Berita

Ini Perkara Yang Mesti Dilakukan Oleh Majikan (UK) Bagi Menyokong Pekerja Muslim Di Sepanjang Ramadan Ini

Oleh Tim Tazkirah  •  25 May 2018  •  4 min baca

Ramadan sedang beredar tetapi bagaimana sebenarnya keadaan pekerja yang melalui tempoh berpuasa selama sebulan ini di tempat kerja masing-masing?

Sememangnya bukan mudah untuk menahan lapar dan dahaga di pejabat di mana rakan-rakan lain sering menikmati sandwich di meja mereka serta membawa kek dan biskut untuk meraikan hari jadi dan pelbagai acara lain di sana.

Pada tahun 2018 ini, Ramadan bermula pada 17 Mei dan dijangkakan berakhir pada 14 Jun. Ini merupakan bulan ke 9 dalam kalendar Islam, di mana pada bulan ini orang Islam menjalankan ibadah puasa di siang hari, solat sunat pada waktu malam serta memperbaiki diri.
Bulan ini merupakan bulan yang paling mulia dan ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.

Tetapi puasa selama sebulan bermula dari awal pagi sehingga terbenamnya matahari sedikit sebanyak pasti akan memberikan kesan kepada umat Islam yang sedang bekerja, jadi isu ini merupakan satu perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pihak majikan. Sebagai sokongan kepada pekerja Islam yang sedang menjalani Ramadan, Pengarah kepada Peninsula Employment Law, Alan Price telah memberikan tips-tips utama kepada para majikan.

1. Memahami kesan terhadap pekerjaan

Berpuasa di siang hari akan memberikan kesan yang berbeza-beza terhadap setiap individu, di mana kesan paling utama adalah penurunan kadar produktiviti pekerja, terutamanya pada waktu petang. Majikan sewajarnya memahami kesan ini dan mengambil langkah praktikal untuk mengurangkan kesan tersebut, seperti menjadualkan semula mesyuarat penting pada waktu pagi atau membenarkan pekerja untuk berehat seketika sekiranya menunjukkan tanda-tanda kelesuan.

Sebarang layanan kurang memuaskan hanya kerana pekerja itu sedang mematuhi keperluan Ramadan (seperti berpuasa) adalah boleh diklasifikasikan sebagai diskriminasi agama.

2. Mempertimbangkan fleksibiliti

Dalam keadaan di mana waktu siang menjadi lebih panjang, orang Islam yang berpuasa perlu memulakan hari mereka lebih awal dari biasa dengan makan dan minum pada awal pagi, sebelum terbitnya matahari. Perkara ini akan menyebabkan adanya jurang masa yang besar sebelum waktu kerja bermula dan pekerja Islam adakalanya terjejas dengan waktu kerja yang panjang.

Jika sesuai, majikan boleh menawarkan waktu kerja yang fleksibel semasa Ramadan, seperti bermula lebih awal, yang akan membantu para pekerja kerana mereka dapat melakukan kerja-kerja pejabat pada waktu mereka lebih bertenaga. Sebagai tambahan, fleksibiliti ini akan membolehkan mereka menyelesaikan tugasan lebih awal dan mengelakkan aktiviti fizikal dan mental yang meletihkan pada waktu petang.

Fleksibiliti dalam tugasan pekerja juga boleh dipertimbangkan. Sebagai contoh, permintaan untuk mereka menghadiri temujanji makan tengahari bersama klien semasa berpuasa adalah tidak bersesuaian. Tetapi, lokasi pertemuan itu boleh diubah atau klien bersetuju makanan tidak akan dihidangkan.

3. Menerima permohonan cuti dengan positif

Para pekerja yang menjalani Ramadan biasanya akan menghantar banyak permohonan cuti pada bulan tersebut. Begitu juga permohonan dari pekerja lain untuk cuti musim panas mereka. Permohonan perlu dianggap normal, tetapi sesetengah majikan mungkin mempunyai polisi cuti keagamaan yang menggariskan bagaimana cuti ini akan diuruskan dengan cara berbeza.

Menafikan permohonan cuti yang dibuat atas sebab mematuhi keperluan keagamaan boleh menjadi satu diskriminasi jadi majikan hendaklah memastikan bahawa perbincangan telah dibuat untuk alternatif lain bersama pekerja dan mempunyai alasan kukuh untuk menolak.

4. Memperkenalkan polisi pematuhan keagamaan

Menggariskan bagaimana syarikat mengenal pasti pematuhan keagamaan semasa Ramadan dapat dibuat secara berkesan melalui polisi dalaman syarikat. Polisi ini dapat menggalakkan para pekerja untuk memaklumkan pengurus mereka bahawa mereka akan menjalani Ramadan dan meminta mereka untuk berbincang tentang kefleksibelan atau perubahan tugasan sepanjang bulan ini.

Polisi ini boleh menetapkan bagaimana syarikat akan memberi sokongan kepada pekerja yang menjalankan pematuhan keagamaan, seperti menyediakan kemudahan bersolat, mengurangkan bebanan kerja, dan menetapkan peraturan khas berkaitan permohonan cuti. Adalah penting bahawa polisi ini akan terpakai kepada semua agama, dan tidak terhad kepada satu sahaja.

5. Meningkatkan kesedaran

Rakan sekerja selalunya menjadi tulang belakang rakan lain di tempat kerja. Puasa dan keletihan semasa Ramadan boleh menjejaskan personaliti seorang pekerja, dengan menjadikan mereka lebih sensitif dan mudah untuk marah.

Demi meningkatkan kesedaran kepada seluruh tenaga kerja, majikan boleh menyediakan para pekerja mereka pengetahuan am berkenaan Ramadan, keperluan keagamaan yang perlu dipatuhi dan bagaimana keadaan ini mungkin akan memberi kesan kepada rakan sejawat yang lain. Memulakan langkah mudah seperti menghentikan sementara acara kek pada waktu pagi akan dapat membantu pekerja Islam berasa lebih selesa.

Penulis: David Bentley / Penterjemah: Nordiana Ali / Sumber: Birmingham Mail


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

Tim Tazkirah

Tazkirah.net merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami