariat dan peraturan-peraturan lain yang selaras dengan kehendak Allah.

Proses berpolitik hendaklah sentiasa berpandukan batas-batas hukum yang lima – halal, haram, harus, sunat dan makruh. Kepatuhan kepada hukum Allah ini secara langsung akan menyebabkan peraturan parti dan negara turut dipatuhi.

Politik wang misalnya, bukan sahaja bertentangan dengan peraturan parti tetapi ia adalah haram di sisi Tuhan. Begitu juga perbuatan mencaci, menghina dan memfitnah musuh politik tidak wajar dilakukan walau atas apa apa alasan sekalipun.

Yang penting ialah memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas-batas syariat dan akhlak Islamiah.

Baik sesama rakan separti atau dengan parti lawan, kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain.

Untuk mendapat kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras bukan dengan cara mengampu, menyogok atau mengancam.

Ingat selalu, pangkat bukan matlamat tetapi hanya alat dalam sesuatu perjuangan.

#4 – Berpolitiklah Secara Yang Terbaik (Optimum)

Untuk menjadi seorang ahli politik yang baik, kita mestilah melaksanakan tugas politik secara yang terbaik (optimum). Maksud optimum di sini ialah kita berpolitik dengan penuh kemahiran, ilmu dan etika kerja yang tinggi.

Kita seharusnya mendalami ilmu-ilmu tentang pengurusan, pentadbiran dan perhubungan. Kuasailah kemahiran berfikir yang tajam dan cepat.

Berlatihlah cara bercakap dan berucap dengan berkesan, agar mesej politik dapat difahami dengan baik oleh masyarakat. Banyakkan membaca, bergaul dan mendengar menerusi apa jua saluran yang dapat mempertingkatkan ilmu dan kemahiran berpolitik.

Ahli politik yang baik, tentunya mempunyai ilmu tentang agama, psikologi, ekonomi,pendidikan, sosial dan lain-lain mengikut tahap atau bidang yang selaras dengan kedudukan kita di dalamparti dan masyarakat.

Tidak cukup sekadar itu, kita mestilah mempunyai ‘skill’ dalam bidang perhubungan manusia. Kebolehan menjadi pendengar yang baik, empati dan peka dengan apa yang disuarakan atau apa yang tidak disuarakan.

Ini adalah suatu yang wajib untuk melonjakkan karier politik kita. Kita mesti mahir dalam pengurusan masa dan mempunyai kecekapan dalam mengatur serta membahagikan waktu dengan cekap dan berkesan.

Urusan diri, keluarga, masyarakat, parti mestilah disusun secara adil agar setiap tindakan diatur mengikut tahap keutamaannya. Jangan ada perkara yang penting tercicir atau terpinggir.

Sentiasalah mengutamakan rakyat dan perjuangan bangsa berbanding dengan kepentingan diri. Cuba lihat sejarah ‘ahli-ahli’ politik yang berjaya khususnya para khulafa ur Rasyidin (Sayidina Abu bakar, Umar, Uthman dan Ali) mereka semua telah berpegang kepada etika ini sampai ke akhir hayat.

Jika ditakdirkan menjadi wakil rakyat, duduklah bersama mereka, dengar suara hati mereka. Jangan jadi wakil rakyat yang jarang bersama rakyat. Sabar, berkorban, prihatin, empati adalah sifat-sifat yang perlu ada jika anda ingin menjadi ahli politik yang baik.

#5 – Tidak Meninggalkan Perkara-Perkara Yang Asas Dalam Islam

Perkara yang asas dalam Islam ialah rukun Iman yang enam dan rukun Islam yang lima. Ini adalah pra-syarat kepada semua perlakuan umat Islam untuk dinilai sebagai ibadah.

Sekiranya perkara-perkara asas ini diabaikan, semua kebaikan yang kita bina sebelumnya tidak akan dinilai sebagai kebaikan.

Bayangkan, bagaimana kita boleh dianggap seorang manusia yang baik jika kita mengabaikan ibu kandung sendiri walaupun kita takdirnya telah berbakti kepada seluruh manusia?

Maka begitulah orang yang tidak mendirikan perkara-perkara asas dalam Islam ini, maka ia tetap ‘jahat’ walaupun segunung kebaikannya kepada manusia.

Solat misalnya, tidak boleh diabaikan walaupun sesibok mana urusan politik kita. Jangan bermesyuarat menyebabkan anda luput waktu solat.

Jika kita sudah cukup harta, maka laksanakanlah ibadah haji tanpa melengah-lengahkannya dengan alasan kononnya sibok berbakti kepada masyarakat.

Hendaklah kita ingat, ibadah-ibadah asas inilah yang akan memberi kekuatan jiwa, kelapangan fikiran dan ketenangan emosi untuk kita menjalankan urusan politik dengan lebih afektif, produktif dan kreatif lagi.

Ingatlah, barangsiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.

#6 – Natijah Yang Baik

Bagaimana sikap kita di hujung kejayaan atau kegagalan di hujung karier politik? Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan itu.

Bukti syukur ialah dengan kita merasakan nikmat kejayaan itu datangnya dari Allah bukan kerana kebijaksanaan kita. Nafikanlah segala kelebihan, usaha dan tenaga kita di hadapan Tuhan dengan merasakan semua itu tidak memberi kesan tanpa bantuan daripada-Nya.

Kemudian, rasa syukur di dalam hati itu dilanjutkan lagi dengan melahirkan tindakan-tindakan yang selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Diberi pangkat, itu tandanya Tuhan ‘menyuruh’ kita berbakti kepada manusia dengan pangkat tersebut. Maka berbaktilah, bukan menyombong diri. Janganlah hendaknya syukur terbatas hanya di lidah, tetapi kosong di hati dan sifar pula dalam tindakan.

Sebaliknya, jika gagal bersabarla, hakikatnya Allah mahu mematangkan karier politik kita. Bukankah besi sejati ditempa oleh kepanasan yang tinggi? Jadi, jangan putus asa. Tempohlah sekali lagi, soalnya bukan serendah mana kita jatuh tetapi setinggi mana kita melonjak semula.

Hakikat ini bukan sahaja satu sunnahtullah dalam kehidupan, bahkan inilah juga asam garam dalam dunia politik. Pastikan kita tidak kecewa atau patah hati. Bangunlah setiap kali kita jatuh!

Akhir sekali ingin ditegaskan, bahawa keenam-enam langkah itu akan mudah diikuti bila keimanan diperteguhkan.

Indahnya, program ‘ke dalam’ ini jika berjaya dilaksanakan pasti menyerlahkan kesannya pada diri, masyarakat dan pengundi.

Penghayatan berpolitik sebagai satu ibadah, akan memperteguhkan kekuatan dan perpaduan dalam parti tanpa perlu dilakon-lakonkan atau dilobi-lobi lagi.

Demikianlah sedikit gambaran bagaimana menjadikan politik sebagai satu ibadah. Langkah-langkah ini tidak terlalu memperincikan perkara-perkara yang boleh kita fikirkan sendiri.

Garis-kasar yang diberikan oleh risalah kecil ini adalah terlalu umum untuk memperkatakan soal politik dalam huraian yang lebih ilmiah. Semoga nasihat kecil ini memadai untuk meransang dan membuka fikiran untuk merealisasikan politik sebagai satu ibadah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Pahrol Mohamad Juoi

Pahrol Mohamad Juoi

Merupakan pendakwah dan penulis. Menjadi jurulatih dan perunding latihan di Fitrah Perkasa Sdn Bhd.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami