“Parti-parti politik harus menerima hakikat bahawa jika menerima kekalahan, itu bukan disebabkan oleh kekuatan parti lawan tetapi kerana kelemahan dirinya sendiri.

Hakikat ini pernah diakui oleh para pemimpin UMNO misalnya. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir berkata;

“Hanya UMNO yang dapat mengalahkan UMNO.”

Sekiranya hakikat ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan pembetulan, maka misi untuk mengalahkan parti lawan tidak akan menjadi terlalu sukar.

Apa yang perlu dibuat sekarang (disamping menepis dan menyerang pihak lawan) ialah menguatkan ahli-ahli parti sendiri.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Parti-parti politik seharusnya lebih fokus ‘membina’ kekuatan dirinya berbanding menyerang ‘kelemahan’ lawannya.

Tegasnya, parti-parti politik perlukan program membina yang bersifat ke dalam (‘inside-out’) disamping program yang bersifat keluar (‘outside-in’).

Apakah bentuk program ‘ke dalam’ yang perlu dilaksanakan oleh parti-parti politi? Paling utama ialah perpaduan sesama sendiri. Kita mesti menangani rasa ‘jauh hati’, marah dan tidak puas hati dikalangan sesama kita.

Walaupun kadangkala kemarahan itu tidak sampai ke tahap memberi undi kepada parti lawan tetapi setidak-tidaknya parti tersebut akan kehilangan komitmen tenaga kerja untuk digembelingkan dalam kerja-kerja politiknya.

Seperti yang selalu diingatkan, jangan sekali-kali meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Hasil, pergeseran sesama kita akan menyebabkan lawan yang paling lemah pun mampu mengalahkan kita.

Walaupun soal ‘pergeseran’ adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik namun itu seharusnya terkawal hanya di tahap menghidupkan amalan demokrasi dalam parti.

Malangnya, perebutan ini kadangkala terlanjur hingga ke tahap ‘terlampau’ sehingga ada pihak yang tidak dapat membezakan lagi antara cita-cita diri dengan cita-cita parti.

Di sinilah keikhlasan ahli teruji. Bagaimana rasa hati kita jika melihat ’orang lain’ melonjak sedangkan diri sendiri terhenyak?

Kita seharusnya fokus dan serius terhadap masalah ini. Bagaimana hendak melahirkan ahli yang benar-benar ikhlas?

Sesungguhnya usaha ini memerlukan program pengukuhan yang bertitik-tolakkan sistem keyakinan, mind-set dan asas nilai yang kukuh.

Maksudnya, ini memerlukan program yang bercorak pembinaan rohaniah, pemikiran dan penghayatan yang berteraskan elemen dalaman manusia (akal, hati dan nafsu).

Di sinilah faktor Islam memainkan peranan yang sangat besar justeru Islam mempunyai segala mekanisme yang mampu membina keikhlasan dalam diri manusia.

Pemimpin UMNO, Mantan PM Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi pernah menyarankan agar ahli UMNO berpolitik sebagai satu ibadah.

Gagasan itu seharusnya menimbulkan kesedaran dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri untuk bermuhasabah apakah prinsip, pendekatan dan pelaksanaan politik kita sudah layak dijadikan sebagai satu ibadah?

Dan prinsip politik sebagai satu ibadah tentulah tidak asing lagi untuk Pas, yang sejak mula ditubuhkan menjadikan Islam sebagai prinsip perjuangan mereka.

Ibadah tentulah dimulakan dengan meletakkan segala urusan atas niat ‘kerana Allah’. Lalu apa maksudnya ‘kerana Allah’ dalam kita berpolitik?

Secara mudah, tujuan politik itu mestilah dikaitkan dengan tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah yakni menjadi hamba dan khalifah-Nya di atas muka bumi.

Untuk menjadi hamba Allah, ahli politik mestilah berusaha membawa diri dan masyarakat untuk mentaati, membesarkan dan tuntuk kepada Allah.

Dan sebagai khalifah ahli politik mesti mampu mengurus, mentadbir serta memakmurkan muka bumi ini secara bijaksana dan professional berpandukan peraturan Allah.

Dalam konsep berpolitik sebagai satu ibadah, Tuhan mesti mejadi paksi segala dorongan, pemikiran dan tindakan dalam mengurus dan memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah asas keikhlasan.

Tegasnya, keikhlasan hanya akan dapat diperkukuhkan jika iman disuburkan. Keimanan itulah nantinya akan membina ‘tauhidic mind-set’ – yakni melihat segala-galanya dari perspektif Tauhid.

Pada ketika itu diri, keluarga, harta, masyarakat, bangsa dan negara akan dilihat sebagai satu amanah dari Allah bukan anugerah untuk diri.

Politik akan dilihat sebagai satu peluang untuk melaksanakan tugas hamba dan khalifah (wakil) Allah. Keimanan itu juga membina satu keyakinan akan adanya satu hidup yang lebih kekal.

Alam akhirat tempat yang kekal sama ada bahagia atau celakanya di sana bergantung pada sejauhmana kita melaksanakan amanah di bidang politik dengan sebaik-baiknya. Secara ringkas, inilah konsep berpolitik sebagai satu ibadah.

Dengan menghayati konsep tersebut barulah lahir ahli politik yang benar-benar bertangung-jawab (sanggup menanggung dan menjawab di depan Allah).

Di akhirat nanti apa yang kita tanggung di dunia, akan disoal dan kita mesti menjawabnya di hadapan Allah. Ahli politik yang beribadah melalui tugas politiknya akan mempunyai mind-set yang dipantau oleh keimanan dalam setiap urusan politiknya.

Baginya, kerja-kerja politik adalah juga urusan ibadah yang tidak hanya melibatkan soal kepentingan diri dan parti di dunia tetapi berkait terus dengan Allah dan nasibnya di akhirat.

Boleh Sumbangkan RM10 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Keterangan Lanjut

Bayangkan jika majoriti ahli politik dapat menghayati konsep ini, maka dengan sendirinya masalah perbalahan sesama sendiri akan dapat dikurangkan.

Apabila manusia terikat dengan Allah (iman) maka secara automatik mereka akan mudah membentuk ikatan persaudaraan sesama sendiri. Di dalam Al Quran, iman dan persaudaraan kerap disebut secara lazim dan berlaziman. Firman Allah yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara…”

Ertinya, jika iman kukuh, maka perpaduan pun teguh. Formula perpaduan inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud;

“Jika kamu membelanjakan seluruh harta diatas muka bumi untuk menyatukan hati manusia, nescaya kamu tidak akan berjaya, Hanya Aku yang dapat menyatukan hati-hati kamu.”

Tentang Pahrol Mohamad Juoi

Pahrol Mohamad Juoi

Merupakan pendakwah dan penulis. Menjadi jurulatih dan perunding latihan di Fitrah Perkasa Sdn Bhd.

Dakwah Digital

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.